Tuesday, December 28, 2010

SELURUH DUNIA DATANG MENGERUMUNI DUNIA ISLAM

Daripada Tsauban r.a berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah ini kerana jumlah umat Islam sedikit pada masa itu?”. Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’”. Seorang sahabat bertanya : “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?”. Nabi menjawab : “Cinta kepada dunia dan takut kepada kematian”.

Hadis Riwayat Abu Daud

KETERANGAN :

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Keadaan umat Islam pada hari ini menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang ramai iaitu kira-kira 1 billion (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka sering dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.

Sebenarnya segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum Muslimin itu sendiri iaitu daripada penyakit ‘wahan’ yang merupakan campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua iaitu ‘cinta dunia’ dan ‘takut mati’. Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. ‘Cinta dunia’ bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta ke jalan Allah SWT manakala ‘takut mati’ pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Kita berdoa agar Allah SWT menurunkan nushrahNya kepada kaum Muslimin dan memberikan kejayaan di dunia dan di akhirat.


Dunia luar datang mengepung,

Dunia Islam sudah terkurung,

Ibarat buih hanyut terapung,

Dipukul ombak besar menggulung.


Bilangan banyak tidak berguna,

Bila ‘wahan’ penyakit kita,

Takutkan mati, cintakan dunia,

Sangat merosak iman di dada.

Monday, December 20, 2010

KARAMAH BAYI

Suatu hari seorang ibu sedang menyusukan anaknya yang masih kecil. Kemudian lalu seorang lelaki yang menunggang seekor kuda. Dia seorang yang gagah dan tampan serta memakai pakaian yang cantik.

Apabila lelaki itu lalu, ibu itu pun berdoa, “Ya Allah, jadikanlah anakku seperti lelaki itu.”

Anaknya tiba-tiba berhenti menyusu sambil melihat lelaki itu dan berkata, “Ya Allah, jangan jadikan diriku seperti lelaki itu.” Kemudian anaknya itu kembali menyusu.

Selepas itu lalu pula seorang hamba perempuan. Orang ramai mengejar dan memukul sambil berteriak kepadanya, “Kamu pelacur! Kamu pencuri!” Hamba itu hanya mengucapkan, “Cukuplah Allah sebagai pelindungku.”

Ibu yang menyusukan anak tadi tidak tahu mengapa hamba itu dipukul. Namun dia telah berdoa, “Ya Allah, jangan jadikan anakku seperti hamba perempuan itu.”

Sekali lagi anaknya berhenti menyusu dan memandang kepada hamba itu sambil berkata, “Ya Allah, jadikan diriku seperti hamba perempuan itu.”

Ibunya terkejut mendengar kata-kata anaknya itu. Dia merasa hairan dan meminta penjelasan dari anaknya mengapa dia berbuat begitu.

Anaknya menjawab, “Lelaki itu adalah seorang yang angkuh, sombong dan bongkak. Sebab itulah saya berkata : Ya Allah, jangan jadikan diriku seperti dia. Sedangkan hamba perempuan yang dituduh melacur dan mencuri itu sebenarnya itu adalah dusta belaka. Itulah sebabnya saya berkata : Ya Allah, jadikan diriku sepertinya.”

Anak ini telah menyedarkan ibunya bahawa seseorang itu tidak dapat dinilai melalui zahirnya sahaja. Sebab sesuatu perkara itu ada yang tersirat yang tidak dapat diketahui oleh pandangan biasa.

Thursday, December 16, 2010

KAUM YANG INGKAR

Ailah adalah sebuah perkampungan nelayan di pinggir Laut Merah. Sabtu adalah hari untuk penduduknya beribadah sebagaimana yang disyariatkan oleh Nabi Musa.

Pada hari itu, semua nelayan tidak akan menangkap ikan di laut. Oleh itu ikan-ikan akan bermain di sekitar dua batu besar. Musim berganti musim, ikan-ikan semakin banyak yang datang ke tempat itu untuk berkumpul. Malah ikan-ikan yang besar turut datang ke tempat itu.


Keadaan ini telah menimbulkan perasaan tamak di kalangan beberapa orang penduduk kampung. Mereka merasa rugi kerana tidak menangkap ikan pada hari Sabtu.

Mereka mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung yang lain. Mereka memberi beberapa alasan mengapa harus menangkap ikan pada hari itu. Inilah masa yang baik untuk menangkap ikan yang merupakan rezeki mereka. Ikan-ikannya banyak dan besar-besar pula. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah ke laut menggadai nyawa.

Cadangan ini diterima oleh sesetengah penduduk kampung yang tidak kuat imannya. Namun bagi mereka yang teguh imannya tetap tidak mahu melanggar peraturan agama.

Maka pada setiap Sabtu, golongan yang ingkar itu menangkap ikan bersama-sama. Hasilnya memang lumayan berbanding hari-hari lain. Jadi hari Sabtu bukan lagi hari untuk beribadah tetapi adalah hari menangkap ikan. Kemudian mereka bersuka ria dengan mengadakan jamuan.

Orang-orang yang beriman tetap memberi nasihat kepada mereka yang telah melanggar perintah agama. Namun nasihat itu tidak memberi sebarang kesan. Golongan yang beriman akhirnya bertindak keras untuk menyedarkan mereka yang telah sesat. Mereka menggunakan senjata sebagai usaha untuk menghalang penduduk kampung dari menangkap ikan pada hari tersebut.

Namun mereka yang telah sesat itu membantah dengan berkata, “Kita sama-sama berhak ke atas kampung ini. Jika kamu tidak suka dengan perbuatan kami, maka kita bahagikan sahaja kampung ini kepada dua. Jadi masing-masing bebas melakukan apa sahaja yang dikehendaki.”

Golongan beriman terpaksa menerima cadangan tersebut kerana tidak mahu pertumpahan darah terus berlaku. Kampung itu telah terpisah dua. Orang-orang yang beriman meneruskan ibadah pada hari Sabtu dan menangkap ikan pada hari-hari lain. Manakala golongan yang ingkar terus melakukan apa yang mereka sukai dan tidak menghiraukan larangan Allah.

Namun Nabi Daud yang mejadi Rasul ketika itu, tidak berdiam diri dan terus menasihati golongan yang telah tersesat itu. Baginda menyeru supaya mereka kembali ke jalan Allah. Tetapi mereka mentertawakan tindakan Nabi Daud itu. Akhirnya Nabi Daud berdoa kepada Allah supaya menurunkan bala kepada mereka yang ingkar. Allah memperkenankan doa NabiNya. Maka terjadilah gempa bumi pada suatu hari.

Orang-orang yang beriman keluar dari situ sambil memohon perlindungan dari Allah. Sedangkan kaum yang derhaka tetap leka bersuka ria mengadakan jamuan selepas menangkap ikan pada hari Sabtu.

Gempa bumi terjadi lagi. Berturut-turut dan lebih dahsyat yang akhirnya membinasakan golongan sesat yang telah derhaka kepada Allah. Bagi golongan yang beriman, mereka telah mendapat perlindungan dan terselamat bersama Nabi Daud.

Sunday, December 12, 2010

KENAPA DUNIA ISLAM MENJADI SASARAN PEMUSNAHAN?

Daripada Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata : “(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini,” dan Baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari telunjuk yang dengan itu membentuk bulatan. Zainab binti Jahsy lalu bertanya : “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?”. Lalu Nabi SAW bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”.

Hadis Riwayat Bukhari Muslim

KETERANGAN :

Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang yang jahat sahaja tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.

Oleh itu, segala kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kejahatan hendaklah segera dimusnahkan supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut tetapi turut menimpa semua manusia yang berada di tempat itu.

Dalam hadis ini, walaupun disebut secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi SAW adalah di kalangan mereka dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakan di kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali daripada bangsa lain. Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab.

Kemudian Ya’juj dan Ma’juj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam a.s) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini. Lalu batas daerah dan kawasan kediaman mereka ditutup oleh Iskandar Zulkarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga. Maka dengan itu mereka tidak dapat keluar sehingga hampir tibanya kiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa itu dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan di atas muka bumi ini. Apabila ini terjadi, ia menandakan bahawa kiamat sudah hampir.


Jangan biar umat binasa,

Mungkar maksiat bermaharajalela,

Kita semua nanti merasa,

Akibat buruk datang menimpa.


Dinding Ya’juj mula terbuka,

Tanda dunia akan binasa,

Walaupun ada insan bertaqwa,

Bila mungkar sudah merata.

Sunday, December 5, 2010

PEDANG MALAM

Seorang pengarang, Abdul Rahman Ibnu Jauzi telah menulis dalam kitabnya, Multaqathul Hikaya mengenai kisah seorang sufi. Orang sufi itu adalah Abu Hassan bin Bisyr.

Abu Hassan sangat sedih dengan kehidupan seorang pegawai tinggi di tempatnya. Pegawai itu sering mengadakan pesta maksiat yang di dalamnya terdapat permainan judi dan arak menjadi minuman.

Abu Hassan mengumpulkan beberapa orang soleh. Mereka bersama-sama membaca Al Quran di hadapan rumah pegawai itu dengan suara kuat sehingga kedengaran ke dalam rumah. Seorang pelayan keluar dan bertanya, “Mengapakah kamu semua berkumpul di sini dan menggangu tuan saya?”

Abu Hassan lalu bangun dan menjawab, “Katakan kepada tuanmu supaya tidak membuat kemungkaran di kampung ini. Jika tidak kami akan membunuhnya.”

“Mahu membunuhnya? Oleh kamu yang tidak mempunyai senjata?” pelayan itu membalas sambil ketawa terbahak-bahak. Lantas beliau masuk semula ke rumah dan memberitahu ancaman itu kepada tuannya.

Pegawai itu terkejut. Beliau keluar diiringi oleh beberapa orang pengawal. Dengan marah beliau berkata, “Adakah kamu bermimpi di siang hari untuk membunuhku? Tidak nampakkah para pengawalku yang garang ini?”

Abu Hassan berkata, “Kami melihat mereka sebagai makhluk Tuhan yang tidak perlu kami takuti. Kami juga mempunyai senjata ghaib untuk membinasakan tuan!”

Pegawai itu kehairanan lantas bertanya, “Apakah senjata itu?”

“Pedang malam,” jawab Abu Hassan.

“Pedang malam? Apakah benda itu? Aku belum pernah mendengarnya,” pegawai itu bertanya lagi.

“Walaupun begitu, tuan boleh memilikinya,” kata Abu Hassan. Jawapan ini membuatkan pegawai itu semakin marah dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut. “Katakan cepat. Apakah senjata itu?”

Kemudian Abu Hassan menjawab dengan lembut, “Pedang malam itu adalah doa orang soleh dan orang-orang yang dizalimi yang pasti dikabulkan Tuhan.”

Pegawai itu tertunduk mendengarnya. Meskipun beliau tidak segera bertaubat tetapi jawapan tersebut telah menyentuh hatinya. Ini adalah tanda-tanda masih ada bisikan malaikat.

Sebab doa orang beriman merupakan senjata yang mujarab. Rasulullah SAW bersabda : “Berdoalah dengan yakin bahawa doamu pasti dikabulkan.”

Thursday, December 2, 2010

YAHUDI MENAGIH HUTANG

Suatu hari Saidina Umar telah ke rumah Rasulullah SAW untuk bertemu dengan Baginda. Mereka berbincang mengenai persoalan agama dan masyarakat.

Tiba-tiba datang seorang Yahudi dengan keadaan terburu-buru. Dia adalah Saad bin Syaanah. Apabila tiba di halaman rumah Rasulullah SAW, Dia berdiri bercekak pinggang dan memandang tepat kepada Rasulullah SAW dengan perasaan marah. Rasulullah SAW tetap tenang menghadapinya.

Rasulullah SAW berkata kepada Saad bin Syaanah, “Masuklah dahulu wahai Saad.”

Dengan tidak disangka-sangka, Saad meragut kain yang berada di leher Rasulullah SAW dengan begitu kasar sehingga berbekas leher Baginda.

“Hoi keturunan Abdul Muthalib. Memang engkau daripada keturunan orang-orang yang suka menangguhkan hutang! Cepat! Jelaskan semua hutangmu segera!” Saad memarahi Rasulullah SAW.

Saidina Umar yang berada di sisi Rasulullah SAW pada ketika itu merasa amat marah apabila Baginda dihina sedemikian rupa oleh Saad. Beliau terus menengking lelaki Yahudi itu.

“Wahai Saad! Mengapa begitu celupar mulutmu? Sekali lagi engkau menghina Rasulullah, akan aku pancung lehermu!”

Namun Saad tidak gentar dengan ugutan itu malah terus mencabar Saidina Umar.

“Ini adalah urusanku dengan Muhammad. Pergilah engkau dari sini!”

Rasulullah SAW hanya tersenyum melihatkan kelakuan mereka berdua. Baginda sedar bahawa Saidina Umar membelanya kerana amat cintanya kepadanya.

“Wahai Umar, bersabarlah,” kata Rasulullah SAW.

“Wahai kekasih Allah, aku tidak sanggup melihat kau diperlakukan begitu rupa. Kalau engkau benarkan, biarlah aku tamatkan riwayat Yahudi ini di sini juga,” balas Saidina Umar.

“Aku dan dia sememangnya ada urusan hutang. Usahlah kau mencampurinya. Adalah lebih baik sekiranya engaku meminta aku membayar hutangnya dan menasihatinya agar meminta hutangnya secara baik. Bukankah begitu?” Tanya Rasulullah SAW.

“Sebenarnya aku masih mempunyai tiga hari untuk menjelaskan hutangnya. Tetapi tidak mengapalah.”

“Bayarlah hutangku itu dengan menambahkan lagi 20 gantang gandum. Biar kemarahannya hilang,” kata Rasulullah SAW.

Saidina Umar menyedari bahawa tambahan 20 gantang itu adalah untuk menutup kekasarannya tadi.

“Cepatlah Umar. Pulanglah ke rumahmu. Lakukanlah yang sebaiknya kerana ia adalah urusan manusia dan Akhirat. Apakah yang ditunggu lagi?” tanya Rasulullah SAW.

Saidina Umar mahu melangkah pulang tetapi ditahan oleh Saad.

“Nanti dulu wahai Umar. Semua yang aku lihat ini adalah bukti tanda-tanda kenabian. Aku telah melihat tanda-tanda itu pada wajah Rasulullah.”

Saidina Umar merasa hairan dan bertanya, “Apakah maksudmu?”

“Sebenarnya aku sekadar ingin menguji adakah Baginda seorang penyantun dan pemaaf sebagaimana yang diceritakan oleh orang. Benarlah tanda-tanda kenabian itu telah jelas. Oleh itu, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah,” kata Saad dengan gembira.

“Syukurlah kepada Allah kerana petunjuk dan hidayah datang daripadaNya. Umar, lihatlah telah bertambah lagi seorang hamba Allah yang memeluk Islam. Semoga Allah sentiasa memberkati hidup kita,” kata Rasulullah SAW.

Dengan berkat kesabaran Rasulullah SAW dan ketaatan Saidina Umar kepada Baginda, akhirnya telah melembutkan hati Saad, seorang Yahudi yang memeluk Islam.

Tuesday, November 30, 2010

HADIS 40 - AKHIR ZAMAN (Taqwa & Perpaduan Asas Keselamatan Di Akhir Zaman)

Daripada Abi Najih ‘Irbadh bin Sariyah r.a berkata : “Telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu Baginda pun bersabda : Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya siapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalihah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bida’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap yang bida’ah itu adalah sesat.”

Hadis Riwayat Abu Daud & Tirmidzi

KETERANGAN :

Hadis ini mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah SAW bagi umatnya terutamanya bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah dia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis ini iaitu :

1) Hendaklah bertaqwa kepada Allah dalam apa juga keadaan dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

2) Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mana mereka berpegang kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan amalan Khulafa Ar Rasyidin kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW.

3) Berpegang teguh kepada sunnah Nabi SAW dan amalan Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala iaitu berpegang kepada fahaman dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.

4) Menjauhi perkara-perkara bida’ah dholalah iaitu apa juga fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asas atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bida’ah menurut pengertian syarak (bukan bida’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bida’ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitu bida’ah hasanah).


Jadikan taqwa sebagai jalan,
Di dalam hidup sepanjang zaman,
Taat dan patuh pada pimpinan,
Selama Quran jadi pegangan.

Sunnah Nabi dipegang teguh,
Sunnah Khulafa diikut penuh,
Mesti waspada ajaran musuh,
Bida’ah dholalah wajib dijauh.

Sunday, November 28, 2010

HAJI YANG DITERIMA

Pada suatu musim haji, Abdullah bin Mubarak yang sedang menunaikan haji telah tertidur di Masjidil Haram. Ketika di dalam tidur itulah beliau telah bermimpi dua malaikat turun ke bumi dan telah berlaku perbualan di antara kedua-dua malaikat tersebut.

“Berapakah bilangan jemaah haji pada tahun ini?”

“600,000.” jawab temannya.

Dia bertanya lagi, “Berapa pula yang diterima?”

Temannya menjawab, “Pada mulanya tidak seorang pun haji mereka diterima. Namun ada seorang yang tidak dapat menunaikan fardhu haji pada tahun ini tetapi hajinya telah diterima. Dan disebabkan keberkatan ini, maka haji seluruh jemaah pada tahun ini telah diterima. Orang tersebut bernama Muwaffaq yang merupakan seorang tukang kasut yang tinggal di Damsyik.”

Setelah Abdullah bin Mubarak tersedar dari tidurnya, beliau pun bangun lalu pergi ke Damsyik. Beliau mencari orang yang bernama Muwaffaq sehingga bertemu dengan rumahnya. Ketika diketuk pintu rumahnya, keluarlah seorang lelaki. Abdullah segera bertanyakan namanya.

“Muwaffaq,” jawab lelaki tersebut.

Abdullah menceritakan tentang mimpinya kepada Muwaffaq dan bertanya kepadanya bagaimana beliau boleh mendapat darjat sedemikian.

Muwaffaq pun menceritakan kisahnya yang sebenar. Beliau telah mengumpulkan wang sebanyak 300 dirham hasil dari pekerjaannya membuat dan menampal kasut. Oleh itu beliau berhajat untuk menunaikan haji dengan menggunakan wang tersebut.

Pada masa itu isterinya sedang hamil. Suatu hari isterinya tercium bau masakkan jirannya dan isterinya teringin untuk merasai masakkan itu. Lalu Muwaffaq pun pergi ke rumah jirannya bagi menyampaikan hasrat isterinya itu.

Jirannya dengan nada sedih berkata, “Aku terpaksa membuka rahsia yang sebenar. Sebenarnya anak-anakku yang yatim telah tiga hari tidak makan kerana kesempitan hidup kami. Maka aku keluar mencari makanan untuk mereka. Kemudian aku bertemu dengan bangkai himar di suatu tempat. Lalu aku potong sebahagian dagingnya dan membawanya pulang untuk dimasak. Jadi makanan itu halal bagi kami tetapi haram bagi kamu.”

Muwaffaq amat terharu mendengar kisah jirannya. Beliau lalu pulang ke rumah mengambil wang 300 dirham yang telah dikumpulnya selama ini dan diberikan kepada wanita itu sebagai perbelanjaan anak-anaknya yang yatim.

Sebab itulah beliau tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini kerana wang yang dikumpulkan selama ini untuk tujuan tersebut telah disedekahkan kepada wanita tersebut. Dengan berkat keikhlasan membantu jirannya itu maka Allah SWT telah member ganjaran pahala haji.

Muwaffaq menambah lagi, “Sedangkan hajiku berada di depan pintu rumahku.”

Thursday, November 25, 2010

KEIKHLASAN MEMBAWA BERKAT

Ketika Halimatus Saadiah menerima Muhammad sebagai anak susuannya, beliau menyedari Siti Aminah hanyalah seorang janda yang tidak memiliki harta kekayaan walaupun datang dari keluarga terhormat.

Tiba-tiba beliau terdengar suatu bisikan. Suara itu memintanya supaya tidak mementingkan upah sebagai balasan menyusu seorang anak susuan. Lazimnya kaum wanita lain akan menolak untuk menyusui anak-anak yang tidak mempunyai ayah.

Setelah suaminya, Abu Qabsyah setuju, beliau terus bertemu dengan Abdul Muthalib, datuk kepada bayi yang akan disusuinya.

Abdul Muthalib sungguh gembira apabila Halimah sanggup menyusui cucunya. Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Halimah. Beliau menunjukkan kepada Halimah bayi yang akan disusuinya nanti.

Halimah amat menyayangi anak itu. Wajahnya sungguh comel dan bersih. Anak itu diselimuti dengan kain bulu berwarna putih dan beralaskan kain sutera hijau.

Entah mengapa hati Halimah sungguh berdebar. Tangannya menggigil ketika menyentuh bayi itu. Anak itu tersenyum kepadanya.

Siti Aminah mengalirkan air mata ketika mahu menyerahkan anaknya kepada Halimah. Beliau akan berpisah buat sementara waktu dengan anak tunggal yang amat disayanginya itu. Anak yang telah kematian ayah.

Namun begitulah adat bangsawan arab ketika itu yang mana mereka akan menyerahkan anak mereka untuk disusui oleh wanita desa. Semoga dengan itu, anak yang membesar akan lebih sihat, berfikiran luas dan terpelihara dari persekitara kota yang kurang baik.

Walaupun Halimah sangat gembira menerima bayi itu namun masih ada yang merisaukan dirinya. Beliau menyedari dirinya yang kurus tidak mungkin dapat menyediakan air susu yang banyak untuk diberikan kepada Muhammad.

Sesuatu yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Setelah tiba di dusunnya, beliau merasa dadanya membengkak dan penuh dengan air susu. Beliau segera menyusui Muhammad dengan gembira.

Setelah anak itu kekenyangan, Halimah menyusui anaknya sendiri iaitu Abdullah. Anaknya juga dapat minum dengan puas. Sedangkan selama ini walaupun Abdullah telah menyusu, beliau akan menangis lagi kerana masih kelaparan.

Malah yang lebih menakjubkan, unta-unta peliharaan Halimah dan suaminya menjadi gemuk dan sihat. Unta-unta yang sebelum ini kurus kering dapat diperah susunya oleh Abu Qabsyah. Susu unta yang begitu banyak dapat diminum oleh mereka sekeluarga.

Keikhlasan Halimah telah mendatangkan tuah kepadanya. Keikhlasan kerana menjadi iu susuan kepada anak yatim.

Halimah tidak mengharapkan upah sebagaimana yang diinginkan oleh wanita-wanita lain ketika itu. Namun beliau telah diberi upah dengan berlipat ganda oleh Allah SWT.