Tuesday, November 30, 2010

HADIS 40 - AKHIR ZAMAN (Taqwa & Perpaduan Asas Keselamatan Di Akhir Zaman)

Daripada Abi Najih ‘Irbadh bin Sariyah r.a berkata : “Telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu Baginda pun bersabda : Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya siapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalihah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bida’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap yang bida’ah itu adalah sesat.”

Hadis Riwayat Abu Daud & Tirmidzi

KETERANGAN :

Hadis ini mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah SAW bagi umatnya terutamanya bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah dia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis ini iaitu :

1) Hendaklah bertaqwa kepada Allah dalam apa juga keadaan dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

2) Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mana mereka berpegang kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan amalan Khulafa Ar Rasyidin kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW.

3) Berpegang teguh kepada sunnah Nabi SAW dan amalan Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala iaitu berpegang kepada fahaman dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.

4) Menjauhi perkara-perkara bida’ah dholalah iaitu apa juga fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asas atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bida’ah menurut pengertian syarak (bukan bida’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bida’ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitu bida’ah hasanah).


Jadikan taqwa sebagai jalan,
Di dalam hidup sepanjang zaman,
Taat dan patuh pada pimpinan,
Selama Quran jadi pegangan.

Sunnah Nabi dipegang teguh,
Sunnah Khulafa diikut penuh,
Mesti waspada ajaran musuh,
Bida’ah dholalah wajib dijauh.

Sunday, November 28, 2010

HAJI YANG DITERIMA

Pada suatu musim haji, Abdullah bin Mubarak yang sedang menunaikan haji telah tertidur di Masjidil Haram. Ketika di dalam tidur itulah beliau telah bermimpi dua malaikat turun ke bumi dan telah berlaku perbualan di antara kedua-dua malaikat tersebut.

“Berapakah bilangan jemaah haji pada tahun ini?”

“600,000.” jawab temannya.

Dia bertanya lagi, “Berapa pula yang diterima?”

Temannya menjawab, “Pada mulanya tidak seorang pun haji mereka diterima. Namun ada seorang yang tidak dapat menunaikan fardhu haji pada tahun ini tetapi hajinya telah diterima. Dan disebabkan keberkatan ini, maka haji seluruh jemaah pada tahun ini telah diterima. Orang tersebut bernama Muwaffaq yang merupakan seorang tukang kasut yang tinggal di Damsyik.”

Setelah Abdullah bin Mubarak tersedar dari tidurnya, beliau pun bangun lalu pergi ke Damsyik. Beliau mencari orang yang bernama Muwaffaq sehingga bertemu dengan rumahnya. Ketika diketuk pintu rumahnya, keluarlah seorang lelaki. Abdullah segera bertanyakan namanya.

“Muwaffaq,” jawab lelaki tersebut.

Abdullah menceritakan tentang mimpinya kepada Muwaffaq dan bertanya kepadanya bagaimana beliau boleh mendapat darjat sedemikian.

Muwaffaq pun menceritakan kisahnya yang sebenar. Beliau telah mengumpulkan wang sebanyak 300 dirham hasil dari pekerjaannya membuat dan menampal kasut. Oleh itu beliau berhajat untuk menunaikan haji dengan menggunakan wang tersebut.

Pada masa itu isterinya sedang hamil. Suatu hari isterinya tercium bau masakkan jirannya dan isterinya teringin untuk merasai masakkan itu. Lalu Muwaffaq pun pergi ke rumah jirannya bagi menyampaikan hasrat isterinya itu.

Jirannya dengan nada sedih berkata, “Aku terpaksa membuka rahsia yang sebenar. Sebenarnya anak-anakku yang yatim telah tiga hari tidak makan kerana kesempitan hidup kami. Maka aku keluar mencari makanan untuk mereka. Kemudian aku bertemu dengan bangkai himar di suatu tempat. Lalu aku potong sebahagian dagingnya dan membawanya pulang untuk dimasak. Jadi makanan itu halal bagi kami tetapi haram bagi kamu.”

Muwaffaq amat terharu mendengar kisah jirannya. Beliau lalu pulang ke rumah mengambil wang 300 dirham yang telah dikumpulnya selama ini dan diberikan kepada wanita itu sebagai perbelanjaan anak-anaknya yang yatim.

Sebab itulah beliau tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini kerana wang yang dikumpulkan selama ini untuk tujuan tersebut telah disedekahkan kepada wanita tersebut. Dengan berkat keikhlasan membantu jirannya itu maka Allah SWT telah member ganjaran pahala haji.

Muwaffaq menambah lagi, “Sedangkan hajiku berada di depan pintu rumahku.”

Thursday, November 25, 2010

KEIKHLASAN MEMBAWA BERKAT

Ketika Halimatus Saadiah menerima Muhammad sebagai anak susuannya, beliau menyedari Siti Aminah hanyalah seorang janda yang tidak memiliki harta kekayaan walaupun datang dari keluarga terhormat.

Tiba-tiba beliau terdengar suatu bisikan. Suara itu memintanya supaya tidak mementingkan upah sebagai balasan menyusu seorang anak susuan. Lazimnya kaum wanita lain akan menolak untuk menyusui anak-anak yang tidak mempunyai ayah.

Setelah suaminya, Abu Qabsyah setuju, beliau terus bertemu dengan Abdul Muthalib, datuk kepada bayi yang akan disusuinya.

Abdul Muthalib sungguh gembira apabila Halimah sanggup menyusui cucunya. Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Halimah. Beliau menunjukkan kepada Halimah bayi yang akan disusuinya nanti.

Halimah amat menyayangi anak itu. Wajahnya sungguh comel dan bersih. Anak itu diselimuti dengan kain bulu berwarna putih dan beralaskan kain sutera hijau.

Entah mengapa hati Halimah sungguh berdebar. Tangannya menggigil ketika menyentuh bayi itu. Anak itu tersenyum kepadanya.

Siti Aminah mengalirkan air mata ketika mahu menyerahkan anaknya kepada Halimah. Beliau akan berpisah buat sementara waktu dengan anak tunggal yang amat disayanginya itu. Anak yang telah kematian ayah.

Namun begitulah adat bangsawan arab ketika itu yang mana mereka akan menyerahkan anak mereka untuk disusui oleh wanita desa. Semoga dengan itu, anak yang membesar akan lebih sihat, berfikiran luas dan terpelihara dari persekitara kota yang kurang baik.

Walaupun Halimah sangat gembira menerima bayi itu namun masih ada yang merisaukan dirinya. Beliau menyedari dirinya yang kurus tidak mungkin dapat menyediakan air susu yang banyak untuk diberikan kepada Muhammad.

Sesuatu yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Setelah tiba di dusunnya, beliau merasa dadanya membengkak dan penuh dengan air susu. Beliau segera menyusui Muhammad dengan gembira.

Setelah anak itu kekenyangan, Halimah menyusui anaknya sendiri iaitu Abdullah. Anaknya juga dapat minum dengan puas. Sedangkan selama ini walaupun Abdullah telah menyusu, beliau akan menangis lagi kerana masih kelaparan.

Malah yang lebih menakjubkan, unta-unta peliharaan Halimah dan suaminya menjadi gemuk dan sihat. Unta-unta yang sebelum ini kurus kering dapat diperah susunya oleh Abu Qabsyah. Susu unta yang begitu banyak dapat diminum oleh mereka sekeluarga.

Keikhlasan Halimah telah mendatangkan tuah kepadanya. Keikhlasan kerana menjadi iu susuan kepada anak yatim.

Halimah tidak mengharapkan upah sebagaimana yang diinginkan oleh wanita-wanita lain ketika itu. Namun beliau telah diberi upah dengan berlipat ganda oleh Allah SWT.