Thursday, March 31, 2011

BAHAYA KEMEWAHAN

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a : “Bahawasanya kami sedang duduk dengan Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a dan tiada di atas badannya kecuali sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan, maka akan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Ka’abah?”. Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada kerja-kerja ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki. Lalu Nabi SAW bersabda, “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”.

Hadis Riwayat Tirmidzi

KETERANGAN :

Dalam Hadis ini, Rasulullah SAW menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan di dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan pelbagai perhiasan. Dalam keadaan demikian, kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana kalau semuanya sudah ada maka mudahlah untuk beribadah. Tetapi Nabi Muhammad SAW mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkin kita untuk beribadah.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada beribadah kepada Allah SWT, seperti mana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan namun ianya sudah mencukupi. Tetapi apabila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, maka kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadah kita sangat jauh ketinggalan berbanding mereka. Kekayaan dan kemewahan yang ada selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah banyak lagi. Tidak ubah seperti yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Seandainya seorang anak Adam itu telah memperolehi satu jurang emas, maka dia akan berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (mati)”.

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Mereka sentiasa mencari dan menambah kekayaan sehinggalah mereka menemui kematian. Maka ketika itu barulah mereka sedar dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi akan penyesalan. Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram kerana yang penting adalah mendapat harta. Tidak kira waktu solat, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbunkan kekayaan. Biarlah kita cari harta benda dunia pada batas-batas keperluan. Jika berlebihan, bolehlah digunakan untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan mereka menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat menuai hasilnya.



Cubalah lihat para sahabat,

Banyak bersabar, rajin ibadat,

Walaupun hidup susah melarat,

Di sisi Tuhan selalu taat.


Cubalah lihat pada dirimu,

Semua cukup makan dijamu,

Ibadat kurang, suka mengadu,

Bekal akhirat kurang ditumpu.

Thursday, March 24, 2011

DIBANGKITKAN JUGA SENDIRIAN

Rasulullah SAW pernah berkata kepada Abu Zar Al Ghifari, “Sahabatku, engkau akan ditimpa suatu bencana di hari kemudian.”

Abu Zar menjawab, “Saya akan menerima bencana itu dengan gembira wahai Rasulullah.”

Dalam Perang Tabuk, Rasulullah SAW kelihatan gelisah kerana Abu Zar masih belum tiba. Ke manakah menghilangnya Abu Zar? Sedangkan mereka telah bersama-sama bertolak dari Mekah.

Tiba-tiba kelihatan dari jauh seorang lelaki sedang berjalan dengan keletihan. Rasulullah SAW sangat gembira setelah mengetahui bahawa lelaki itu ialah Abu Zar Al Ghifari. Abu Zar telah berjalan sendirian dengan membawa bekalan dan kelengkapan senjata yang berat di samping mengharungi padang pasir yang sepi dan panas membara. Sebenarnya Abu Zar terpaksa meninggalkan keldainya kerana binatang itu sudah tidak bermaya di dalam perjalanan.

Air mata Rasulullah SAW membasahi pipinya. Baginda berkata, “Akhirnya engkau datang juga sahabatku.”

Rasulullah SAW meneruskan kata-katanya kepada para sahabat yang lain, “Allah telah memberi kurnia kepada Abu Zar yang hari ini dia berjalan kaki sendirian, kemudian dia akan meninggal dunia sendirian dan dibangkitkan Allah di hari pembalasan juga sendirian.”

Suatu hari Abu Zar bersama isteri dan seorang khadamnya pergi ke Rabzah. Dalam perjalanan, Abu Zar telah jatuh sakit. Isterinya menangis melihatkan keadaan suaminya itu. Abu Zar pun bertanya, “Mengapa engkau menangis?”

Isterinya menjawab dengan nada sedih, “Engkau sedang sakit kuat, sedangkan aku tidak mempunyai kain untuk menutupi tubuhmu.”

Dengan tenang Abu Zar menjawab, “Jangan engkau menangis. Ini adalah penghormatan yang aku cintai.”

Kemudian Abu Zar berwasiat, “Sekiranya aku mati, janganlah engkau bersusah hati. Sesudah jenazahku engkau mandikan, bungkuslah dengan kain kafan sekadarnya. Sesudah itu letaklah mayatku di tepi jalan. Orang yang mula-mula kamu jumpa, katakan kepadanya bahawa yang mati itu adalah Abu Zar Al Ghifari, sahabat Rasulullah SAW.”

Setelah Abu Zar meninggal dunia dan dipatuhi wasiatnya, lalulah seorang musafir di jalan itu. Isteri Abu Zar menegurnya, “Maaf tuan, lelaki yang meninggal dunia ini adalah Abu Zar Al Ghifari, sahabat Rasulullah SAW.”

Kebetulan lelaki yang lalu itu adalah Ibnu Mas’ud yang juga merupakan sahabat Rasulullah SAW. Dia terperanjat lantas teringat kembali sabda Rasulullah SAW. Ibnu Mas’ud berkata, “Ya Allah, semua yang dikatakan oleh Rasulullah SAW berlaku benar ke atas dirimu. Engkau berjalan sendiri, meninggal dunia sendiri dan pasti dibangkitkan nanti juga sendiri.”

Monday, March 21, 2011

USIA BUKAN UKURAN

Rasulullah SAW telah berulang kali melarang anak-anak muda yang masih remaja dari turut serta dalam peperangan. Ini disebabkan Rasulullah SAW lebih suka mereka menuntut ilmu dan menjaga keluarga masing-masing terutamanya kaum wanita dan orang-orang tua yang tidak berdaya.

Telah terdengar berita bahawa pihak musuh semakin hampir. Tidak lama lagi kaum Musyirikin akan tiba di Bukit Uhud.

Rasulullah SAW telah menyusun semula barisan perang setelah tentera-tentera pimpinan Abdullah bin Ubay menarik diri. Baginda telah mengarahkan supaya pasukan pemanah berada di puncak bukit agar kehadiran tentera musuh boleh dikesan.

Khuday dan Jundub yang telah uzur telah membenarkan anak-anak mereka yang masih kecil turut serta dalam peperangan menggantikan mereka. Tetapi apabila kedua-dua anak ini bertemu Rasulullah SAW, mereka disuruh pulang oleh Baginda.

Apabila Rafi’ tiba di rumah, ayahnya kehairanan kerana dia telah pulang sebelum peperangan bermula. Sangkanya anaknya itu takut menghadapi tentera-tentera musuh yang terdiri daripada orang-orang kafir.

Rafi’ menjawab dengan sedih bahawa anak-anak kecil telah disuruh pulang oleh Rasulullah SAW. Oleh itu Khuday segera bertemu Rasulullah SAW.

Khuday berkata kepada Baginda, “Ya Rasulullah, walaupun anakku ini berbadan kecil namun dia amat bersemangat dan kecekapannya menggunakan senjata setanding dengan orang dewasa. Dia menggantikan diriku yang telah tua dan uzur. Kalau engkau tidak percaya, aku oleh membuktikannya.”

Lalu Rasulullah SAW meminta Rafi’ menunjukkan kecekapannya memanah. Rafi’ telah membuktikan dengan memanah tepat kepada sasaran. Oleh itu, Rasulullah SAW telah membenarkannya turut serta dalam pasukan tentera Muslimin.

Apabila Jundub mendengar anak Khuday diterima menyertai pasukan tentera Islam, dia bersama anaknya, Samurah segera datang bertemu Rasulullah SAW.

Jundub berkata dengan bersemangat, “Ya Rasulullah, jika engkau menerima Rafi’ bin Khuday, maka sepatutnya anakku juga engkau terima.”

Baginda menjelaskan bahawa penerimaan Rafi’ adalah oleh kerana dia mampu memanah dengan cekap.

Jundub terus membela anaknya dengan mengatakan bahawa anaknya kuat bertumbuk. Dia rela membawa anaknya pulang sekiranya dapat dikalahkan oleh Rafi’.

Akhirnya Rasulullah SAW bersetuju memenuhi permintaan Jundub itu. Samurah pun diberi peluang dan ternyata setelah beberapa ketika, dia dapat menewaskan Rafi’.

Rasulullah SAW harus menunaikan janjinya. Kedua-dua anak itu diizinkan menyertai peperangan bersama orang-orang dewasa.

Di medan pertempuran, Rafi’ dan Samurah telah bersama-sama menumpaskan musuh. Mereka membela Rasulullah SAW yang sangat mereka kasihi.

Friday, March 18, 2011

ISLAM KEMBALI DAGANG

Dari Abu Hurairah r.a berkata : Bersabda Rasulullah SAW : “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”.

Hadis Riwayat Muslim

KETERANGAN :

Islam mulai tersebar di Mekah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan daripada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komited) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya kalau ada sesuatu program kemasyarakatan dan kemudiannya telah masuk waktu solat dan tiba-tiba ada seseorang yang meminta diri untuk mendirikan solat, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan tidak wajar. Sedangkan orang yang tidak solat dan bersenda-senda tatkala orang lain sedang solat pula tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Begitulah seterusnya nasib Islam di akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dirinya dilabel sebagai bukan Islam.



Nasib agama diakhir zaman,

Kembali asing dari pandangan,

Ramailah orang sudah lupakan,

Rukun Islam dan Rukun Iman.


Ke manakah arah tujuan,

Bila agama sudah dilupakan,

Marilah kita cuba hidupkan,

Sunnah Junjungan & Syariat Tuhan.

Tuesday, March 15, 2011

JIKA LEBIH PANJANG

Seorang sahabat telah meninggal dunia. Rasulullah SAW telah menghantar jenazah sahabat itu bersama-sama orang lain. Kemudian Rasulullah SAW menziarahi rumah keluarganya untuk memberikan kekuatan agar bersabar dan tawakal dengan ujian yang baru menimpa.

Rasulullah SAW bertanyakan kepada isteri almarhum sama ada suaminya ada meninggalkan apa-apa wasiat. Isterinya mengatakan, dia ada mendengar suami berkata sesuatu dengan suara tersekat-sekat menjelang ajalnya.

Rasulullah SAW bertanyakan apa yang didengarnya. Isteri almarhum menerangkan bahawa dia mendengar kata-kata : “Jika lebih panjang lagi….. Jika yang baru….. Jika semuanya…..” Dia tidak pasti sama ada perkataan itu dilahirkan kerana keadaannya yang tidak sedar atau ada pesanan yang ingin disampaikan.

Rasulullah SAW tersenyum. Baginda membenarkan apa yang diucapkan oleh suaminya kerana ia mengandungi peristiwa di sebaliknya. Rasulullah SAW pun menceritakan kisah sebenarnya.

Pada suatu hari suaminya pergi ke masjid. Dalam perjalanan, dia bertemu dengan seorang lelaki buta yang berjalan dalam keadaan sukar yang juga ingin ke masjid. Suaminya memimpin lelaki buta itu sehinggalah sampai ke tempat tujuan.

Ketika suaminya sedang nazak, Allah telah membuka hijab di alam kerohanian dengan menunjukkan amalan-amalannya yang baik. Kata-kata “Jika lebih panjang lagi…..” bererti sekiranya dia berjalan lebih jauh lagi ke arah masjid, tentulah dia mendapat pahala yang lebih besar. Dia merasa amat kesal.

Isteri almarhum bertanya lagi perihal ucapannya yang lain. Rasulullah SAW menerangkannya pula.

Suatu hari almarhum telah pergi ke masjid dengan lebih awal. Ketika itu udaranya sangat sejuk. Di tepi jalan dia bertemu dengan seorang lelaki tua yang sedang menggeletar kesejukan.

Ketika itu almarhum memakai sehelai baju sejuk yang lama manakala di tangannya sedang memegang sehelai baju sejuk yang baru. Dia membuka baju sejuknya yang lama dan memberikannya kepada lelaki tua itu. Manakala baju sejuknya yang baru itu dipakainya.

Semasa di saat nazaknya, dia telah diperlihatkan dengan amal kebaikannya itu. Kata-kata “Jika yang baru…..” bererti jika dia memberikan baju sejuk yang baru tentulah pahalanya akan lebih besar.

Isteri almarhum bertanya lagi tentang ucapan suaminya yang ketiga.

Rasulullah SAW mengingatkan suatu peristiwa di mana suaminya pulang ke rumah dalam keadaan lapar dan meminta disediakan makanan. Apabila hidangan yang mengandungi sepotong roti yang telah bercampur daging dan mentega itu disediakan, tiba-tiba datang seorang musafir mengetuk pintu meminta makanan.

Almarhum membahagi dua roti tersebut dan memberikan separuh kepada lelaki itu. Sebab itulah ketika nazak, dia berkata “Jika semuanya …………….” yang bererti sepatutnya dia memberikan ke semua roti itu.

Isteri almarhum merasa sangat gembira. Dia dapat membayangkan kebahagiaan yang bakal diperolehi suaminya nanti.

Thursday, March 10, 2011

MAYAT YANG DISALIB

Zaid adalah anak kepada Ali Zainal bin Husin bin Ali bin Abi Talib r.a. Dia adalah bapa saudara kepada Jaafar As Siddiq.

Saidina Zaid adalah seorang imam mujtahid. Dia telah menentang Hisyam Abdul Malik yang mengangkat dirinya sebagai khalifah. Diceritakan pada suatu hari Hisyam telah berkata kepada Zaid :

“Aku dengar kamu menginginkan jawatan khalifah. Sedangkan ia tidak layak buatmu kerana kamu anak kepada seorang hamba.”

Saidina Zaid lalu menjawb, “Ismail juga adalah anak kepada seorang hamba sedangkan Ishak adalah anak kepada seorang yang merdeka. Namun dari sulbi Ismail lahirlah sebaik-baik manusia yakni Nabi Muhammad SAW.”

Oleh sebab penentangan itulah, dia telah diperangi oleh Yusuf bin Umar, Amir Iraq ketika itu bagi pihak Hisyam bin Abdul Malik. Dalam pertempuran itu, Saidina Zaid mendapat luka dan keningnya terkena panah.

Setibanya malam, dicari seorang yang pandai mencabut anak panah di desa berhampiran. Setelah dikeluarkan anak panah tersebut, Saidina Zaid telah pun meninggal dunia. Mereka mengebumikannya dan menyiram air di atas kuburnya bagi mengelakkan dari dikesan. Mereka juga meminta tukang cabut anak panah itu merahsiakan kejadian tersebut.

Malangnya lelaki tersebut tidak menepati janjinya. Keesokkan harinya dia telah menemui Yusuf bin Umar dan memberitahu di mana kedudukan kubur tersebut. Kemudian Yusuf menggali semula kubur itu dan mengeluarkan mayat Saidina Zaid. Mayat tersebut dikirimkan kepada Hisyam Abdul Malik. Hisyam telah memerintahkan supaya mayat itu disalib tanpa pakaian.

Diceritakan bahawa mayat itu telah disalib selama empat atau lima tahun. Mereka memalingkan mukanya dari menghadap kiblat. Seekor labah-labah telah menjalin sarangnya pada tubuh sehingga menutup auratnya. Kemudian mereka membakar kayu salib itu dan mayat itu turut terbakar dan abunya ditaburkan ke Sungai Furat.

Syarif Ibnu Saad berkata : “Kepala Saidina Zaid akhirnya dibawa ke Mekah dan dikebumikan di antara dua bukit di jalan menuju Jami’ Ibnu Thulun.