Tuesday, May 10, 2011

PENCURI KAIN KAFAN YANG MEROGOL MAYAT

Suatu hari Umar Al Khattab bertemu Rasulullah SAW sambil menangis teresak-esak. Rasulullah SAW merasa hairan lantas bertanya, “Apakah yang menyebabkan kau menangis wahai sahabatku?"

Umar menjelaskan, “Di pintu rumahku ada seorang pemuda yang sedang menangis. Tangisannya yang menyedihkan seolah-olah membuatkan hatiku terbakar.”

Rasulullah SAW berkata, “Bawalah dia menghadapku.”

Umar Al Khattab pulang dan membawa pemuda itu bertemu Rasulullah SAW. Pemuda itu masih lagi menangis dengan penuh hiba.

Rasulullah SAW pun bertanya, “Anak muda, masa depanmu masih panjang. Mengapakah engkau menangis seperti ini?”

Pemuda itu sedang menundukkan mukanya lalu berkata, “Tangisanku adalah tangisan dosa. Begitu besar dosa saya kepada Tuhan dan saya takut akan kemurkaanNya serta kemarahan utusanNya.”

Rasulullah SAW terdiam. Kemudian Baginda bertanya, “Apakah engkau telah menyekutukan Tuhan dengan sesuatu yang lain?”

Pemuda itu menjawab, “Tidak.”

Baginda bertanya lagi, “Apakah engkau membunuh seseorang tanpa hak?”

Pemuda itu menggelengkan kepala.

“Kalau begitu, Allah akan mengampuni dosamu meskipun besarnya memenuhi tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi,” jawab Nabi menenangkan pemuda itu.

Pemuda itu berkata dengan rasa takut, “Dosa saya lebih besar dari tujuh lapis langit dan gunung-gunung yang tinggi.”

“Apakah dosamu lebih besar atau Kursy Allah yang suci yang lebih besar?” Tanya Rasulullah SAW lagi.

Tanpa ragu pemuda itu menjawab, “Dosa saya lebih besar.”

“Apakah dosamu juga lebih besar dari Arasy Allah?” tanya Baginda seterusnya.

“Saya yakin dosa saya lebih besar,” kata pemuda itu.

“Apakah dosamu itu lebih besar dari Allah dan kasih sayangNya?” tanya Baginda.

“Tentulah Allah lebih besar beserta kasih sayangNya,” jawab pemuda itu.

Lalu Baginda berkata, “Kalau begitu, ceritakanlah apa dosamu itu.”

“Saya malu kepadamu wahai Rasulullah,” kata pemuda itu yang kembali menangis.

“Mengapa mesti malu kepadaku? Janganlah berperasaan begitu. Ceritakanlah,” Rasulullah SAW memberi dorongan.

Pemuda itu mengangkat mukanya perlahan-lahan dan mula bercerita, “Wahai kekasih Allah, pekerjaan saya sejak berusia tujuh tahun ialah membongkar kubur-kubur mayat yang baru meninggal dunia dan mencuri kain kafannya.

Pada satu hari, anak salah seorang lelaki Ansar telah meninggal dunia. Sebaik sahaja selesai dikuburkan dan kawasan perkuburan ditinggalkan, saya bongkar kuburnya. Lalu saya bukakan kain kafannya. Dia adalah anak gadis yang sangat cantik dan kelihatan masih dara.

Saya telah tergoda oleh nafsu yang sesat akibat hasutan syaitan. Mayat gadis itu telah saya setubuhi. Tiba-tiba saya seolah-olah terdengar jeritan gadis itu yang mengoyak jantungku : Apakah engkau tidak malu dan tidak takut kepada pengadilan Allah pada hari hak orang yang dizalimi dituntut kepada yang menzaliminya? Sungguh kejam hatimu membiarkan saya telanjang di kalangan orang-orang mati. Kamu telah membuatkan aku menanggung hadas di hadapan Allah, sedangkan saya telah dimandikan dan disembahyangkan.

Itulah dosaku yang amat besar wahai Rasulullah. Sejak itu saya terus menangis sehingga kini.”

Setelah mendengar kisah pemuda yang sangat keji itu, Rasulullah SAW lantas bangun dan memalingkan muka. Dalam keadaan marah, baginda berkata, “Hai pemuda fasik! Keluar kamu dari hadapanku. Tidak ada balasan yang setimpal dengan perbuatan kamu melainkan Neraka!”

Mendengar ucapan Baginda yang tidak diduga itu, pemuda itu segera keluar dengan terhuyung hayang. Dia berjalan di tengah-tengah padang pasir selama tujuh hari tujuh malam tanpa makan dan minum dan juga tidak tidur.

Mukanya ditelangkupkan dan sujud di atas pasir tidak mengira sama ada hari panas atau ketika cuaca sejuk. Dia mengadu kepada Allah sambil menangis :

“Ya Allah, saya adalah seorang hamba yang berdosa besar. Saya telah datang ke pintu rumah utusanMu, dengan harapan Baginda sudi memberi syafaat kepadaku di hadapanMu nanti. Tetapi setelah mendengar dosaku yang sungguh keji, Baginda telah berpaling dengan benci. Baginda telah menghalauku.

Kini saya datang menghadapMu. Ya Tuhan, saya mengetuk pintuMu agar Engkau mahu mengampuni dosaku dan menerima taubatku. Saya tidak putus harapan kerana Engkau adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sekiranya Engkau juga tidak sudi menurunkan pengampunanMu, maka turunkanlah apiMu membelah langit. Bakarlah diriku dengan apiMu di dunia sebelum ia membakarku di akhirat kelak.”

Allah mengutus malaikat Jibrail bertemu Rasulullah SAW. Setelah Jibrail a.s menyampaikan salam Allah SWT, Baginda pun menjawab, “Dialah Salam, daripadaNya Salam dan kepadaNyalah kembalinya Salam.”

Kemudian Jibrail pun bertanya, “Wahai Muhammad, Allah bertanya kepadamu, adakah engkau yang menciptakan hamba-hambaNya?”

Rasulullah SAW terkejut mendengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Malah sebaliknya. Tuhanlah yang menciptakan diriku dan menciptakan mereka.”

Seterusnya Jibrail bertanya, “Tuhan bertanya lagi, apakah engkau yang berkuasa dan memberi rezeki kepada mereka?”

Rasulullah SAW menjawab, “Sama sekali tidak. Tuhanlah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadaku.”

Jibrail bertanya lagi, “Tuhan bertanya, apakah engkau yang menerima taubat dan menghapuskan segala kesalahan?”

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Allahlah yang memiliki kuasa itu.”

Jibrail terus berkata, “Allah berfirman kepadamu : Telah Kukirimkan salah seorang hambaKu kepadamu, diceritakan dosa-dosanya dengan rasa kesal, mengapa engkau berpaling dengan begitu menyakitkan? Bagaimana jika datang hamba-hambaKu yang lain sambil memikul dosa yang menggunung? Engkau Aku utus adalah untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam. Jangan kau kecewakan harapan hambaKu yang tergelincir kerana dosa.”

Teguran langsung dari Allah SWT ini telah menyedarkan Rasulullah SAW dari kekeliruannya. Dengan segera Baginda meminta sahabatnya mencari pemuda itu.

Setelah lama mencari, akhirnya mereka menemui pemuda itu yang sedang sujud dalam keadaan yang mengharukan. Mereka memberitahunya bahawa dosanya telah diampunkan. Kemudian mereka membawanya menghadap Rasulullah SAW.

Ketika itu Rasulullah SAW sedang solat Maghrib. Para sahabat dan pemuda itu menjadi makmum di belakang Baginda. Setelah membaca Al Fatihah, Rasulullah SAW pun membaca surah At Takasur. Apabila tiba pada ayat yang kedua, terdengar jeritan dari pemuda itu.

Setelah selesai solat berjemaah, Rasulullah SAW dan para sahabat melihat pemuda tersebut. Ternyata dia telah pun meninggal dunia.

Thursday, May 5, 2011

ORANG YANG BAIK BERKURANGAN SEDANGKAN YANG JAHAT BERTAMBAH BANYAK

Daripada Aisyah r.a berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Tidak akan berlaku kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang jahat berani melawan orang-orang baik”.

Hadis Riwayat Thabarani

KETERANGAN :

Di antara tanda-tanda kiamat ialah :

1) Bila anak-anak menjadi punca kemarahan orang tuanya.

2) Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.

3) Orang jahat bertambah ramai dan galakkan untuk membuat kejahatan sangat banyak.

4) Orang yang berbuat kebaikan jumlahnya sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.

5) Anak-anak sudah berani melawan orang tua.

6) Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.

Nampaknya corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya dari apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW ini. Setiap hari kita melihat kebenaran daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

Kita berdoa mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita dan anak cucu kita dari tergolong di kalangan mereka yang disebutkan tadi.


Anak derhaka menjadi-jadi,

Didikan Islam tidak diberi,

Anak tiada mengenang budi,

Ibu bapa dibuat abdi.


Hujan berkurang, cuaca panas,

Makin bertambah pelaku ganas,

Budaya lepak, segan dan malas,

Dadah dihisap, arak segelas.


Alim ulama tidak dihormat,

Ta’zim dan taat tidak diminat,

Banyak sekali tempat maksiat,

Siang dan malam meruntuh umat.

Wednesday, May 4, 2011

UNDANGAN ALLAH LEBIH BAIK

Al Hajjaj bin Yusuf dan rombongannya berehat di satu tempat yang mempunyai mata air yang terletak di antara Mekah dan Madinah. Dia mengarahkan pengawalnya untuk mencari seseorang untuk bertanyakan sesuatu.

Pengawalnya segera mencari orang yang diperlukan itu. Dia ternampak seorang lelaki Badwi sedang tidur berselimutkan kain yang sudah lusuh. Dia lalu mengejutkan lelaki itu, “Bangun, bangun. Kamu dipanggil oleh tuanku.”

Lelaki Badwi itu kehairanan dan tertanya-tanya mengapa dirinya dipanggil. Setelah tiba di hadapan Hajjaj, dia diminta supaya membasuh tangannya.

Al Hajjaj menjemputnya, “Silalah makan bersamaku.”

Lelaki Badwi itu menolaknya dengan berkata, “Aku telah menerima undangan yang lebih baik daripada undanganmu. Oleh itu aku meminta maaf kerana tidak dapat memenuni undanganmu.”

Al Hajjaj bertanya, “Undangan siapa itu?”

“Allah! Dia telah memanggilku untuk berpuasa dan sebagai memenuhi undang itu, maka hari ini aku berpuasa,” jawab lelaki Badwi itu.

Al Hajjaj bertanya lagi dengan kehairanan, “Apakah di musim kemarau yang panas terik ini kau tetap berpuasa?”

“Benar, untuk menghadapi hari yang lebih panas dari hari ini,” jawab lelaki Badwi itu.

“Berbukalah sahaja hari ini. Kamu masih boleh berpuasa esok hari,” pujuk Al Hajjaj yang masih tidak berputus asa.

“Adakah engkau dapat menjamin bahawa esok aku masih hidup sehingga boleh berpuasa? Jika kau dapat memberikan jaminan, aku akan berbuka sekarang juga,” lelaki Badwi itu memutuskan.

“Ini pasti tidak dapat kulakukan kerana di luar kuasaku,” jawab Al Hajjaj.

Lelaki Badwi itu bertanya lagi, “Sekiranya ini di luar kuasamu, maka mengapa kau boleh meminta aku membatalkan sesuatu yang sudah pasti dan digantikan dengan sesuatu yang di luar kuasamu?”

“Makanan ini sungguh lazat, kau akan menyesal jika tidak memakannya,” Hajjaj memujuk lagi.

“Kelazatan itu bukan buatan tukang masak sebaliknya kelazatan datang dari tubuh yang sihat,” kata lelaki Badwi itu.

Al Hajjaj terpukul dengan kata-kata lelaki Badwi itu. Jangan disangka orang yang kelihatan bodoh itu bodoh juga pemikirannya.