Monday, July 25, 2011

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ

Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan seorang khalifah dari Bani Umaiyah yang terkenal adil dan bijaksana. Dia menaiki takhta pada tahun 99 Hijrah atau 717 Masihi bagi menggantikan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Dia adalah dari keturunan Saidina Umar Al Khattab.
Selepas upacara perlantikan khalifah baru, dia merasa sungguh letih. Oleh itu dia berhasrat untuk tidur sebentar sambil menunggu waktu solat Zuhur.

Sebaik sahaja dia membaringkan tubuhnya, tiba-tiba anaknya Abdul Malik datang menemuinya dan berkata, “Ada orang mahu berjumpa ayah.”

“Aku ingin tidur sebentar, selepas solat Zuhur akan aku terima sesiapa sahaja yang ingin menemuiku,” minta khalifah.

Maka Abdul Malik pun berkata, “Ayah, siapakah yang dapat menjamin bahawa ayah akan dapat hidup sehingga waktu Zuhur?”

“Astaghfirullah..” khalifah tersedar dari kesilapannya. Dia segera bangun dari tempat tidurnya. “Aku beruntung kerana mempunyai anak yang selalu membantuku dalam menegakkan ajaran agama,” katanya sambil memeluk anaknya itu. Kemudian khalifah pergi ke balai penghadapan untuk menjalankan tugasnya.

Pada satu pagi sebelum Subuh, Khalifah Umar masuk ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Ruang dalam masjid masih gelap kerana lampu belum dinyalakan lagi. Ketika dia berjalan itu, tiba-tiba terpijak orang yang sedang tidur di situ. Orang itu menjerit, “Apakah kamu sudah gila?”

Pengawal yang mengiringi khalifah merasa marah dengan perbuatan yang dianggap tidak beradab itu. Dia memegang orang itu namun khalifah segera menahan. Khalifah menarik tangan pengawal itu dan berkata, “Mengapa kita mesti marah? Bukankah dia hanya bertanya, apakah kita sudah gila. Jawapannya ialah tidak. Selesai!”

Wednesday, July 20, 2011

DI MANAKAH PUNCA KEBINASAAN SESEORANG?

Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila dia lari membawanya dari satu puncak bukit ke puncak bukit yang lainnya dan dari satu lubang ke lubang yang lainnya. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang mengakibatkan kemurkaan Allah SWT. Maka apabila ini terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Jika dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau kedua orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kamu kerabatnya (adik beradiknya sendiri) atau dari menepati kehendak jirannya”. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud perkataanmu ini?”. (kebinasaan seseorang dari kerana isterinya atau anaknya atau orang tuanya atau keluarganya atau jirannya). Nabi SAW menjawab, “Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu dia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya di jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya”.

Hadis Riwayat Baihaqi

KETERANGAN :

Benar sekali sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang yang mengetahui perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam tetapi terpaksa juga menceburkan diri ke dalam lembah kemaksiatan demi untuk melayan kehendak isteri, anak, orang tua, keluarga atau pun jiran mereka.


Hendaklah kita berhati-hati,

Dalam mencari nafkah dan rezeki,

Jangan ikutkan kehendak isteri,

Nanti membawa binasa diri.


Anak dididik, akhlak diberi,

Dengan tarbiyah agama suci,

Dari buaian sampai ke mati,

Terus menerus tidak berhenti.


Jangan abaikan nasihat ini,

Nanti kau sesal kemudian hari,

Betapa banyak azab diberi,

Kerana turutkan kehendak hati.

Tuesday, July 19, 2011

JAMINAN ALLAH SUDAH CUKUP

Setelah diangkat menjadi Rasul, Nabi Muhammad SAW mengajak kaumnya kepada Islam. Namun ada sahaja penentangan dan penolakan terhadap dakwah ini.

Kemudian Rasulullah SAW pun menziarahi sahabat karibnya sejak kecil iaitu Abdullah bin Abu Qahafah. Apabila Nabi Muhammad SAW menerangkan kepadanya mengenai Islam, Abdullah bin Abu Qahafah terus beriman kepada Allah dan RasulNya.

Dia terus melafazkan, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”

Sejak itu dia dikenali dengan nama barunya iaitu Abu Bakar. Dia merupakan antara yang terawal memeluk Islam.

Abu Bakar adalah seorang pedagang yang pemurah dan baik hati. Dia sering memberi pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan bantuannya. Telah ramai hamba-hamba yang ditebusnya dan dimerdekakan terutamanya hamba-hamba yang sering diseksa dengan kejam.

Di antara hamba-hamba itu ialah Bilal bin Rabah dan Amru bin Fuhairah. Oleh itu Abu Bakar sangat disayangi oleh kaum yang tertindas.

Apabila penentangan puak Quraisy semakin berleluasa, Nabi Muhammad SAW pun memerintahkan orang-orang Islam supaya berhijrah ke Habsyah. Abu Bakar termasuk salah seorang dari mereka.

Ketika Abu Bakar melalui kawasan Ibnu Daghinnah, sahabatnya yang belum Islam, dia telah bertanya, “Sahabatku, engkau mahu ke mana? Mengapakah engkau membawa kelengkapan begitu banyak? Apakah engkau mahu berjalan jauh?”

Abu Bakar membenarkan dan mengatakan bahawa dia hendak pergi jauh dari situ.

Ibnu Daghinnah kehairanan. Dia bertanya lagi, “Ke mana?”

“Ke Habsyah,” jawab Abu Bakar.

“Mengapa?” tanya Ibnu Daghinnah lagi.

“Aku telah diganggu dan dizalimi oleh kaumku. Aku ingin pergi ke suatu tempat yang lebih selamat supaya aku dapat menyembah Tuhanku dengan aman dan bebas.” Mendengar jawapan Abu Bakar itu, Ibnu Daghinnah merasa marah. Dia hairan mengapa Abu Bakar diganggu sedangkan dia sentiasa berbuat kebaikan dan membantu orang lain. Dia pun berkata, “Pulanglah ke Mekah. Aku akan melindungi keselamatanmu.”

Ibnu Daghinnah menghantar Abu Bakar kembali ke Mekah. Di hadapan orang ramai, Ibnu Daghinnah berkata, “Wahai penduduk Mekah. Putera Abu Qahafah adalah di bawah perlindunganku. Tidak ada sesiapa yang boleh mengganggunya melainkan orang itu akan berhadapan denganku.”

Beberapa pemimpin Quraisy yang turut berada di situ menjawab, “Wahai Ibnu Daghinnah, kami berjanji tidak akan mengganggu Abu Bakar. Namun kamu hendaklah menghalangnya dari menunjukkan cara ibadahnya yang berbeza itu daripada kami.”

Saidina Abu Bakar pun berjanji akan mematuhi syarat-syarat yang diminta oleh pemimpin-pemimpin Quraisy itu. Sejak itu Saidina Abu Bakar hanya melakukan solat dan membaca Al Quran di biliknya sendiri.

Namun tidak berapa lama kemudian, anak-anak muda Mekah datang beramai-ramai ke rumah Saidina Abu Bakar. Mereka memintanya supaya mengajar mereka mengenai Al Quran dan ajaran-ajaran Nabi Muhammad SAW.

Ini telah membimbangkan pihak kafir Quraisy. Mereka pergi menemui Ibnu Daghinnah tentang janjinya menjamin Abu Bakar supaya tidak beribadah secara terbuka. Tetapi Abu Bakar telah membaca Al Quran sehingga menarik minat pemuda-pemuda.

“Kami meminta jasa tuan untuk mengingatkan Abu Bakar mengenai syarat-syarat perjanjian yang telah dipersetujuinya. Kami tidak mahu lagi Abu Bakar meneruskan perbuatannya itu.”

Ibnu Daghinnah menjadi serba salah namun dia pergi berjumpa Abu Bakar. Dia pun menjelaskan tujuannya bahawa kaum Quraisy telah mengadu kepadanya yang Abu Bakar sudah melanggar perjanjian.

“Jadi pilihlah salah satu. Sama ada terus berada di bawah perlindunganku dan menghentikan semua ibadahmu ataupun engkau memulangkan semula perlindungan yang telah aku berikan. Ini bererti engkau bebas dari perlindunganku.”

Abu bakar menjawab tanpa ragu-ragu, “Wahai Daghinnah, aku tidak dapat menghentikan segala perbuatanku. Aku akan kembalikan jaminan keselamatanku kepada engkau. Sebab jaminan keselamatan dari Allah sudah cukup bagiku.”

Ibnu Daghinnah terkejut mendengar kata-kata Abu Bakar tersebut. Lalu Ibnu Daghinnah pun berkata kepada kaum Quraisy, “Wahai saudara-saudara, putera Abu Qahafah sudah pun mengembalikan jaminan keselamatannya kepadaku. Oleh itu, berbuatlah sekehendak hati kamu kepadanya. Dia tidak lagi di bawah perlindunganku.”

Setelah Saidina Abu Bakar tidak lagi di bawah perlindungan Ibnu Daghinnah, maka kaum kafir Quraisy kembali melakukan berbagai ancaman kepadanya. Meskipun begitu Saidina Abu Bakar tetap beriman dengan sesungguhnya kepada Allah dan RasulNya.