Thursday, October 20, 2011

SEDIKIT LELAKI DAN BANYAK PEREMPUAN

Daripada Anas r.a berkata, "Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Di antara tanda qiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus 50 orang perempuan."

Hadis Riwayat Bukhari Muslim

KETERANGAN :


Nabi SAW menerangkan, bahawa di antara tanda hampirnya qiamat ialah sedikit ilmu agama, banyak kejahilan, banyak berlaku perzinaan, sedikit kaum lelaki dan ramai kaum perempuan.


Statistik penduduk dunia pada hari ini menunjukkan bahawa jumlah kaum perempuan adalah lebih ramai dari jumlah kaum lelaki. Di sesetengah negara terdapat nisbah bagi bilangan setiap lelaki berbanding dengan 11 wanita (1:11).


Dan kalau kita meneliti di merata tempat, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa perempuan adalah lebih banyak dari lelaki.


Menurut Imam Ibnu Hajar, sebab bilangan perempuan lebih ramai dari kaum lelaki adalah akibat dari peperangan yang berlaku kerana yang banyak terbunuh dalam peperangan adalah kaum lelaki bukannya perempuan dan juga Allah SWT menghendaki kebanyakan yang lahir di dunia ini adalah perempuan dan sedikit sekali dari kalangan lelaki.

Monday, October 3, 2011

CINTA SAHABAT KEPADA RASULULLAH SAW

Para sahabat Rasulullah SAW sangat mencintai Baginda. Segala kata-kata Baginda akan segera dipatuhi walaupun kata-kata itu tidak ditujukan secara langsung kepada diri mereka. Mereka juga begitu sensitif dengan segala tindakan Rasulullah SAW sehingga mereka tidak bertangguh-tangguh dalam mengikuti sunnah Rasulullah SAW.


Wail bin Hajar r.a menceritakan :


“Suatu ketika, aku telah menziarahi Rasulullah SAW di mana ketika itu rambutku panjang mengurai. Ketika aku duduk berhampiran Baginda, Baginda telah mengucapkan kata-kata ‘Zubab, Zubab’ (maksudnya sesuatu yang buruk atau celaka). Aku terfikir mungkin Rasulullah SAW maksudkan adalah rambutku. Aku segera pulang ke rumah dan menggunting rambutku.


Esok harinya aku bertemu Rasulullah SAW lagi. Lalu Baginda bersabda, “Aku tidak pernah merujuk kepada rambutmu itu ketika aku mengucapkan kata-kata itu kelmarin, namun adalah lebih baik untukmu mengguntingkannya.”


Peristiwa yang lain ialah mengenai solat. Pada mulanya berkata-kata dalam solat adalah dibenarkan.

Suatu hari Abdullah bin Mas’ud menziarahi Baginda yang ketika itu sedang solat. Ibnu Mas’ud mengucapkan salam tetapi tidak dijawab oleh Baginda. Ini menyebabkan hatinya bimbang.

Katanya, “Tiba-tiba timbul dalam fikiranku berbagai-bagai sangkaan yang menyedihkan perasaanku. Aku terfikir mungkin Baginda tidak merasa senang terhadapku atau mungkin Baginda sedang marah kepadaku di atas sebab-sebab tertentu.”


“Apabila Rasulullah SAW selesai solat, Baginda pun memberitahuku bahawa berkata-kata di dalam solat telah diharamkan oleh Allah SWT. Barulah hilang perasaan bimbang yang membebani fikiranku.”


Abdullah bin Amir r.a pula meriwayatkan :


Suatu ketika kami menemui Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Aku pergi menghadapnya dengan pakaian berwarna kuning muda. Lalu Baginda berkata kepadaku :


“Apakah yang sedang engkau pakai itu?”


Aku merasakan Baginda pasti tidak menyukai aku memakai pakaian berwarna sebegitu. Apabila tiba di rumah, aku dapati unggun api sedang menyala di dapur. Aku terus mencampakkan pakaianku ke dalam unggun api itu.


Keesokkannya, apabila aku menemui Rasulullah SAW, Baginda bertanya kepadaku, “Ke manakah pakaianmu itu?”


Aku pun menceritakan kepada Baginda mengenai apa yang telah aku lakukan terhadap pakaian itu. Kemudian Baginda bersabda, “Engkau boleh memberikannya kepada salah seorang wanita dari ahli keluargamu. Para wanita telah dibenarkan memakai pakaian yang berwarna seperti itu.”


Begitulah para sahabat yang begitu bimbang sekiranya apa yang mereka lakukan tidak disenangi oleh Rasulullah SAW. Sebab mereka sedar bahawa apa yang tidak disukai oleh Rasulullah SAW pastinya tidak disukai oleh Allah SWT. Bagaimana dengan kita? Benarkah kita mencintai Rasulullah SAW sehingga segala sunnah Baginda menjadi ikutan kita?