Sunday, November 13, 2011

PENGORBANAN

Salah seorang yang turut berhijrah ke Habsyah ialah Suhaib bin Sinan. Namun orang-orang kafir Quraisy tidak membenarkannya untuk turut berhijrah. Ini disebabkan dahulunya Suhaib adalah seorang yang miskin dan dipandang hina tetapi kemudiannya menjadi kaya. Oleh itu dia dianggap akan berhijrah bersama harta kekayaannya.

Suhaib berkata, “Wahai orang-orang Quraisy, aku adalah ahli pemanah dan mahir dari kamu semua. Sebelum kamu menghampiriku, aku sudah pun melepaskan anak panah yang ada padaku dan aku akan penggal lehermu dengan pedangku.”

Kemudian Suhaib menyambung lagi, “Sekiranya hartaku ini kuserahkan kepada kamu, apakah kamu akan menggangguku lagi?”

Mereka menjawab, “Tidak.”

Maka Suhaib pun memberikan hartanya kepada mereka. Apabila berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda, “Suhaib telah mendapat keuntungan.”

Suhaib memang sering bersama Rasulullah SAW. Suhaib pernah berkata, “Setiap kali Rasulullah SAW hadir di suatu tempat maka saya juga akan hadir di situ. Setiap kali Baginda memimpin tentera Muslimin dalam peperangan, maka saya turut bersamanya. Kadang kala di sebelah kanan, kadang kala di sebelah kiri. Jika mereka di hadapan Baginda, saya juga akan berada di hadapan Baginda. Jika mereka berada di belakang Baginda, saya juga akan berada di belakang Baginda. Saya tidak pernah membiarkan Rasulullah SAW bersendirian menghadapi musuh.”

Begitulah para sahabat. Mereka sungguh mencintai Rasulullah SAW. Mereka sanggup berkoran apa sahaja demi kepentingan Islam dan RasulNya. Bagi Suhaib dia telah berkorban harta untuk melepaskan diri dari gangguan Quraisy untuk turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah. Malah dia juga sanggup berkorban nyawa demi menjamin keselamatan diri Baginda di medan perang.