Sunday, January 30, 2011

KEBAIKAN YANG TIDAK DILUPAKAN

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, terdapat seorang hartawan bernama Khazima. Dia seorang yang berbudi mulia dan sentiasa memberikan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.

Suatu ketika Khazima jatuh misikin. Ini menyusahkan hatinya dan dia berasa amat sedih. Jiran-jirannya turut bersimpati dan membantu seberapa yang boleh.

Namun lama kelamaan, Khazima merasakan dirinya telah menyusahkan orang lain. Lebih-lebih lagi dia menyedari jiran-jirannya mula merasa berat untuk memberikan bantuan. Ini menyebabkan dia mengurung diri sahaja di rumah.

Suatu hari, gabenor di wilayah itu yang bernama Akrama mendengar kisah Khazima diperbualkan di istana. Akrama merasa tertarik dan turut mendengar mengenainya. Akrama merasa kasihan setelah mendengar kisah sebenarnya. Dia berazam akan menolong Khazima supaya dapat menjalani hidup yang lebih baik.

Oleh itu pada suatu malam, Akrama telah pergi ke rumah Khazima. Dia membawa wang sebanyak 4,000 dinar. Setelah tiba, dia terus menceritakan keazamannya untuk membantu dan terus menyerahkan wang itu kepada Khazima. Khazima merasa amat gembira dan terharu dengan pertolongan itu.

Khazima ingin mengetahui nama lelaki yang telah membantunya itu tetapi Akrama tidak memberikan jawapan. Dia tersenyum dan berkata bahawa dia hanya mengharapkan keredhaan dan balasan dari Allah SWT.

Setelah bersalaman, Akrama pulang ke rumah. Isterinya bertanya ke manakah dia pergi kerana malam telah begitu larut.

Pada mulanya Akrama tidak mahu menceritakan kisah sebenarnya tetapi setelah didesak berkali-kali, barulah Akrama memberikan jawapan. Itu pun setelah isterinya berjanji akan merahsiakan kisah itu.

Bagi Khazima pula, setelah mendapat wang dari lelaki yang tidak dikenalinya yakni Akrama, dia telah menggunakan wang itu dengan sebaik-baiknya. Akhirnya berkat dari kesungguhan, dia kembali menjadi kaya.

Suatu hari, khalifah memanggil Khazima kerana telah lama tidak bertemu. Khalifah bertanya mengapa telah lama dia menghilangkan diri. Khazima pun menceritakan apa yang berlaku ke atas dirinya dan juga kisah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya yang telah membantunya.

Khalifah ingin mengetahui siapa lelaki yang berbudi itu dan ingin membalas kebaikannya itu.

Tidak lama kemudian, Akrama dilucutkan dari jawatan gabenor atas tuduhan menggunakan wang kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Dia ditangkap dan dipenjarakan. Khazima pula dilantik bagi menggantikannya.

Akrama terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa dirinya dan oleh kerana itu, dia jatuh sakit. Isteri Akrama yang tidak lagi dapat menahan sabar menyuruh pembantunya menemui gabenor untuk memberitahu bahawa Akrama pernah menolongnya suatu ketika dahulu.

Setelah mendengar pengaduan dari pembantu Akrama itu, Khazima pun segera ke penjara untuk bertemu dengan Akrama. Khazima tidak melupakan kebaikan Akrama yang telah membantunya dahulu.

Apabila bertemu, Khazima pun bertanya kepada Akrama sama ada dia mengenal dirinya. Setelah Akrama menjawab tidak, Khazima lalu menerangkan keadaan yang sebenar mengenai dirinya.

Khazima pun menceritakan bagaimana dia telah menggunakan wang yang diberikan itu untuk menjalankan perniagaan. Akhirnya dia dapat mengumpulkan kekayaannya semula. Khazima turut bercerita bahawa dia telah dilantik menjadi gabenor yang baru.

Khazima merasa bersalah atas apa yang berlaku kepada Akrama. Dia meminta pengawal penjara membuka rantai yang mengikat tangan Akrama. Sambil menangis dia mengatakan bahawa dialah yang sepatutnya menerima hukuman itu. Disebabkan ingin membantu dirinya, Akrama telah ditangkap dan dipenjara.

Akrama turut merasa terharu. Dia menjelaskan bahawa dia hanya mengharapkan balasan dari Allah. Khazima yang merasa terhutang budi ingin menggantikan tempat Akrama di penjara itu dan meminta Akrama mengambil semula jawatannya sebagai gabenor.

Akhirnya mereka bersetuju untuk menemui khalifah dan meminta pandangannya. Setelah menceritakan kisah yang sebenar, khalifah turut merasa terkejut kerana orang yang dicari-carinya selama ini adalah Akrama Fiyyaz. Dia merasa kagum dengan kebaikan Akrama. Bagi membalas kebaikan itu, khalifah telah melantiknya sebagai gabenor di suatu wilayah yang lain.

Tuesday, January 25, 2011

DOA IBU

Juraij adalah seorang lelaki yang kuat beribadah. Dia telah membina sebuah surau untuk memudahkan dia beribadat bersendirian. Dia hidup sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Seperti biasa dia solat di suraunya. Tiba-tiba ibunya datang dan memanggilnya, “Wahai Juraij! Aku adalah ibumu. Bercakaplah denganku!”

Juraij yang tetap meneruskan solat hanya berkata di dalam hati, “Wahai Tuhanku, adakah aku perlu berhenti atau aku teruskan solatku?”

Namun dia mengambil keputusan untuk menyempurnakan solatnya terlebih dahulu. Setelah puas menunggu, akhirnya ibu Juraij pulang. Juraij merasa kesal dengan kejadian itu.

Keesokkan harinya, ibu Juraij datang lagi dan kebetulan Juraij sedang solat. Ibunya memanggil, “Wahai Juraij! Aku adalah ibumu. Maka bercakaplah denganku!”

Juraij merasa bimbang, “Ya Allah, manakah yang lebih mesti aku utamakan? Ibuku atau solatku?” Akhirnya dia meneruskan solatnya.

Ibu Juraij berkecil hati kerana menyangka Juraij tidak mahu menghiraukannya. Lalu ibunya berdoa, “Ya Allah, Juraij adalah anakku. Aku ingin bercakap dengannya tetapi dia tidak mahu bercakap denganku. Ya Allah, janganlah engkau matikan dia sebelum dia dilihat bersama-sama perempuan pelacur!”

Pada waktu yang lain, ada seorang pengembala kambing yang setiap hari menumpang teduh di surau milik Juraij. Satu hari datang seorang pelacur yang telah menggodanya. Mereka berdua telah melakukan zina yang menyebabkan perempuan itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Juraij tidak menyedari bahawa zina tersebut telah berlaku di suraunya.

Peristiwa ini telah sampai ke pengetahuan orang-orang kampung seraya menjadi gempar. Selepas pelacur itu melahirkan bayi di dalam kandungannya maka mereka pun bertanya kepada pelacur itu siapakah bapa bayi tersebut.

Jawab perempuan itu, “Bapa anak ini adalah pemilik surau ini. Aku telah berzina dengannya.”

Tidak berapa lama kemudian, orang-orang kampung datang beramai-ramai dan berhimpun di luar surau Juraij. Mereka membawa bersama berbagai jenis senjata tajam. Mereka memanggil Juiraij. Ketika itu Juraij sedang solat dan tidak menjawab panggilan itu.

Orang-orang kampung mula merasa marah. Dengan senjata-senjata yang ada, mereka meruntuhkan surau Juraij. Juraiij tergesa-gesa turun dan bertanyakan mengapa mereka berbuat demikian.

“Tanyalah perempuan ini wahai Juraij,” kata orang-orang kampung.

Juraij mula mengerti apa yang sedang berlaku dan tersenyum. Dia teringat akan perbuatannya dahulu yang telah mengecewakan hati ibunya. Kemudian dia solat dan berdoa.

Setelah selesai, dia pun mengusap kepala anak itu dan bertanya, “Siapakah sebenarnya bapa kamu?”

“Bapa saya yang sebenarnya adalah pengembala kambing,” jawab anak kecil itu.

Apabila orang-orang kampung mendengarnya, mereka merasa menyesal kerana terburu-buru mengambil tindakan. Sebahagian dari surau Juraij telah roboh. Oleh itu mereka pun berkata, “Kami akan membina semula suraumu ini dengan emas dan perak wahai Juraij.”

Juraij menolak dan berkata, “Jika kamu hendak membinanya semula, gunalah tanah yang ada sekarang.”

Orang-orang kampung bersetuju dengan permintaan Juraij itu. Mereka telah terlanjur membuat tuduhan.

Doa ibu memang mudah dikabulkan oleh Allah walaupun doa itu akan membinasakan hidup anaknya sendiri. Namun Juraij telah dilindungi Allah kerana dia seorang yang sentiasa taat beribadah dan patuh kepadaNya.

Sunday, January 23, 2011

UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI & NASRANI

Daripada Abu Sa’id Al Jhudri r.a berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”. Nabi SAW menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”.

Hadis Riwayat Muslim

KETERANGAN :

Umat Islam akan mengikut jejak langkah atau ‘cara hidup’ orang-orang Yahudi dan Nasrani, sehinggalah dalam urusan-urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munsabah. Contohnya jika orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikut mereka.

Zaman sekarang ini kita dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani sama ada secara mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada mereka.


Langkah Yahudi jangan diturut,

Jalan Nasrani jangan diikut,

Kenapa kita mesti melutut,

Kepada bangsa bersifat taghut.


Umat Yahudi dimurka Tuhan,

Ilmu dituntut, amalan ditinggalkan,

Umat Nasrani sesat di jalan,

Amalan dibuat tanpa pedoman.

Tuesday, January 18, 2011

BERKAT MEMULIAKAN RAMADHAN

Ada seorang Majusi yang setiap hari menyembah api yang dianggap sebagai Tuhannya. Dia mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun. Dia juga amat menghormati jiran-jirannya yang beragama Islam.

Suatu hari ketika di bulan Ramadhan, Majusi itu pergi ke pasar. Di sana dia bertemu dengan anak lelakinya yang sedang makan buah epal di khalayak ramai.

Majusi itu menghampiri anaknya lalu bertanya dalam keadaan marah tentang di mana anaknya mendapat buah tersebut.

Dalam keadaan ketakutan, anaknya mengatakan bahawa buah itu diberikan oleh kawannya.

Lalu Majusi itu memukul anaknya dan bertanya lagi, “Mengapa engkau makan di jalanan? Bukankah ini bulan Ramadhan dan orang-orang Islam sedang berpuasa?”

“Tapi kita bukan orang Islam, mengapa saya tidak boleh makan?” jawab anaknya.

Majusi itu menerangkan, “Kita berjiran dengan orang Islam dan kita mesti menghormati mereka.”

“Tapi saya lapar,” kata anaknya.

“Kalau begitu makanlah di tempat yang tersorok supaya tidak dilihat oleh orang lain,” suruh Majusi itu.

Mulai hari itu, anak Majusi itu tidak lagi makan di hadapan orang ramai dalam bulan Ramadhan.

Kemudian Majusi itu meninggal dunia. Seorang alim dan warak telah bermimpi melihatnya berada di singgahsana di dalam Syurga. Orang alim itu bertanya kepadanya dalam keadaan hairan. “Bukankah engkau seorang Majusi? Bagaimana engkau boleh berada di dalam Syurga ini?”

Majusi itu menjawab, “Benar, aku adalah Majusi yang menyembah api ketika hidup di dunia dahulu. Tetapi aku mati di dalam keadaan beriman.”

Orang alim itu bertanya lagi, “Apakah yang telah kau lakukan sehingga dikurniakan keistimewaan ini?”

“Ketika hampir mati, aku terdengar satu suara berkata : Hai para malaikatKu, jangan engkau tinggalkan dia sebagai seorang Majusi. Tetapi muliakan dia sebagai seorang Islam. Kerana dia telah menghormati bulan Ramadhan.”

“Tahniah buatmu,” kata orang alim itu.

“Terima kasih, sampaikan salamku kepada anakku.”

“InsyaAllah,” jawab orang alim itu.

Setelah terjaga dari tidur, orang alim itu pergi menemui anak lelaki Majusi itu di rumahnya dan menceritakan mimpinya.

“Begitu baiknya Tuhan kamu. Ayahku hanya membuat sedikit sahaja kebaikan tetapi telah diberikan kenikmatan yang sebegitu,” kata anak Majusi itu terharu.

Kemudian tanpa berlengah-lengah lagi dia berkata, “Kalau begitu kebaikan Islam, saya juga mahu memeluk agama kamu.”

Sunday, January 16, 2011

MAHIR MEMBERIKAN KEPUTUSAN

Telah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW sedang duduk bersama para sahabatnya. Tiba-tiba datang dua orang yang sedang berselisih faham menghadap Baginda. Salah seorang darinya telah berkata :

“Ya Rasullulah, saya pemilik keldai dan orang ini pemilik sapi. Sapinya telah membunuh keldaiku.”

Seorang sahabat mencelah, “Tidak ada ganti rugi ke atas binatang ternakan.”

Rasulullah SAW lalu berkata kepada Saidina Ali, “Adililah antara kedua orang ini wahai Ali.”

Saidina Ali pun bertanya kepada kedua orang itu, “Adakah kedua binatang itu terikat atau bebas, atau salah seekor terikat dan yang seekor lagi bebas?”

Mereka menjawab, “Keldai itu terikat sedangkan sapi itu bebas dan pemiliknya ada bersamanya.”

Dengan penjelasan ini, Saidina Ali pun memutuskan pengadilan, “Kalau begitu tuan punya sapi hendaklah menggantikan kerugian kepada pemilik keldai.”

Kebijaksanaan Saidina Ali ini diberi gelaran oleh Rasulullah SAW dengan nama ‘Aqdlakum Ali’ – yang paling mahir dalam memutuskan perkara di antara kamu adalah Ali.

Sunday, January 9, 2011

ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Hadis Riwayat Muslim

KETERANGAN :

Sekarang ini alim ulama semakin berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Jika peribahasa Melayu mengatakan “patah tumbuh hilang berganti”, maka peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim ulama. Mereka patah, payah tumbuh dan hilang, payah berganti. Sampailah satu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim ulamalah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

Di akhir-akhir ini, kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya akhir zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Di mana bilangan alim ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pokdok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Ilmu agama beransur hilang,

Para ulama kian berkurang,

Ilmu dunia makin cemerlang,

Jadi tumpuan semua orang.

Bekalkan diri ilmu akhirat,

Untuk laksana amal ibadat,

Tuntutlah ilmu sebelum diangkat,

Negeri akhirat dapat selamat.

Tuesday, January 4, 2011

MENGHADAPI PEMBERONTAK

Puak pemberontak dari Mesir membuat perkhemahan di lereng-lereng gunung yang berbatu di sekitar kota Madinah. Mereka berbuat demikian dengan tujuan mahu membunuh Khalifah Usman bin Affan.

Salah seorang dari mereka, Muhammad bin Abu Bakar cuba menghalang dari meneruskan hasrat mereka. Dia adalah anak kepada Khalifah Abu Bakar.

“Kita akan gagal jika tidak bersabar. Saudara-saudara kita dari Basrah dan Kufah akan tiba. Oleh itu sesiapa yang ingin pergi ke Madinah pada hari ini hendaklah pergi secara berkumpulan. Kita akan memberikan kuasa sebagai perwakilan untuk membacakan semua tuntutan kita. Setuju?”

Sebahagian daripada mereka bersetuju. Mereka adalah golongan pertama yang inginkan kebaikan. Salah seorang dari mereka ialah Saidina Ali bin Abi Talib.

Golongan kedua adalah golongan pengacau yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’. Mereka sering membuat kekacauan dan tidak inginkan sebarang kebaikan. Mereka berhasrat membunuh khalifah dan pengikut-pengikutnya.

Para pemberontak berkumpul di hadapan rumah Khalifah Usman. Namun khalifah masih tetap dengan pendiriannya. Beliau tidak mahu kekerasan dihadapi dengan kekerasan. Beliau masih mahu mengadakan perdamaian dan bersedia memaafkan kesalahan pemberontak-pemberontak. Ini disebabkan di kalangan pemberontak itu adalah para sahabat Rasulullah SAW dan mereka berbuat begitu kerana salah faham.

Ketika Marwan Al Hakam meminta izin untuk menghapuskan pemberontak itu, Khalifah Usman telah berkata :

“Aku bukan pembunuh. Orang-orang ini cuma belum memahami cara pemikiran dan kebijaksanaanku. Aku akan cuba melembutkan hati mereka dengan kebaikan dan kasih sayang. Sekiranya gagal, aku serahkan kepada Allah.”

Lalu Khalifah Usman keluar dari rumah dan berbicara dengan para pemberontak itu :

“Saudara-saudaraku, tersebar berita bahawa khalifah menyediakan padang rumput untuk ternakannya. Demi Allah, aku tidak melakukannya. Untaku cuma dua ekor. Aku menunggangnya untuk mengerjakan haji. Padang rumput itu adalah untuk umum. Sesiapa juga boleh mengembala ternakan di sana. Adakah untaku yang cuma dua ekor itu memerlukan padang seluas itu? Kamu semua mengetahui sebelum aku menjadi khalifah, tiada seorang pun di Jazirah Arab ini yang memiliki unta melebihiku.”

Khalifah Usman berhenti sebentar. Puak pemberontak hanya mendiamkan diri. Mereka terharu dengan ucapan itu. Malah Muhammad bin Abu Bakar telah menitiskan air mata.

Rombongan dari Kufah dan Basrah meluahkan perasaan tidak puas hati mereka selama ini terhadap cara pemerintahan khalifah.

Khalifah Usman menjelaskan kedudukan itu supaya tidak menimbulkan keraguan lagi kepada mereka. Di antara sebab beliau melantik pegawai kerajaan dari golongan muda kerana ini juga adalah mengikut Sunnah Rasulullah SAW sebagaimana Baginda telah melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima. Malah khalifah tidak mengenepikan golongan tua sebagaimana dia telah melantik Abu Musa Al Asy’ari sebagai Amir Kufah.

Beliau melantik kaum keluarganya sendiri bukanlah disebabkan mahu mementingkan diri. Ianya bukanlah merupakan sesuatu yang diharamkan oleh syariat. Beliau juga tidak menggunakan wang negara dengan sewenang-wenangnya untuk membayar perkhidmatan mereka.

Khalifah Usman menyambung lagi, “Demi Allah, aku sudah tua dan ajalku semakin hampir. Tiada bezanya aku mati sekarang atau esok. Tiada bezanya aku mati di tempat tidur atau terbunuh. Oleh itu, aku menyerahkan diriku kepada Allah. Aku tidak takut dikalahkan dan tidak ingin dikalahkan. Aku hanya ingin berbakti kepada Yang Maha Penyayang demi kejayaan agama Islam dan umat Islam seluruhnya.”

Kemudian khalifah mengucapkan salam dan diiringi dengan takbir. Dia berpaling dan terus berjalan memasuki rumahnya. Sebahagian dari pemberontak mula merasa insaf. Terasa bahawa mereka telah melukakan hati sahabat Rasulullah SAW yang telah tua dan lemah. Perhimpunan akhirnya bersurai apabila seorang demi seorang meninggalkan tempat itu.

Sunday, January 2, 2011

RUNTUHNYA BERHALA DI KAABAH

Berhala-berhala di sekitar Kaabah berjumlah lebih 360 buah dengan pelbagai rupa dan bentuk di zaman Jahiliyah. Inilah yang disembah oleh manusia yang dianggap sebagai Tuhan mereka ketika itu.

Nabi Muhammad SAW bersama Saidina Ali bin Abi Talib telah datang ke Kaabah dengan menaiki unta. Mereka melihat di dalamnya tersimpan pebagai patung dan berhala. Mereka berdua memusnahkan patung-patung tersebut sambil mengucapkan ayat Al Quran yang bermaksud :

Telah datang yang haq (benar) dan binasalah segala yang batil (sesat). Sesungguhnya yang batil itu akan binasa.

Ketika Rasulullah SAW membinasakan patung yang paling besar benama Hubbal, seorang sahabat Nabi iaitu Zubair telah berkata kepada Abu Sufyan, “Wahai Sufyan, lihatlah ternyata Tuhanmu itu tidak mempunyai apa-apa kekuatan seperti yang selalu kau sebut-sebutkan di dalam Perang Uhud – Hidup Hubbal! Adakah Hubbal yang memberikan kemenangan kepada tenteramu ketika itu?”

Abu Sufyan menjawab, “Benar apa yang kau ucapkan wahai Zubair. Jika ada Tuhan selain Allah tentu aku tidak kalah dan terhina seperti sekarang.”

Setelah Rasulullah SAW menghancurkan berhala-berhala itu, kemudian Baginda mengarahkan Saidina Umar Al Khattab pula supaya memusnahkan semua lukisan dan gambar pada dinding Kaabah. Ketika Saidina Umar melakukan tugas itu, Rasulullah SAW menunaikan solat sunat dua rakaat sebagai tanda syukur. Baginda sekali lagi solat dua rakaat di tempat lain yang lebih terbuka.

Apabila selesai mengerjakan solat, Baginda SAW pun memeriksa dinding Kaabah. Ternyata masih ada gambar dalam ukuran yang besar yang dibiarkan oleh Saidina Umar. Ia adalah sebuah lukisan yang dikatakan sebagai gambar Nabi Ibrahim. Beliau tidak berani memusnahkan lukisan tersebut.

Rasulullah SAW lantas memanggil Saidina Umar dan berkata, “Wahai Umar, mengapa engkau biarkan gambar ini? Sesungguhnya jika gambar ini dibiarkan, aku bimbang akan menjadi sembahan umat manusia di belakang hari.”

Rasulullah SAW pun mengoyakkan gambar tersebut dan berkata kepada para sahabat, “Janganlah sekali-kali melukis atau menggambarkan diriku kerana ditakuti umatku nanti akan berbuat seperti perbuatan umat-umat Yahudi dan Nasrani kepada Nabi Musa dan Nabi Isa.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda :

Hari ini adalah hari bersejarah. Hari yang penuh dengan tanda kebesaran Allah. Telah sempurna janji Allah kepada RasulNya yang telah memberi kemenangan atas terhapusnya perkara yang batil. Sesungguhnya pada dasarnya memang rancangan Allah yang harus unggul dan kenyataan selalu terjadi dengan kehendakNya, sehingga kini Kaabah berjaya dibersihkan dari berhala.

Rasulullah SAW tidak mahu sahabat-sahabatnya terlalu mengagung-agungkannya sehingga di luar batas syariat. Malah ianya akan menjadi ikutan orang lain yang tidak tahu menahu.

Di suatu ketika yang lain, Rasulullah SAW bersabda :

Wahai umatku semua, janganlah kamu semua berlebih-lebihan dalam mencintai dan menghormati diriku. Aku bukannya seorang raja. Aku adalah seorang Rasul. Lelaki yang sama seperti kamu.