Tuesday, April 17, 2012

ORANG YANG BERPEGANG DENGAN AGAMANYA SEPERTI MEMEGANG BARA API

Daripada Anas r.a. berkata, Rasulullah SAW. bersabda, "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”.

Hadis Riwayat Tirmizi


KETERANGAN :

Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran agamanya akan terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Jika tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari genggamannya. Ini adalah disebabkan suasana di sekelilingnya tidak membantu untuk dia menunaikan kewajiban agamanya, bahkan perkara yang ada di sekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. lni juga bermaksud, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.

Monday, April 9, 2012

PEMBELA RASULULLAH SAW

Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib adalah bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Namun begitu usia mereka tidak jauh berbeza. Dia dan Nabi Muhammad SAW adalah sesusuan. Ini disebabkan mereka sama-sama diasuh dan disusui oleh Halimatus Saadiah.

Saidina Hamzah merupakan seorang pahlawan kaum Quraisy yang digeruni selepas Saidina Umar Al Khattab. Sebelum memeluk Islam, dia telah diberi tanggungjawab supaya menghapuskan orang-orang yang telah memeluk Islam.

Suatu hari, hamba adiknya Safiyah binti Abdul Muthalib iaitu Salma menemuinya. Salma berkata, "Wahai Hamzah, tuan pasti marah apabila melihat Abu Jahal telah menyeksa anak saudara tuan iaitu Muhammad dengan sesuka hatinya."

Saidina Hamzah bertanya dengan geram, "Adakah kamu melihat sendiri Abu Jahal menyeksa Muhammad?"

"Tidak ada perbuatan yang lebih kejam daripada tindakan Abu Jahal kepada Muhammad pagi tadi. Aku sendiri hampir tidak dapat menahan diri," jawab Salma.

"Kurang ajar!" jerit Saidina Hamzah. Walaupun Saidina Hamzah dan Abu Jahal berada di pihak yang sama dan Rasulullah SAW di pihak yang lain, namun dia tetap menyebelahi anak saudaranya itu.

Salma juga menceritakan bagaimana penyeksaan yang telah dilakukan oleh Abu Jahal itu. Abu Jahal telah melemparkan pasir kepada Nabi Muhammad SAW. Ini tidak dihiraukan oleh Baginda. Kemudian dia mengangkat dan membalingnya ke tanah serta memijak-mijak kepala Nabi Muhammad SAW di samping memaki hamun Baginda.

Saidina Hamzah dengan segera pergi menuju Kaabah. Dia pasti Abu Jahal ada di situ. Memang benar, Abu Jahal sedang bersama rakan-rakannya.

Saidina Hamzah terus mengherdik, "Wahai Abu Hakam! Benarkah engkau telah menghina dan menyeksa Muhammad? Katakan dengan benar. Jika engkau berani terhadap Muhammad bermakna engkau berani menentang Hamzah!" Sambil itu dia menusukkan hujung panah ke leher Abu Jahal.

Abu Jahal menggigil ketakutan. Namun dia memberanikan dirinya untuk menjawab, "Wahai Hamzah, bersabarlah. Anak saudara engkau itu sudah melampaui batas. Dia telah menghina nenek moyang kita. Dia mengatakan bahawa menyembah berhala itu sesat dan bodoh. Dia telah menyebarkan agama baru yang akan memecahbelahkan masyarakat Quraisy. Bukankah sepatutnya engkau juga berbuat begitu terhadap Muhammad?"

Saidina Hamzah terdiam sebentar mendengar kata-kata Abu Jahal. Namun jawapan yang diberikan seterusnya benar-benar memeranjatkan, "Memang benar. Aku sendiri semakin yakin dengan Muhammad. Kamu semua memang bodoh kerana menyembah patung yang lemah. Dengarlah. Mulai sekarang aku berikrar : Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu memang pesuruh Allah!"

Mereka yang mendengar merasa terkejut dan mahu menyerang Saidina Hamzah. Namun Saidina Hamzah telah melukakan leher Abu Jahal dengan anak panahnya sehingga darah Abu Jahal keluar dengan banyaknya.

"Hamzah, engkau telah disihir oleh Muhammad. Engkau telah meninggalkan agama nenek moyang kita. Engkau akan dikutuk!" jerit salah seorang dari mereka.

"Kutuklah sesuka hati engkau. Aku tidak takut. Apa yang aku takuti adalah kermukaan Allah!" jawab Saidina Hamzah dengan suara yang kuat.

Sambungnya lagi, "Mari! Siapa yang berani menghalang aku dari mengikuti agama Muhammad! Bersedialah!"

Mereka semua tidak berani bergerak. Abu Jahal menyuruh mereka diam. Lehernya masih berlumuran darah. Saidina Hamzah pergi meninggalkan mereka.