Monday, July 30, 2012

HALAL SETELAH HARAM



Seorang lelaki yang menyesal dengan perbuatan jahatnya telah memasuki masjid.  Ketika itu Rasulullah SAW sedang solat berjemaah.  Setelah selesai solat, di dalam kuliah Baginda SAW telah bersabda :

Barang siapa meninggalkan sesuatu yang haram maka dia akan memperolehi yang halal.”

Apabila malam tiba, syaitan telah mendorongnya kembali untuk membuat kejahatan.  Dia pun memasuki sebuah rumah milik wanita yang telah kematian suaminya.  Wanita itu pula tinggal bersendirian.

Setelah memasuki ke dalam rumah, dia ternampak makanan yang telah sedia terhidang dan ini menimbulkan keinginannya untuk merasai makanan tersebut.  Ketika hendak mengambil makanan itu, dia teringat akan sabda Rasulullah SAW tadi iaitu barangsiapa meninggalkan sesuatu yang haram, maka dia akan memperolehi yang halal.  Dengan yang demikian, dia tidak jadi untuk meneruskan keinginannya.

Kemudian setelah menggeledah bilik rumah tersebut, dia menjumpai barang-barang permata dan wang.  Apabila dia hendak mengambil barang-barang tersebut, sekali lagi dia teringat kata-kata Rasulullah SAW.  Ini telah menghalangnya daripada meneruskan niatnya itu.

Seterusnya dia meninjau pula di dalam bilik yang lain di mana ada seorang wanita sedang tidur sendirian.  Dia teringat lagi akan sabda Rasulullah SAW lalu membatalkan hasratnya untuk menyentuh wanita itu.  Akhirnya dia keluar dari rumah itu tanpa melakukan apa-apa.  Dia merasa gembira kerana berjaya melawan godaan syaitan.

Setelah itu dia terus ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.  Kemudian dia duduk di satu sudut masjid itu dan memikirkan dirinya.

Apabila matahari telah meninggi, masuklah seorang wanita ke dalam masjid untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.  Dia telah mengadu bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri tetapi tidak ada apa-apa yang hilang.  Dia merasa bimbang dirinya akan diapa-apakan sekiranya pencuri itu datang lagi kerana dia tinggal sendirian.  Wanita itu menyatakan bahawa dia telah kematian suami setelah ditanyakan oleh Rasulullah SAW.

Lalu Rasulullah SAW pun melihat sekitar masjid itu dan dilihatnya ada seorang lelaki sedang berbaring di satu sudut.  Baginda menyoal lelaki itu mengenai hal-hal yang berkaitan dengan dirinya.

Lelaki itu menjawab bahawa dia hidup sendirian kerana isterinya telah meninggal dunia.  Rasulullah SAW kemudiannya meminta kedua-dua mereka bernikah.  Namun mereka tidak menjawab kerana berasa malu.  Akhirnya Rasulullah SAW pun menikahkan pasangan tersebut.  Ketika inilah, lelaki itu menangis dan mengisahkan keadaan yang sebenarnya kepada Baginda.

Kemudian kedua-dua orang itu keluar dari masjid menuju rumah wanita itu.  Lelaki itu memperolehi segala yang diharamkan buatnya malam tadi.

Makanan yang diharamkan memakannya malam tadi telah menjadi halal baginya.  Permata dan wang yang ingin dicuri kini boleh digunakan dengan cara yang halal.  Malah wanita yang haram disentuh itu telah boleh digaulinya kerana kini telah menjadi isterinya.

Benarlah sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa meninggalkan sesuatu yang haram maka dia akan memperolehi yang halal.”

Sunday, July 29, 2012

SIKAP ULAMA.



Khalifah Al Mansur pergi menemui seorang ulama bernama Sufyan At Tsauri.  Sufyan tidak pernah menziarahinya di istana.  Oleh itu khalifah bertanya, “Apakah yang menghalang tuan sehingga tidak mahu mengunjungiku?”

Sufyan menjawab tanpa ragu-ragu, “Tidak ada apa.  Cuma terdapat ayat Al Quran yang bermaksud : Jangan engkau bernaung kepada orang-orang yang zalim, nanti engkau dilahap api Neraka.  Sebab seburuk-buruknya balasan adalah bagi orang-orang yang zalim.”

Suatu ketika yang lain, Sufyan At Tsauri menghadap khalifah di istananya setelah dipanggil berkali-kali.  Setelah bertemu, khalifah pun berkata, “Sekiranya tuan ada memerlukan apa-apa, sila beritahuku.  Aku akan memenuhi permintaan tuan.”

Sufyan hanya mendiamkan diri.

Khalifah bertanya lagi, “Katakanlah, apa yang tuan kehendaki?”

Akhirnya Sufyan menyoal kembali, “Apakah tuan bersedia memenuhi apa sahaja permintaanku?”

Khalifah merasa gembira dengan kata-kata Sufyan itu.  Sangkanya Sufyan telah berubah fikiran.  Khalifah berkata lagi, “Apa sahaja yang tuan minta akan aku penuhi.”

Sufyan lalu menyatakan permohonannya, “Permintaan saya cuma satu.  Diharapkan tuan tidak lagi memanggil saya untuk menghadap tuan di istana.”

Setelah itu Sufyan terus keluar dari istana tanpa menoleh lagi.  Khalifah hanya menggeleng-gelengkan kepala.  Katanya sendirian, “Begitulah sepatutnya sikap ulama yang soleh.  Tegas dengan pendiriannya.”