Wednesday, January 16, 2013

PENTINGNYA KEYAKINAN




Di antara orang-orang yang menuntut ilmu daripada Nabi Musa a.s, terdapat dua orang yang berbeza perwatakan mereka.  Salah seorang darinya adalah seorang ahli ibadah.  Dia sangat rajin belajar dan mengamalkan apa yang dipelajarinya.

Seorang lagi dikenali sebagai penjahat.  Dia juga mengamalkan apa yang dipelajarinya dari Nabi Musa tetapi tidak bersungguh-sungguh.  Kejahatannya melebihi amal kebaikannya.

Suatu hari, ahli ibadah itu meninggal dunia.  Nabi Musa a.s mendapat berita bahawa dia termasuk dalam golongan ahli Neraka.  Nabi Musa merasa hairan kerana ini tidak menggambarkan amalannya ketika di dunia.

Beberapa hari kemudian, penjahat itu pula meninggal dunia.  Nabi Musa mendapat tahu bahawa penjahat itu termasuk dalam golongan ahli Syurga.  Ini menambahkan lagi kehairanan Nabi Musa.

Oleh itu Nabi Musa mengambil keputusan untuk pergi ke kedua-dua rumah orang tersebut untuk mengetahui apakah ada amalan-amalan lain yang menyebabkan nasib mereka berbeza.

Lalu Nabi Musa pergi ke rumah abid itu.  Nabi Musa bertanya kepada isteri ahli ibadah itu, “Apakah amalan suamimu yang sering dilakukannya ketika dia masih hidup dahulu?”

Wanita itu menjelaskan, “Wahai Nabi Allah, tuan juga mengetahui bahawa dia seorang yang sangat rajin beribadah.”

Nabi Musa bertanya lagi, “Adakah lain-lain yang menjadi amalannya?”

Wanita itu menjawab, “Sebelum tidur pada setiap malam, dia akan mengucapkan : Alangkah baiknya kalau apa yang diajarkan oleh Nabi Musa itu semuanya benar.”

Setelah mendengar penjelasan isteri ahli ibadah itu, barulah Nabi Musa memahami kedudukan yang sebenar.  Kemudian Nabi Musa pergi ke rumah penjahat itu pula.

Nabi Musa pun meminta isteri penjahat itu menceritakan amalan suaminya ketika masih hidup.  Isterinya menyatakan, “Wahai Nabi Allah, tuan lebih mengetahui siapa suamiku.  Amalan kejahatannya melebihi amalan kebaikannya.”

Nabi Musa bertanya lagi, “Pasti ada amalan-amalan lain yang dilakukan oleh suamimu.”

Isteri penjahat itu menceritakan, “Ya, pada setiap malam sebelum tidur dia akan membaca : La Ilaha Illaallah Walhamdulillah, sebagaimana yang diajarkan oleh tuan.”

Kini mengertilah Nabi Musa mengapa penjahat itu digolongkan sebagai penghuni Syurga.  Penjahat itu bernasib baik kerana dia ikhlas dan yakin dengan amalannya.

Namun imannya yang lemah tidak mampu melawan godaan syaitan dan hawa nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.  Dia juga mempunyai satu kelebihan iaitu sentiasa mengucapkan La Ilaha Illallah – Tiada Tuhan Melainkan Allah.

Berbeza dengan ahli ibadah itu yang telah menerima nasib yang buruk.  Walaupun dia banyak beribadah namun di hatinya terselit perasaan ragu terhadap apa yang diamalkannya.  Dia tidak yakin akan apa yang dilakukannya.  Oleh itu amalannya tidak diterima oleh Allah SWT.

Kisah ini mengingatkan kita supaya sentiasa yakin dalam beramal.  Dan tidak semua amalan yang zahir ketika di dunia itu menggambarkan nasibnya di Akhirat.