Monday, May 6, 2013

BARSISA



Barsisa adalah seorang ahli ibadah dalam kalangan Bani Israel.  Umurnya 220 tahun telah digunakan untuk beribadah kepada Allah dan tidak pernah mengerjakan maksiat.  Dia menetap di sebuah surau yang juga menjadi tempat ibadahnya.

Golongan syaitan telah lama mencuba untuk menggoda Barsisa dengan tujuan untuk menyesatkannya namun tidak berjaya.  Suatu ketika salah seekor syaitan telah mencuba untuk memperdaya Barsisa.

Syaitan itu yang bergelar Si Putih telah muncul dan menyamar sebagai seorang ahli ibadah.  Dia pergi ke surau tempat Barsisa tinggal dan didapatinya Barsisa sedang khusyuk beribadah di dalamnya.

Dia lantas memanggil Barsisa namun panggilannya tidak bersahut kerana Barsisa sedang khusyuk beribadah.  Oleh itu dia berpura-pura beribadah di bawah sambil menunggu Barsisa turun dari suraunya.

Suatu hari, setelah Barsisa selesai berbuka puasa dan beribadah, dia turun ke bawah.  Dilihatnya seorang lelaki sedang tekun beribadah.

Barsisa merasa hairan lalu bertanya, “Siapakah saudara dan apakah tujuan saudara datang ke mari?”

Si Putih cuba meyakinkan Barsisa dengan menjawab, “Saya datang untuk menuntut ilmu dari tuan dan ingin turut sama-sama beribadah dengan tuan.”

“Tujuanmu sungguh baik namun aku tidak dapat menunaikan permintaanmu.  Aku bimbang ianya akan mengganggu ibadahku kepada Allah,” jelas Barsisa.  Tanpa menunggu jawapan Si Putih, Barsisa terus naik semula ke atas surau.

Barsisa melakukan ibadah kepada Allah seperti biasa.  Setelah 40 hari, barulah dia turun dari surau.  Alangkah terkejutnya dia kerana mendapati lelaki tempoh hari masih tidak berganjak dari situ.  Dia beribadah bersendirian.

Melihatkan lelaki itu yang masih tidak berputus asa, Barsisa merasa kasihan.  Lalu dia mendekati Si Putih dan bertanya sekali lagi, “Wahai saudara, apakah yang engkau inginkan?”

Si Putih merayu, “Saya ingin beribadah dengan tuan di atas surau.”

Hati Barsisa mula berubah setelah mendengar rayuan Si Putih.  Akhirnya dia membenarkan Si Putih beribadah bersama-samanya di atas surau.  Si Putih merasa gembira kerana perancangannya yang sebenar tidak dapat dihidu oleh Barsisa.

Barsisa dan Si Putih melakukan ibadah dan puasa bersama-sama.  Setelah 40 hari, barulah mereka berbuka puasa.

Hari berganti hari sehinggalah setahun lamanya.  Si Putih menyatakan hasratnya kepada Barsisa untuk pergi dari situ.

Si Putih berkata kepada Barsisa, “Wahai tuan, saya ingin pergi dari sini buat sementara waktu.  Saya mempunyai sebuah doa yang sangat mujarab.  Doa ini dapat menyembuhkan segala jenis penyakit.”

Barsisa merasa keberatan untuk melepaskan Si Putih pergi meninggalkannya.  Dia juga enggan menerima doa yang dikatakan mustajab itu kerana bimbang kedatangan orang ramai yang mahu berubat dengannya akan mengganggu ibadahnya.

Namun Si Putih berjaya meyakinkan Barsisa untuk menerima doa itu.  Oleh itu Si Putih telah berjaya dalam rancangan seterusnya.

Si Putih meninggalkan Barsisa dan memulakan perjalanan.  Di pertengahan jalan, Si Putih telah menemui seorang pemuda.  Si Putih telah melakukan sihir ke atas pemuda itu.  Akibat perbuatan tersebut, pemuda itu menghidap suatu jenis penyakit yang parah.  Pemuda itu telantar sakit dan sering meracau-racau.

Keluarga pemuda tersebut berusaha untuk mengubati penyakit itu.  Ramailah bomoh yang datang mencuba termasuklah Si Putih yang telah menyamar sebagai bomoh.

Si Putih berpura-pura mengatakan bahawa dia tidak mampu mengubati penyakit tersebut lalu mencadangkan agar pemuda itu dibawa berjumpa dengan Barsisa yang dikatakan pandai mengubati sebarang jenis penyakit termasuk gangguan jin dan syaitan.

Maka keluarga pemuda itu segera berjumpa dengan Barsisa.  Dengan izin Allah, pemuda itu sembuh dari penyakitnya.

Dengan bantuan syaitan-syaitan yang lain, Si Putih meneruskan kegiatannya mengganggu orang lain.  Oleh yang demikian semakin ramai orang yang datang untuk mendapatkan khidmat Barsisa.

Sehingga tiba satu ketika, Si Putih telah merasuk seorang gadis.  Seperti biasa Si Putih mencadangkan supaya gadis tersebut berubat dengan Barsisa.  Oleh kerana dia seorang perempuan, saudara-saudara lelakinya merasa bimbang Barsisa akan menolak hasrat mereka.

Maka Si Putih pun memberi cadangan supaya dibina sebuah pondok bertentangan dengan surau Barsisa.

Apabila saudara-saudara lelaki itu membawa adik mereka kepada Barsisa ternyatalah bahawa Barsisa enggan merawat gadis tersebut.  Oleh yang demikian, sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Si Putih, mereka pun membina sebuah pondok.  Pintu pondok itu dibiarkan terbuka.

Suatu hari, Barsisa terpandangkan pondok tersebut dan terlihatlah olehnya akan seorang gadis yang sedang terlantar sakit.  Dia merasa kasihan lalu memutuskan untuk mengubati penyakit gadis tersebut.  Setelah beberapa ketika, gadis tersebut beransur pulih.

Ketika mengubati gadis tersebut, Si Putih telah menggoda Barsisa sehingga dia terpikat dengan gadis tersebut.  Godaan syaitan itu akhirnya telah menyebabkan Barsisa berzina dengan gadis itu sehingga gadis tersebut hamil.

Barsisa merasa kesal dan dalam kebingungan inilah Si Putih datang dan memberi jalan keluar kepadanya.  Si Putih berlata, “Tuan telah melakukan dosa besar dan hendaklah bertaubat kepada Allah.  Oleh kerana tuan adalah orang yang sangat dikenali sebagai seorang ahli ibadah maka tuan hendaklah membunuh gadis itu supaya rahsia ini dapat dilindungi dan nama baik tuan akan terus terpelihara.”

Barsisa menurut sahaja cadangan itu tanpa berfikir panjang.  Setelah membunuh gadis itu, dia menanam mayatnya di bawah sebatang pokok.  Tanpa disedarinya Si Putih telah menarik sedikit kain mayat itu sehingga terdedah dan boleh dilihat.

Apabila saudara-saudara lelaki gadis malang itu datang dan bertanyakan perihal adik mereka, Barsisa mengatakan bahawa adik mereka telah pun meninggal dunia.  Mereka percaya dengan penjelasan Barsisa dan pulang dengan membawa kesedihan.

Suatu malam, saudara lelaki gadis tersebut telah bermimpi dan mendapat petunjuk bahawa adik mereka sebenarnya telah dibunuh oleh Barsisa dan telah ditanam di bawah sebatang pokok.  Setelah terjaga dari tidur, saudara lelaki itu segera bergegas ke pokok tersebut lalu mendapati terdapat cebisan kain yang terkeluar dari dalam tanah.

Mereka segera menggali dan membawa mayat itu pulang.  Barsisa ditangkap dan dipenjarakan.  Oleh kerana dia telah berzina dan membunuh maka dia telah dikenakan hukuman 100 kali rotan dan dihukum mati.

Sekali lagi Si Putih datang menawarkan bantuan kepada Barsisa.  Si Putih memperdaya dengan berkata, “Aku boleh menolong engkau melepaskan diri dari penjara ini tetapi dengan satu syarat.”

Barsisa yang telah terpedaya itu hanya mengatakan, “Aku sanggup melakukan apa sahaja yang engkau kehendaki asalkan aku dapat melepaskan diri.”

Maka Si Putih menyuruh Barsisa sujud di kakinya.  Barsisa melakukannya dan pada ketika itu Si Putih tertawa dengan kuat dan menjelmakan rupanya yang sebenar.

Akhirnya Barsisa mati dalam kekufuran kerana telah merosakkan imannya kepada Allah.  Dia telah sujud kepada sesuatu yang selain Allah.  Binasalah amalannya dan rugilah umurnya selama ini.

Begitulah liciknya syaitan memperdaya manusia.  Godaan syaitan mengikut kedudukan manusia.  Hanya manusia yang benar-benar ikhlas dan beriman sahaja yang mampu melawan tipu muslihat syaitan.