Wednesday, March 20, 2013

PENYAKIT HATI



Ibrahim Al Khawas – Seorang wali yang terkemuka sedang bermusafir.  Dia melalui sebuah padang pasir yang panas terik.  Tekaknya terasa sangat dahaga.  Namun tidak nampak tanda-tanda yang boleh membantunya menghilangkan dahaga tersebut.

Tiba-tiba dia terlihat sebatang pohon delima di atas sebuah bukit kecil yang dikelilingi semak-semak berduri.  Dengan segera Ibrahim bergegas menuju ke arah pohon tersebut.  Pohon ini hanya memiliki sebiji buah delima kecil yang berwarna kemerah-merahan.

Ibrahim membayangkan bahawa buah itu pasti manis rasanya dan akan dapat menghilangkan dahaganya.  Dia mengambil buah itu lalu memakannya.  Namun dugaannya meleset.  Buah itu amat pahit dan payau sehingga Ibrahim terpaksa memuntahkannya semula.  Mulutnya terasa gatal.

Kemudian Ibrahim meneruskan perjalanan.  Ketika hampir petang, Ibrahim sampai ke satu tempat yang ditumbuhi bunga-bungaan rimbun dengan bauan yang sangat harum.

Ibrahim pun duduk dan melepaskan lelahnya.  Tiba-tiba kedengaran suara seperti sedang dalam kesakitan.  Ibrahim segera bangun dan mencari arah suara tersebut.  Hasratnya ingin memberikan bantuan.

Dia ternampak seorang lelaki tua sedang terbaring lemah.  Tubuhnya terdapat tanda-tanda sengatan lebah.  Apabila Ibrahim menghampirinya, orang tua itu segera bangun dan menyapanya, “Apa khabar wahai Ibrahim Al Khawas?”

Ibrahim terkejut.  Bagaimana lelaki tua yang asing ini boleh mengenali dirinya.  “Siapakah tuan?  Bagaimana tuan boleh mengenali saya?  Bila dan di mana kita bertemu?” bertalu-talu soalan Ibrahim.

Orang tua itu menjawab, “Wahai Ibrahim.  Mengapa engkau kehairanan?  Aku adalah orang yang dekat dengan Allah.  Aku tidak perlu bertemu terlebih dahulu denganmu untuk mengenalimu dan mengetahui tujuan perjalananmu.”

Ibrahim tambah terkejut.  Siapakah lelaki tua ini?  Namun Ibrahim bertanya lagi, “Wahai tuan.  Engkau mengaku hampir dengan Allah tetapi tubuhmu bengkak-bengkak akibat sengatan lebah.  Sekiranya engkau memang hampir dengan Allah, bukankah engkau sepatutnya meminta kepada Allah ketika lebah-lebah itu akan menyerangmu supaya Dia melindungimu?”

Lelaki tua itu hanya tersenyum mendengar kata-kata Ibrahim.  Dia berkata, “Wahai Ibrahim, ternyata engkau belum matang.  Aku tahu, engkau juga menganggap dirimu hampir dengan Allah.  Namun ketika engkau mahu mengambil buah delima yang tidak diketahui pemiliknya dan engkau belum meminta izin, mengapa engkau tidak meminta kepada Allah supaya melindungimu?”

“Wahai Ibrahim, sakitku disengat lebah adalah penyakit luaran yang akan sembuh kembali sama ada diubati atau tidak.  Sebaliknya penyakitmu yang digoda hawa nafsu adalah penyakit dalaman iaitu penyakit hati.  Ia akan terus tersimpan menjadi benih-benih maksiat sepanjang hidupmu selagi engkau tidak bertaubat.”

“Oleh itu, pulanglah ke tempatmu kembali.  Ubatilah penyakitmu terlebih dahulu sebelum engkau mengubati penyakit orang lain.  Banyaklah berzikir, mengingati Allah, beramal ibadah dan membuat kebaikan kepada manusia.”

Ibrahim Al Khawas telah mendapat pengajaran yang berguna dalam permusafirannya kali ini.