Monday, May 6, 2013

BARSISA



Barsisa adalah seorang ahli ibadah dalam kalangan Bani Israel.  Umurnya 220 tahun telah digunakan untuk beribadah kepada Allah dan tidak pernah mengerjakan maksiat.  Dia menetap di sebuah surau yang juga menjadi tempat ibadahnya.

Golongan syaitan telah lama mencuba untuk menggoda Barsisa dengan tujuan untuk menyesatkannya namun tidak berjaya.  Suatu ketika salah seekor syaitan telah mencuba untuk memperdaya Barsisa.

Syaitan itu yang bergelar Si Putih telah muncul dan menyamar sebagai seorang ahli ibadah.  Dia pergi ke surau tempat Barsisa tinggal dan didapatinya Barsisa sedang khusyuk beribadah di dalamnya.

Dia lantas memanggil Barsisa namun panggilannya tidak bersahut kerana Barsisa sedang khusyuk beribadah.  Oleh itu dia berpura-pura beribadah di bawah sambil menunggu Barsisa turun dari suraunya.

Suatu hari, setelah Barsisa selesai berbuka puasa dan beribadah, dia turun ke bawah.  Dilihatnya seorang lelaki sedang tekun beribadah.

Barsisa merasa hairan lalu bertanya, “Siapakah saudara dan apakah tujuan saudara datang ke mari?”

Si Putih cuba meyakinkan Barsisa dengan menjawab, “Saya datang untuk menuntut ilmu dari tuan dan ingin turut sama-sama beribadah dengan tuan.”

“Tujuanmu sungguh baik namun aku tidak dapat menunaikan permintaanmu.  Aku bimbang ianya akan mengganggu ibadahku kepada Allah,” jelas Barsisa.  Tanpa menunggu jawapan Si Putih, Barsisa terus naik semula ke atas surau.

Barsisa melakukan ibadah kepada Allah seperti biasa.  Setelah 40 hari, barulah dia turun dari surau.  Alangkah terkejutnya dia kerana mendapati lelaki tempoh hari masih tidak berganjak dari situ.  Dia beribadah bersendirian.

Melihatkan lelaki itu yang masih tidak berputus asa, Barsisa merasa kasihan.  Lalu dia mendekati Si Putih dan bertanya sekali lagi, “Wahai saudara, apakah yang engkau inginkan?”

Si Putih merayu, “Saya ingin beribadah dengan tuan di atas surau.”

Hati Barsisa mula berubah setelah mendengar rayuan Si Putih.  Akhirnya dia membenarkan Si Putih beribadah bersama-samanya di atas surau.  Si Putih merasa gembira kerana perancangannya yang sebenar tidak dapat dihidu oleh Barsisa.

Barsisa dan Si Putih melakukan ibadah dan puasa bersama-sama.  Setelah 40 hari, barulah mereka berbuka puasa.

Hari berganti hari sehinggalah setahun lamanya.  Si Putih menyatakan hasratnya kepada Barsisa untuk pergi dari situ.

Si Putih berkata kepada Barsisa, “Wahai tuan, saya ingin pergi dari sini buat sementara waktu.  Saya mempunyai sebuah doa yang sangat mujarab.  Doa ini dapat menyembuhkan segala jenis penyakit.”

Barsisa merasa keberatan untuk melepaskan Si Putih pergi meninggalkannya.  Dia juga enggan menerima doa yang dikatakan mustajab itu kerana bimbang kedatangan orang ramai yang mahu berubat dengannya akan mengganggu ibadahnya.

Namun Si Putih berjaya meyakinkan Barsisa untuk menerima doa itu.  Oleh itu Si Putih telah berjaya dalam rancangan seterusnya.

Si Putih meninggalkan Barsisa dan memulakan perjalanan.  Di pertengahan jalan, Si Putih telah menemui seorang pemuda.  Si Putih telah melakukan sihir ke atas pemuda itu.  Akibat perbuatan tersebut, pemuda itu menghidap suatu jenis penyakit yang parah.  Pemuda itu telantar sakit dan sering meracau-racau.

Keluarga pemuda tersebut berusaha untuk mengubati penyakit itu.  Ramailah bomoh yang datang mencuba termasuklah Si Putih yang telah menyamar sebagai bomoh.

Si Putih berpura-pura mengatakan bahawa dia tidak mampu mengubati penyakit tersebut lalu mencadangkan agar pemuda itu dibawa berjumpa dengan Barsisa yang dikatakan pandai mengubati sebarang jenis penyakit termasuk gangguan jin dan syaitan.

Maka keluarga pemuda itu segera berjumpa dengan Barsisa.  Dengan izin Allah, pemuda itu sembuh dari penyakitnya.

Dengan bantuan syaitan-syaitan yang lain, Si Putih meneruskan kegiatannya mengganggu orang lain.  Oleh yang demikian semakin ramai orang yang datang untuk mendapatkan khidmat Barsisa.

Sehingga tiba satu ketika, Si Putih telah merasuk seorang gadis.  Seperti biasa Si Putih mencadangkan supaya gadis tersebut berubat dengan Barsisa.  Oleh kerana dia seorang perempuan, saudara-saudara lelakinya merasa bimbang Barsisa akan menolak hasrat mereka.

Maka Si Putih pun memberi cadangan supaya dibina sebuah pondok bertentangan dengan surau Barsisa.

Apabila saudara-saudara lelaki itu membawa adik mereka kepada Barsisa ternyatalah bahawa Barsisa enggan merawat gadis tersebut.  Oleh yang demikian, sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Si Putih, mereka pun membina sebuah pondok.  Pintu pondok itu dibiarkan terbuka.

Suatu hari, Barsisa terpandangkan pondok tersebut dan terlihatlah olehnya akan seorang gadis yang sedang terlantar sakit.  Dia merasa kasihan lalu memutuskan untuk mengubati penyakit gadis tersebut.  Setelah beberapa ketika, gadis tersebut beransur pulih.

Ketika mengubati gadis tersebut, Si Putih telah menggoda Barsisa sehingga dia terpikat dengan gadis tersebut.  Godaan syaitan itu akhirnya telah menyebabkan Barsisa berzina dengan gadis itu sehingga gadis tersebut hamil.

Barsisa merasa kesal dan dalam kebingungan inilah Si Putih datang dan memberi jalan keluar kepadanya.  Si Putih berlata, “Tuan telah melakukan dosa besar dan hendaklah bertaubat kepada Allah.  Oleh kerana tuan adalah orang yang sangat dikenali sebagai seorang ahli ibadah maka tuan hendaklah membunuh gadis itu supaya rahsia ini dapat dilindungi dan nama baik tuan akan terus terpelihara.”

Barsisa menurut sahaja cadangan itu tanpa berfikir panjang.  Setelah membunuh gadis itu, dia menanam mayatnya di bawah sebatang pokok.  Tanpa disedarinya Si Putih telah menarik sedikit kain mayat itu sehingga terdedah dan boleh dilihat.

Apabila saudara-saudara lelaki gadis malang itu datang dan bertanyakan perihal adik mereka, Barsisa mengatakan bahawa adik mereka telah pun meninggal dunia.  Mereka percaya dengan penjelasan Barsisa dan pulang dengan membawa kesedihan.

Suatu malam, saudara lelaki gadis tersebut telah bermimpi dan mendapat petunjuk bahawa adik mereka sebenarnya telah dibunuh oleh Barsisa dan telah ditanam di bawah sebatang pokok.  Setelah terjaga dari tidur, saudara lelaki itu segera bergegas ke pokok tersebut lalu mendapati terdapat cebisan kain yang terkeluar dari dalam tanah.

Mereka segera menggali dan membawa mayat itu pulang.  Barsisa ditangkap dan dipenjarakan.  Oleh kerana dia telah berzina dan membunuh maka dia telah dikenakan hukuman 100 kali rotan dan dihukum mati.

Sekali lagi Si Putih datang menawarkan bantuan kepada Barsisa.  Si Putih memperdaya dengan berkata, “Aku boleh menolong engkau melepaskan diri dari penjara ini tetapi dengan satu syarat.”

Barsisa yang telah terpedaya itu hanya mengatakan, “Aku sanggup melakukan apa sahaja yang engkau kehendaki asalkan aku dapat melepaskan diri.”

Maka Si Putih menyuruh Barsisa sujud di kakinya.  Barsisa melakukannya dan pada ketika itu Si Putih tertawa dengan kuat dan menjelmakan rupanya yang sebenar.

Akhirnya Barsisa mati dalam kekufuran kerana telah merosakkan imannya kepada Allah.  Dia telah sujud kepada sesuatu yang selain Allah.  Binasalah amalannya dan rugilah umurnya selama ini.

Begitulah liciknya syaitan memperdaya manusia.  Godaan syaitan mengikut kedudukan manusia.  Hanya manusia yang benar-benar ikhlas dan beriman sahaja yang mampu melawan tipu muslihat syaitan.

Wednesday, March 20, 2013

PENYAKIT HATI



Ibrahim Al Khawas – Seorang wali yang terkemuka sedang bermusafir.  Dia melalui sebuah padang pasir yang panas terik.  Tekaknya terasa sangat dahaga.  Namun tidak nampak tanda-tanda yang boleh membantunya menghilangkan dahaga tersebut.

Tiba-tiba dia terlihat sebatang pohon delima di atas sebuah bukit kecil yang dikelilingi semak-semak berduri.  Dengan segera Ibrahim bergegas menuju ke arah pohon tersebut.  Pohon ini hanya memiliki sebiji buah delima kecil yang berwarna kemerah-merahan.

Ibrahim membayangkan bahawa buah itu pasti manis rasanya dan akan dapat menghilangkan dahaganya.  Dia mengambil buah itu lalu memakannya.  Namun dugaannya meleset.  Buah itu amat pahit dan payau sehingga Ibrahim terpaksa memuntahkannya semula.  Mulutnya terasa gatal.

Kemudian Ibrahim meneruskan perjalanan.  Ketika hampir petang, Ibrahim sampai ke satu tempat yang ditumbuhi bunga-bungaan rimbun dengan bauan yang sangat harum.

Ibrahim pun duduk dan melepaskan lelahnya.  Tiba-tiba kedengaran suara seperti sedang dalam kesakitan.  Ibrahim segera bangun dan mencari arah suara tersebut.  Hasratnya ingin memberikan bantuan.

Dia ternampak seorang lelaki tua sedang terbaring lemah.  Tubuhnya terdapat tanda-tanda sengatan lebah.  Apabila Ibrahim menghampirinya, orang tua itu segera bangun dan menyapanya, “Apa khabar wahai Ibrahim Al Khawas?”

Ibrahim terkejut.  Bagaimana lelaki tua yang asing ini boleh mengenali dirinya.  “Siapakah tuan?  Bagaimana tuan boleh mengenali saya?  Bila dan di mana kita bertemu?” bertalu-talu soalan Ibrahim.

Orang tua itu menjawab, “Wahai Ibrahim.  Mengapa engkau kehairanan?  Aku adalah orang yang dekat dengan Allah.  Aku tidak perlu bertemu terlebih dahulu denganmu untuk mengenalimu dan mengetahui tujuan perjalananmu.”

Ibrahim tambah terkejut.  Siapakah lelaki tua ini?  Namun Ibrahim bertanya lagi, “Wahai tuan.  Engkau mengaku hampir dengan Allah tetapi tubuhmu bengkak-bengkak akibat sengatan lebah.  Sekiranya engkau memang hampir dengan Allah, bukankah engkau sepatutnya meminta kepada Allah ketika lebah-lebah itu akan menyerangmu supaya Dia melindungimu?”

Lelaki tua itu hanya tersenyum mendengar kata-kata Ibrahim.  Dia berkata, “Wahai Ibrahim, ternyata engkau belum matang.  Aku tahu, engkau juga menganggap dirimu hampir dengan Allah.  Namun ketika engkau mahu mengambil buah delima yang tidak diketahui pemiliknya dan engkau belum meminta izin, mengapa engkau tidak meminta kepada Allah supaya melindungimu?”

“Wahai Ibrahim, sakitku disengat lebah adalah penyakit luaran yang akan sembuh kembali sama ada diubati atau tidak.  Sebaliknya penyakitmu yang digoda hawa nafsu adalah penyakit dalaman iaitu penyakit hati.  Ia akan terus tersimpan menjadi benih-benih maksiat sepanjang hidupmu selagi engkau tidak bertaubat.”

“Oleh itu, pulanglah ke tempatmu kembali.  Ubatilah penyakitmu terlebih dahulu sebelum engkau mengubati penyakit orang lain.  Banyaklah berzikir, mengingati Allah, beramal ibadah dan membuat kebaikan kepada manusia.”

Ibrahim Al Khawas telah mendapat pengajaran yang berguna dalam permusafirannya kali ini.

Wednesday, February 13, 2013

TANAH ARAB YANG TANDUS MENJADI LEMBAH YANG SUBUR



Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah SAW, "Tidak akan terjadi qiamat sehinggalah Tanah Arab (yang tandus itu) menjadi lembah yang subur dan dialiri sungai-sungai"

Hadis Riwayat Muslim

KETERANGAN :

Sekarang kita telah mula menyaksikan kebenaran sabdaan junjungan kita ini. Kita banyak melihat tanah Arab yang dahulunya tandus dan kering kontang tetapi sekarang telah mulai menghijau dan ditumbuhi rumput-rumput dan pohon-pohon kayu. Contohnya, Padang Arafah yang ada di Makkah Al Mukarramah yang dahulunya hanya dikenali sebagai padang yang tandus dan tidak ada pohon kayu. Sekarang ini Padang Arafah dipenuhi pohon-pohon kayu, sehingga kelihatan menghijau dan kita dapat berteduh di bawah naungannya.


Keadaan ini walaupun menyejukkan mata memandang namun ia mengurangkan gambaran suasana padang Mahsyar, tempat berhimpunnya seluruh makhluk pada hari qiamat nanti yang merupakan tujuan utama dan pelajaran penting yang diambil dari suasana wuquf jamaah Haji di Padang Arafah pada setiap 9 Zulhijjah tahun Hijrah. 

Wednesday, January 16, 2013

PENTINGNYA KEYAKINAN




Di antara orang-orang yang menuntut ilmu daripada Nabi Musa a.s, terdapat dua orang yang berbeza perwatakan mereka.  Salah seorang darinya adalah seorang ahli ibadah.  Dia sangat rajin belajar dan mengamalkan apa yang dipelajarinya.

Seorang lagi dikenali sebagai penjahat.  Dia juga mengamalkan apa yang dipelajarinya dari Nabi Musa tetapi tidak bersungguh-sungguh.  Kejahatannya melebihi amal kebaikannya.

Suatu hari, ahli ibadah itu meninggal dunia.  Nabi Musa a.s mendapat berita bahawa dia termasuk dalam golongan ahli Neraka.  Nabi Musa merasa hairan kerana ini tidak menggambarkan amalannya ketika di dunia.

Beberapa hari kemudian, penjahat itu pula meninggal dunia.  Nabi Musa mendapat tahu bahawa penjahat itu termasuk dalam golongan ahli Syurga.  Ini menambahkan lagi kehairanan Nabi Musa.

Oleh itu Nabi Musa mengambil keputusan untuk pergi ke kedua-dua rumah orang tersebut untuk mengetahui apakah ada amalan-amalan lain yang menyebabkan nasib mereka berbeza.

Lalu Nabi Musa pergi ke rumah abid itu.  Nabi Musa bertanya kepada isteri ahli ibadah itu, “Apakah amalan suamimu yang sering dilakukannya ketika dia masih hidup dahulu?”

Wanita itu menjelaskan, “Wahai Nabi Allah, tuan juga mengetahui bahawa dia seorang yang sangat rajin beribadah.”

Nabi Musa bertanya lagi, “Adakah lain-lain yang menjadi amalannya?”

Wanita itu menjawab, “Sebelum tidur pada setiap malam, dia akan mengucapkan : Alangkah baiknya kalau apa yang diajarkan oleh Nabi Musa itu semuanya benar.”

Setelah mendengar penjelasan isteri ahli ibadah itu, barulah Nabi Musa memahami kedudukan yang sebenar.  Kemudian Nabi Musa pergi ke rumah penjahat itu pula.

Nabi Musa pun meminta isteri penjahat itu menceritakan amalan suaminya ketika masih hidup.  Isterinya menyatakan, “Wahai Nabi Allah, tuan lebih mengetahui siapa suamiku.  Amalan kejahatannya melebihi amalan kebaikannya.”

Nabi Musa bertanya lagi, “Pasti ada amalan-amalan lain yang dilakukan oleh suamimu.”

Isteri penjahat itu menceritakan, “Ya, pada setiap malam sebelum tidur dia akan membaca : La Ilaha Illaallah Walhamdulillah, sebagaimana yang diajarkan oleh tuan.”

Kini mengertilah Nabi Musa mengapa penjahat itu digolongkan sebagai penghuni Syurga.  Penjahat itu bernasib baik kerana dia ikhlas dan yakin dengan amalannya.

Namun imannya yang lemah tidak mampu melawan godaan syaitan dan hawa nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.  Dia juga mempunyai satu kelebihan iaitu sentiasa mengucapkan La Ilaha Illallah – Tiada Tuhan Melainkan Allah.

Berbeza dengan ahli ibadah itu yang telah menerima nasib yang buruk.  Walaupun dia banyak beribadah namun di hatinya terselit perasaan ragu terhadap apa yang diamalkannya.  Dia tidak yakin akan apa yang dilakukannya.  Oleh itu amalannya tidak diterima oleh Allah SWT.

Kisah ini mengingatkan kita supaya sentiasa yakin dalam beramal.  Dan tidak semua amalan yang zahir ketika di dunia itu menggambarkan nasibnya di Akhirat.

Monday, December 17, 2012

MINYAK WANGI YANG BUSUK?




Di antara wanita Ansar yang turut terlibat dalam peperangan bersama Rasulullah SAW menentang tentera-tentera kafir adalah Rubayyi binti Mewaz.  Dia merawat tentera-tentera Islam yang cedera dan mengangkat mereka yang terkorban.

Suatu hari, seorang wanita penjual minyak wangi bernama Asma telah menjual minyak wangi kepadanya.  Setelah dia mengetahui bapa Rubayyi iaitu Mewaz bin Afra adalah salah seorang yang telah membunuh Abu Jahal, lantas dia memarahi Rubayyi dengan berkata :

“Jadi, engkau adalah anak perempuan kepada orang yang telah membunuh ketuanya!”

Rubayyi yang memiliki akhlak mulia hanya menafikan tuduhan bahawa Abu Jahal itu ketua kepada ayahnya.  Dia berkata dengan lembut tetapi tegas : “Tidak, aku adalah anak perempuan kepada orang yang telah membunuh hambanya!”

Asma yang mendengar penafian itu menjadi semakin marah.  Lalu dia berkata, “Haram bagiku untuk menjual minyak wangi ini kepadamu!”

Rubayyi pula berkata, “Haram pula bagiku untuk membeli minyak wangi daripadamu.  Aku tidak pernah mendapati minyak wangi yang amat busuk kecuali minyak wangi milikmu itu.”

Sebenarnya Rubayyi berkata begitu hanyalah untuk membangkitkan kemarahan wanita itu.  Dia sama sekali tidak dapat menerima dakwaan bahawa Abu Jahal yang merupakan musuh Islam itu dikatakan sebagai ketua!

Thursday, November 8, 2012

MUNCULNYA GALIAN-GALIAN BUMI




Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: "Wahai RasuIullah, emas ini adalah hasil dari galian kita". Lalu Nabi SAW menjawab, "Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat".

Hadis Riwayat Baihaqi

KETERANGAN :

Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW sejak 15 abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi seperti emas, perak, timah, minyak dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu di antara petanda hampirnya hari qiamat.

Monday, October 29, 2012

MEMBURU SYAHID



Umat Islam di Madinah belum pun seminggu menyambut Aidilfitri, sudah menyahut panggilan jihad sekali lagi.  Ini disebabkan Perang Uhud terjadi pada 6 Syawal tahun 3 Hijrah.

Nasibah adalah antara para isteri yang turut melepaskan suaminya ke medan jihad dengan hati gembira.  Walaupun kepulangannya belum pasti namun bukankah mati syahid itu adalah idaman setiap Mukmin?  Suaminya, Said turut bersama menyertai Rasulullah SAW untuk menentang kaum musyrikin.

Setelah beberapa lama pertempuran berlaku, datang seorang tentera membawa berita kepada Nasibah.  Dia memberitahu bahawa suaminya telah terkorban.

Nasibah dengan tenang berkata, “Allahu Akbar!  Suamiku telah menang perang!”

Kemudian Nasibah mengucapkan syukur kepada Allah.  Air mata meleleh di pipinya, bukan air mata kesedihan tetapi tangisan gembira.

Setelah tentera itu pergi, Nasibah memanggil anaknya Ammar.  Ammar baru berusia 15 tahun.  Nasibah lalu berkata kepada anaknya, “Anakku, engkau telah mendengar bukan?  Ayahmu telah gugur di medan pertempuran.”

Ammar hanya menganggukkan kepalanya tanda membenarkan kata-kata ibunya.

Nasibah berkata lagi, “Sekarang engkau pergilah ke medan peperangan.  Bawalah tombak itu.”

Kedatangan Ammar disambut oleh Rasulullah SAW lalu Baginda memeluknya.  Ammar bersama Rasulullah SAW dan tentera-tentera Islam berperang menentang pihak musuh yang begitu ramai.  Sebagaimana ayahnya, Ammar turut terkorban di dalam peperangan itu.

Apabila mendengar berita buat kali kedua ini, Nasibah masih tidak menampakkan kesedihannya.  Malah dia memanggil anaknya Saad yang masih kecil untuk turun berperang.

Saad juga gugur sebagai syuhada’.  Nasibah terdiam seketika setelah mendengar berita ini.  Namun dengan semangat yang berkobar-kobar, Nasibah sendiri telah menunggang kudanya menuju medan peperangan.  Dia ingin turut serta dalam pertempuran itu.

Kedatangan Nasibah secara tiba-tiba ini telah dihalang oleh tentera-tentera Islam.  Mereka mencadangkan kepadanya supaya berada di barisan belakang untuk merawat tentera-tentera Islam yang cedera.

Nasibah menerima nasihat itu dan segera membantu tentera-tentera Islam itu.  Tidak berapa lama, sedang dia sibuk melakukan kerjanya, tiba-tiba seorang tentera Islam terjatuh dari kudanya dalam keadaan kesakitan.

Nasibah naik marah dan timbul semangat untuk membalas serangan itu.  Dia mengambil pedang tentera Islam itu dan terus menunggang kudanya menuju tentera musuh.

Setelah beberapa lama bertempur akhirnya Nasibah turut gugur sebagai syahid sebagaimana suami dan anak-anaknya.