Saidina Hamzah telah gugur sebagai syahid
sewaktu Perang Uhud. Tubuhnya telah
dikerat-kerat dengan kejam oleh salah seorang musuh Islam. Malah hati, jantung dan limpanya telah dikeluarkan
sehingga mayatnya kelihatan sungguh dahsyat dan mengharukan.
Semasa Rasulullah SAW membuat persiapan untuk
mengkebumikan mayat-mayat tentera Islam yang telah syahid, Baginda
terpandangkan mayat Saidina Hamzah.
Baginda amat terperanjat melihatkan keadaan mayat Saidina Hamzah
itu. Baginda segera menutupi mayat itu
dengan sehelai kain.
Ketika itu datanglah Safiyah, adik kepada
Saidina Hamzah. Rasulullah SAW merasa
bimbang jika mayat Saidina Hamzah dilihat oleh Safiyah dan akan mengganggu
perasaan wanita itu.
Oleh itu Rasulullah SAW mengarahkan anak
Safiyah iaitu Zubair r.a untuk menasihati ibunya supaya tidak melihat mayat
itu. Namun Safiyah telah berkata :
“Aku telah mendengar berita mengenai kematian
abangku Hamzah yang dibunuh dengan kejam sehingga tubuhnya hancur. Ini semua adalah pengorbanan yang besar di
sisi Allah dan kita patut menerimanya dengan sabar dan berharap semoga Allah
SWT dengan kasih sayangNya akan mengurniakan belas kasihan terhadap kita
semua.”
Zubair r.a lalu memberitahu Rasulullah SAW
bahawa ibunya tetap mahu melihat mayat Saidina Hamzah. Setelah Rasulullah SAW memberi keizinan,
Safiyah pun menatap mayat abangnya.
Dengan suara yang lembut dia mengucapkan : Inna lillah wa inna ilaihi rajiun dan berdoa agar Allah merestui
roh abangnya.
Dalam suatu riwayat yang lain, Zubair r.a
mengkisahkan :
“Kami telah melihat seorang perempuan datang
ke tempat orang-orang yang mati syahid dalam peperangan Uhud dikumpulkan. Setelah dia hampir kepada kami, barulah aku
dapat mengenalinya bahawa dia adalah ibuku sendiri. Aku pergi mendapatkannya dan cuba
menghalangnya. Namun tidak berhasil
kerana ternyata ibuku kuat. Dia telah
menolakku ke tepi sambil berkata, “Tinggalkan aku sendirian.”
Aku memberitahu ibuku bahawa Rasulullah SAW
telah melarangnya melihat mayat itu.
Oleh itu dia menghentikan hasratnya untuk melihat mayat itu dan hanya
berkata, “Setelah aku diberitahu mengenai kematian abangku Hamzah r.a maka aku
membawa beberapa helai kain untuk menutup mayatnya.”
Kami mengambil kain-kain yang dibawanya dan
mula menutupi mayat Saidina Hamzah r.a.
Berhampirannya kami melihat mayat seorang lelaki Ansar bernama Suhail
r.a. Mayatnya terbujur kaku dalam
keadaan yang sama. Kami merasa malu
dengan perbuatan kami sekiranya kami hanya menutup mayat Hamzah sedangkan mayat
lelaki Ansar itu kami biarkan tanpa ditutup walau oleh sehelai kain.
Jadi kami mengambil keputusan untuk
menggunakan kain yang ada itu supaya dapat menutup kedua-dua mayat itu. Malangnya sehelai dari kain itu terlebih
besar dan sehelai lagi kecil. Maka kami
pun melakukan undian yang akhirnya jatuh undian kain yang besar itu kepada
Suhail. Manakala yang kecil jatuh
undiannya kepada mayat Hamzah r.a.
Oleh kerana kain itu terlalu kecil maka ianya
tidak dapat menutupi keseluruhan mayat Hamzah r.a. Apabila kami menutup kepalanya maka kakinya
akan terdedah. Dan jika kami tutup
kakinya maka kepalanya pula yang akan terdedah.
Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW bersabda :
“Tutuplah kepalanya dengan kain itu dan
tutuplah kakinya dengan daun-daun pokok.”
Para sahabat tidak sanggup membiarkan mayat
Suhail r.a tidak ditutup oleh sebarang kain.
Pada hal Saidina Hamzah adalah bapa saudara Rasulullah SAW dan juga
pahlawan Islam yang terkemuka. Namun
layanan para sahabat tetap sama dan tidak membeza-bezakan darjat dan keturunan
seseorang.
No comments:
Post a Comment