Abdul Rahman bin Auf r.a meriwayatkan :
“Di dalam peperangan Badar ketika berada di
barisan pertempuran, aku ternampak dua orang pemuda Ansar yang mana salah
seorang daripadanya berada di sebelahku.
Aku merasakan keadaan begitu baik kerana berada bersama mereka yang
lebih kuat dan dapat membantuku di waktu kecemasan.
Tiba-tiba seorang dari pemuda itu memegang
tanganku sambil berkata, “Tuan, adakah tuan tahu di mana Abu Jahal berada? Saya telah mendapat tahu bahawa dia telah
mencaci Rasulullah SAW. Dengan nama
Allah yang memegang nyawaku di tanganNya, jika aku ternampak Abu Jahal, aku
tidak akan membiarkannya. Pasti akan
kubunuh walaupun aku sendiri terbunuh!”
Kata-kata yang begitu bersemangat telah
menyebabkan aku merasa kagum. Kemudian
pemuda yang seorang lagi datang kepadaku dan turut menyatakan keazaman yang
sama.
Kebetulan aku terlihat Abu Jahal sedang
menunggang kuda yang juga berada dalam medan
peperangan itu. Lalu aku berkata, “Lihat
di sana , orang
yang kamu kehendaki itu!”
Mereka segera berkejar ke arah Abu Jahal dan
menyerangnya dengan senjata. Kemudian
aku terlihat Abu Jahal terjatuh dari kudanya.”
Kedua pemuda Ansar yang diriwayatkan ini
ialah Maaz bin Amar dan Maaz bin Afra.
Maaz bin Amar mengisahkan :
“Aku telah mendengar orang-orang berkata :
Tiada sesiapa pun yang dapat membunuh Abu Jahal kerana dia dikawal rapi. Ketika itu juga aku bertekad akan
menghapuskannya.”
Di dalam suatu riwayat yang lain : Sebaik
sahaja Abdul Rahman bin Auf mengetahui di mana Abu Jahal berada (yang ketika
itu sedang mengatur barisan serangan), pemuda-pemuda itu segera menuju ke arah
Abu Jahal yang sedang menunggang kuda.
Salah seorang dari mereka telah menetak kaki
kuda Abu Jahal dan seorang lagi telah mencederakan kaki Abu Jahal sendiri. Ini menyebabkan Abu Jahal dan kudanya
sama-sama terjatuh dan Abu Jahal tidak dapat bangun lagi. Setelah itu, kedua pemuda itu meninggalkannya
dalam keadaan kesakitan begitu.
Kemudian abang kepada Maaz bin Afra iaitu
Mawaz menyerang Abu Jahal lagi sehingga dia tidak berdaya menuju ke
khemahnya. Akhirnya Ibnu Mas’ud
menyerang sekali lagi dan terus memenggal kepala Abu Jahal.
Maaz bin Amar pula menceritakan :
“Ketika aku mencederakan Abu Jahal dengan
pedangku, anak lelakinya Ikrimah berada bersamanya. Dia telah menyerang pada bahu lalu memotong
tanganku sehingga ia tergantung-gantung pada kulitku. Aku meletakkan tanganku ke atas bahu dan
terus berjuang dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Tetapi apabila aku menyedari bahawa tanganku
yang cedera itu kaku, aku meletakkannya di bawah kakiku dan menariknya lalu
terpisahlah ia dari tubuhku.”
No comments:
Post a Comment