Seorang lelaki yang menyesal dengan perbuatan
jahatnya telah memasuki masjid. Ketika
itu Rasulullah SAW sedang solat berjemaah.
Setelah selesai solat, di dalam kuliah Baginda SAW telah bersabda :
“Barang
siapa meninggalkan sesuatu yang haram maka dia akan memperolehi yang halal.”
Apabila malam tiba, syaitan telah
mendorongnya kembali untuk membuat kejahatan.
Dia pun memasuki sebuah rumah milik wanita yang telah kematian
suaminya. Wanita itu pula tinggal
bersendirian.
Setelah memasuki ke dalam rumah, dia
ternampak makanan yang telah sedia terhidang dan ini menimbulkan keinginannya
untuk merasai makanan tersebut. Ketika
hendak mengambil makanan itu, dia teringat akan sabda Rasulullah SAW tadi iaitu
barangsiapa meninggalkan sesuatu yang haram, maka dia akan memperolehi yang
halal. Dengan yang demikian, dia tidak
jadi untuk meneruskan keinginannya.
Kemudian setelah menggeledah bilik rumah
tersebut, dia menjumpai barang-barang permata dan wang. Apabila dia hendak mengambil barang-barang
tersebut, sekali lagi dia teringat kata-kata Rasulullah SAW. Ini telah menghalangnya daripada meneruskan
niatnya itu.
Seterusnya dia meninjau pula di dalam bilik
yang lain di mana ada seorang wanita sedang tidur sendirian. Dia teringat lagi akan sabda Rasulullah SAW
lalu membatalkan hasratnya untuk menyentuh wanita itu. Akhirnya dia keluar dari rumah itu tanpa
melakukan apa-apa. Dia merasa gembira
kerana berjaya melawan godaan syaitan.
Setelah itu dia terus ke masjid untuk
menunaikan solat Subuh. Kemudian dia
duduk di satu sudut masjid itu dan memikirkan dirinya.
Apabila matahari telah meninggi, masuklah
seorang wanita ke dalam masjid untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Dia telah mengadu bahawa rumahnya telah
dimasuki pencuri tetapi tidak ada apa-apa yang hilang. Dia merasa bimbang dirinya akan diapa-apakan
sekiranya pencuri itu datang lagi kerana dia tinggal sendirian. Wanita itu menyatakan bahawa dia telah
kematian suami setelah ditanyakan oleh Rasulullah SAW.
Lalu Rasulullah SAW pun melihat sekitar
masjid itu dan dilihatnya ada seorang lelaki sedang berbaring di satu
sudut. Baginda menyoal lelaki itu
mengenai hal-hal yang berkaitan dengan dirinya.
Lelaki itu menjawab bahawa dia hidup
sendirian kerana isterinya telah meninggal dunia. Rasulullah SAW kemudiannya meminta kedua-dua
mereka bernikah. Namun mereka tidak
menjawab kerana berasa malu. Akhirnya
Rasulullah SAW pun menikahkan pasangan tersebut. Ketika inilah, lelaki itu menangis dan
mengisahkan keadaan yang sebenarnya kepada Baginda.
Kemudian kedua-dua orang itu keluar dari
masjid menuju rumah wanita itu. Lelaki
itu memperolehi segala yang diharamkan buatnya malam tadi.
Makanan yang diharamkan memakannya malam tadi
telah menjadi halal baginya. Permata dan
wang yang ingin dicuri kini boleh digunakan dengan cara yang halal. Malah wanita yang haram disentuh itu telah
boleh digaulinya kerana kini telah menjadi isterinya.
Benarlah sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa meninggalkan sesuatu yang haram
maka dia akan memperolehi yang halal.”
No comments:
Post a Comment