Khalifah Al Mansur pergi menemui seorang
ulama bernama Sufyan At Tsauri. Sufyan
tidak pernah menziarahinya di istana.
Oleh itu khalifah bertanya, “Apakah yang menghalang tuan sehingga tidak
mahu mengunjungiku?”
Sufyan menjawab tanpa ragu-ragu, “Tidak ada
apa. Cuma terdapat ayat Al Quran yang
bermaksud : Jangan engkau bernaung kepada
orang-orang yang zalim, nanti engkau dilahap api Neraka. Sebab seburuk-buruknya balasan adalah bagi
orang-orang yang zalim.”
Suatu ketika yang lain, Sufyan At Tsauri
menghadap khalifah di istananya setelah dipanggil berkali-kali. Setelah bertemu, khalifah pun berkata,
“Sekiranya tuan ada memerlukan apa-apa, sila beritahuku. Aku akan memenuhi permintaan tuan.”
Sufyan hanya mendiamkan diri.
Khalifah bertanya lagi, “Katakanlah, apa yang
tuan kehendaki?”
Akhirnya Sufyan menyoal kembali, “Apakah tuan
bersedia memenuhi apa sahaja permintaanku?”
Khalifah merasa gembira dengan kata-kata
Sufyan itu. Sangkanya Sufyan telah
berubah fikiran. Khalifah berkata lagi,
“Apa sahaja yang tuan minta akan aku penuhi.”
Sufyan lalu menyatakan permohonannya,
“Permintaan saya cuma satu. Diharapkan
tuan tidak lagi memanggil saya untuk menghadap tuan di istana.”
Setelah itu Sufyan terus keluar dari istana
tanpa menoleh lagi. Khalifah hanya
menggeleng-gelengkan kepala. Katanya
sendirian, “Begitulah sepatutnya sikap ulama yang soleh. Tegas dengan pendiriannya.”
No comments:
Post a Comment