Abu Darda’ r.a adalah di antara para sahabat
yang amat luas ilmu pengetahuannya.
Beliau dikenali sebagai Hakimul Ummah kerana kebijaksanaannya di dalam
Islam. Kathir bin Qais menceritakan :
Ketika aku sedang duduk bersama Abu Darda’ di
dalam masjid di Damsyik, datang seorang lelaki menghampiri kami dan berkata :
“Wahai Abu Darda’, aku datang dari Madinah
untuk mempelajari satu hadis darimu kerana aku telah diberitahu bahawa engkau
adalah antara orang yang telah mendengarnya langsung dari Rasulullah SAW.”
Abu Darda’ bertanya, “Adakah kamu mempunyai
tujuan yang lain di Damsyik?”
Dia menjawab, “Tidak ada.”
Abu Darda’ bertanya lagi, “Adakah kamu pasti
bahawa kamu tidak mempunyai pekerjaan lain selain itu di Damsyik?”
Dia menjawab, “Aku datang ke tempat ini
adalah semata-mata untuk mempelajari hadis ini.”
Abu Darda’ pun berkata, “Dengarlah, aku telah
mendengar Rasulullah SAW bersabda :
“Allah
akan memudahkan jalan ke Syurga kepada seseorang yang berjalan di dalam
beberapa jarak untuk mencari ilmu pengetahuan.
Para malaikat pula akan menghamparkan
sayap-sayap mereka di bawah kakinya dan kesemua makhluk yang ada di langit dan
di bumi (sekalipun ikan-ikan di laut) akan mendoakan agar dia memperolehi
keampunan.”
Kelebihan seseorang yang berilmu dari seorang
yang hanya beribadah adalah diibaratkan seperti kelebihan bulan daripada
bintang-bintang. Para
ulama merupakan pewaris Rasulullah SAW.
Warisannya bukanlah emas ataupun perak tetapi yang mereka warisi ialah
ilmu pengetahuan. Orang yang mempunyai
ilmu pengetahuan akan memperolehi kekayaan yang tidak ternilai harganya.
Abu Darda’ menceritakan :
“Sebelum lahirnya agama Islam, hidupku hanya
bergantung kepada perniagaan. Selepas
aku memeluk Islam, aku telah berusaha untuk menggabungkan khidmatku terhadap
Allah dengan tugasku tetapi tenyata aku tidak dapat berbuat begitu. Oleh itu aku memalingkan diriku daripada
perniagaan dan memperhambakan diriku ini semata-mata untuk Allah.”
“Seandainya kini aku mempunyai sebuah kedai
di perkarangan pintu masjid di mana aku tidak perlu merasa takut akan
ketinggalan walaupun satu solat, malah meskipun seandainya kedai itu dapat
memberi keuntungan kepadaku dalam sehari sebanyak 40 dinar untuk aku belanjakan
kesemuanya di jalan Allah, namun aku masih tidak sanggup kembali untuk
berniaga.”
Apabila ada yang bertanyakan mengapa begitu,
Abu Darda’ menjawab :
“Ini disebabkan ketakutanku terhadap hisab.”
No comments:
Post a Comment