Yunus bin Ubaid adalah seorang saudagar. Dia menjual pakaian dan barang-barang
perhiasan. Satu hari dia mahu solat di
masjid lalu dia meminta adiknya menjaga kedai buat sementara waktu.
Sepeninggalan saudagar Yunus ke masjid,
datang seorang Badwi ke kedai itu. Dia
ingin membeli suatu barang perhiasan.
Adik saudagar itu menjualkan barangan tersebut dengan harga 400 dirham
sedangkan harga sebenarnya hanyalah 200 dirham.
Apabila diberitahu harganya 400 dirham, badwi itu membelinya tanpa
menawar harga.
Dalam perjalanan pulang, badwi telah
bertembung dengan saudagar Yunus yang baru pulang dari masjid. Saudagar Yunus sangat mengenali barang yang
dibawa oleh badwi dari kedainya itu.
Lalu dia pun bertanya kepada badwi itu, “Berapakah
harga barang yang engkau beli ini?”
Badwi itu memberitahu bahawa dia membeli
barang tersebut dengan harga 400 dirham.
Saudagar Yunus sangat terkejut dengan harga
yang sekali ganda dari harga sebenar.
Lantas dia pun berkata, “Barang ini hanya berharga 200 dirham
sahaja. Marilah kita kembali ke kedaiku
untuk mengambil baki wangmu.”
Badwi itu menolak pelawaan saudagar Yunus
dengan berkata, “Tidak mengapalah wahai saudagar. Saya sudah bersetuju membelinya dengan harga
400 dirham kerana di negeri saya sendiri barang seperti ini berharga tidak
kurang 500 dirham.”
Namun saudagar Yunus tetap berkeras untuk
mengembalikan baki wang badwi itu. Dia
berkata, “Tidak, engkau mesti mengikutku ke kedai. Memberitahu yang sebenar dalam agama adalah lebih
utama dari dunia dan isinya.”
Oleh itu badwi itu terpaksa menurut kehendak
saudagar Yunus dan mereka sama-sama menuju ke kedai.
Setelah wang berlebihan itu dipulangkan,
saudagar Yunus menegur adiknya, “Tidakkah engkau malu dan takutkan Allah di
atas perbuatanmu itu? Engkau
mementingkan untung yang berlebihan sehingga engkau sanggup meninggalkan
berkata benar kepada kaum Muslimin?”
Adiknya menjawab, “Tetapi dia sendiri sudah
bersetuju untuk membelinya dengan harga 400 dirham. Dia membelinya dengan hati yang rela.”
Kemudian saudagar Yunus menasihati adiknya,
“Setiap umat Islam hendaklah menghormati saudaranya sebagaimana dia menghormati
dirinya sendiri.”
No comments:
Post a Comment