Wednesday, March 14, 2012

MUSLIHAT IBLIS

Rasulullah SAW berkumpul bersama para sahabat di rumah salah seorang Ansar di Madinah. Di antara para sahabat yang ada ketika itu ialah Umar Al Khattab, Muaz bin Jabal dan Ibnu Abbas.

Tiba-tiba kedengaran pintu diketuk sehingga menyebabkan para sahabat kehairanan. Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya sama ada mereka mengetahui siapa yang mengetuk pintu itu. Namun tidak seorang pun yang mengetahuinya.

Sebenarnya Rasulullah SAW mengetahui siapa yang melakukan perbuatan itu. Lalu Rasulullah SAW pun memberitahu mereka bahawa yang mengetuk pintu itu ialah Iblis Laknatullah. Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, Saidina Umar lantas bangun dan memohon izin dari Rasulullah SAW untuk membunuhnya.

Rasulullah SAW pun berkata, “Wahai sahabatku, kau tidak mungkin melakukannya kerana Allah telah memberi masa untuk hidup kepada Iblis sehingga hari Kiamat.”

Kemudian Rasulullah SAW meminta supaya dibukakan pintu. Baginda menjelaskan bahawa kedatangan Iblis itu bukan kehendaknya sendiri tetapi adalah semata-mata kerana perintah Allah SWT untuk menghadap Rasulullah SAW. Oleh itu Baginda meminta para sahabat mendengar dan memerhati apa yang diucapkan oleh Iblis supaya menjadi peringatan dan manfaat bagi umat Islam.

Maka salah seorang sahabat pun membuka pintu. Kelihatan seorang lelaki yang sangat tua dengan rupa yang menakutkan. Dia melangkah ke dalam rumah sambil mengucapkan salam kepada yang hadir. Dia juga menyatakan tujuan kedatangannya adalah disebabkan oleh perintah Allah untuk berdialog dengan Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah antara isi kandungan perbualan di antara Nabi Muhammad SAW dengan Iblis Laknatullah :

Rasulullah SAW : Apakah yang telah diperintahkan kepadamu dan bagaimana tugasmu? Cuba kamu terangkan.

Iblis Laknatullah : Aku diutuskan supaya memberikan keterangan bagaimana cara dan tipu muslihatku bersama pembantu dan anak-anakku untuk menggoda dan memperdaya manusia sehingga hidupnya tersesat, menyimpang dari jalan yang benar dan seterusnya dibenci oleh Allah.

Aku melakukan itu semua kerana iri hati terhadap manusia dan dendamku kepada Nabi Adam. Oleh itu aku berusaha bersungguh-sungguh untuk menggoda manusia supaya mereka ingkar kepada Allah, supaya kawanku menjadi ramai dan tinggal bersama-samaku di dalam Neraka nanti.

Manusia yang meninggalkan ajaran agamanya, lupa kepada Tuhannya sehingga mereka menjadi kufur. Sesungguhnya itu semua adalah dari usahaku.

Rasulullah SAW : Siapakah yang paling dibenci olehmu?

Iblis Laknatullah : Sesungguhnya manusia yang paling aku benci adalah engkau sendiri dan ahli-ahli ibadah yang lain seperti :

1) Pemuda yang bertaqwa kepada Allah dan selalu berkorban untuk kepentingan di jalan Allah.

2) Alim ulama yang bertaqwa yang berusaha menjauhkan dirinya dari perkara yang haram dan syubhat.

3) Fakir miskin yang sabar dan tidak menceritakan kesusahannya kepada orang lain. Oleh itu dia akan mendapat pahala kerana penderitaan dan kesabarannya. Jika sebaliknya, dia tidak sabar dengan penderitaannya itu maka dia berdosa kerana tidak redha dengan qada & qadar Allah.

4) Orang-orang kaya yang pemurah dan orang-orang yang mencari kekayaan di jalan Allah yang menggunakan hartanya ke jalan yang halal.

Aku menyenangi orang-orang yang mencari harta dan kekayaan dengan jalan tidak halal sehingga boleh mencelakakannya dan juga menyusahkan orang lain.

Rasulullah SAW : Bagaimana jika engkau melihat umatku bangun dan kemudian mengerjakan solat?

Iblis Laknatullah : Tubuhku akan menjadi gementar. Sebaliknya jika umatmu meninggalkan solat lima waktu, aku merasa gembira kerana dia bakal menjadi temanku di Neraka kelak.

Rasulullah SAW : Bagaimana jika umatku berpuasa?

Iblis Laknatullah : Aku tidak berdaya menggodanya kerana tangan dan kakiku seolah-olah terikat sehinggalah tibanya waktu berbuka puasa.

Rasulullah SAW Bagaimana jika umatku menunaikan haji?

Iblis Laknatullah : Aku akan berusaha untuk menggagalkan keinginan mereka itu dengan menggunakan orang-orang yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab supaya mereka tidak jadi pergi menunaikan haji.

Rasulullah SAW : Bagaimana jika umatku membaca Al Quran?

Iblis Laknatullah : Tubuhku terasa panas seperti dicurahkan timah yang panas dan mendidih. Oleh itu aku akan menggoda mereka dengan meniup mata mereka supaya mereka merasa mengantuk sehingga mereka menghentikan bacaan.

Rasulullah SAW : Bagaimana jika umatku bersedekah?

Iblis Laknatullah : Hatiku terasa sakit dan badanku terasa dipotong-potong oleh gergaji.

Rasulullah SAW : Mengapa?

Iblis Laknatullah : Kerana aku tidak menyukai perbuatan mereka itu kerana mereka akan mendapat kebajikan. Di dalam sedekah itu terdapat beberapa kebajikan. Antaranya :

1) Allah memberikan keberkatan di dalam hartanya itu.

2) Akan melahirkan rasa kasih sayang terhadap sesama manusia.

3) Menjauhkan dirinya dari bala.

4) Sedekah akan menjadi benteng dari api Neraka.

Rasulullah SAW : Bagaimana sikapmu terhadap empat sahabatku?

Iblis Laknatullah : Aku sangat takut, segan dan menghormati keempat-empat sahabatmu itu. Oleh itu, jika aku bertemu mereka, aku selalu berusaha menjauhi mereka.


Rasulullah SAW mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT yang telah memberi kebahagiaan kepada umatnya yang beragama Islam dan akan memberi kesengsaraan kepada Iblis Laknatullah.

Iblis Laknatullah : Wahai Muhammad, dugaanmu sungguh salah. Bukankah engkau mengetahui bahawa aku akan hidup sehingga Kiamat? Oleh itu hidupku akan digunakan untuk menggoda manusia siang dan malam. Baik yang kaya atau miskin, tua atau muda, berilmu atau jahil. Aku tidak akan mensia-siakan waktu. Aku dapat memasuki tubuh manusia melalui darah dan urat sehingga ke dalam tulang sum sum.

Aku akan goda para pemimpin, raja-raja dan pembesar supaya mereka menjadi sombong dan takabur sehingga lahir di hatinya rasa iri dan dengki yang akan membawa kepada peperangan dan membinasakan manusia.

Aku akan goda orang berilmu supaya dengan ilmunya itu mereka gunakannya ke arah kejahatan sehingga melakukan kemaksiatan.

Aku akan goda orang kaya supaya bakhil terhadap orang miskin sehingga orang miskin menjadi benci dan berhasad dengki.

Orang yang jahil dan miskin akan aku goda supaya mereka tidak sabar dengan penderitaannya sehingga mereka menjadi kufur dan melakukan maksiat. Kejahatan, pencerobohan dan pembunuhan ada di mana-mana yang akhirnya membawa kepada kehancuran bagi manusia.

Orang yang lemah jiwa dan imannya akan aku goda supaya suka bermain judi sehingga menjadi darah daging mereka walaupun mereka itu rajin solat dan berpuasa. Maka dengan ini ibadah mereka akan menjadi sia-sia.

Orang yang sedang melakukan solat akan aku bisikkan hati mereka supaya fikirannya tidak menentu, solat tidak khusyuk sehingga lupa bilangan rakaat dan lupa akan bacaan solat walaupun sekejap.

Wahai Muhammad. Pembantuku sungguh banyak. Aku mempunyai pembantu sebanyak 70,000 dan setiap mereka pula mempunyai pengikut sebanyak 70,000 yang terdiri daripada syaitan. Inilah pengikutku yang tidak diketahui dan tidak kelihatan oleh manusia.

Ini ditambah dengan umatmu iaitu orang-orang yang ingkar, yang kufur kepada Tuhannya, suka melacur, pemabuk, orang yang meninggalkan solat dan orang lelaki yang mudah menjatuhkan talak. Lelaki itu adalah cahaya mataku. Mereka semua adalah kekasihku dan sahabatku. Aku merasa sungguh gembira melihat umatmu yang sebegitu kerana nanti akan menjadi temanku di dalam Neraka.