Thursday, May 17, 2012

GOLONGAN RUWAIBIDHAH

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda. "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"”. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?". Nabi SAW menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”.

Hadis Riwayat Ibnu Majah


KETERANGAN :

Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus dari segi material dan juga tandus dari segi pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Thursday, May 10, 2012

BACAAN YANG MEMBINASAKAN

Hari itu sungguh panas terik. Tekak terasa kering. Dari jauh kelihatan Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar berjalan menghampiri seorang budak yang sedang menggembala kambing.

Rasulullah SAW pun bertanya kepada budak itu, “Adakah susu yang dapat menghilangkan dahaga kami wahai anak?”

Dia menjawab, “Memang ada. Tetapi kambing ini bukanlah kepunyaanku.” Budak itu sebenarnya ialah Abdullah bin Mas’ud atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Mas’ud. Dia sedang menggembala kambing milik Uqbah bin Abi Mu’aith.

Rasulullah SAW hanya tersenyum. Setelah mendapat izin daripada tuan empunya kambing, Baginda membaca beberapa potong ayat Al Quran di hadapan kambing yang belum lagi boleh mengeluarkan susu. Diperahnya kantung susu kambing tersebut.

Tiba-tiba keluarlah susu daripada kambing tersebut. Kemudian Baginda meminjam bekas air minuman dari Ibnu Mas’ud untuk menadah susu yang keluar. Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar pun minum susu tersebut untuk menghilangkan dahaga. Inilah Mukjizat!

Ibnu Mas’ud melihat kejadian ini dengan penuh kehairanan. Dia berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, ajarlah saya apa yang telah tuan bacakan tadi.” Rasulullah SAW mengajarkan bacaan yang diminta oleh Ibnu Mas’ud. Kemudian Ibnu Mas’ud menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam sedangkan ketika itu dia masih kecil. Dia adalah pemeluk Islam yang keenam sesudah Saidatina Khadijah, Saidina Abu Bakar, Saidina Ali, Saidina Zaid bin Harithah dan Saidina Abu Zar Al Ghifari.

Ketika itu Islam masih disebarkan secara senyap-senyap. Baginda berharap supaya dapat diIslamkan seseorang dari kaum Quraisy yang berani agar Islam dapat disebarkan dengan segera dan lebih terbuka.

Meskipun masih kecil, Ibnu Mas’ud menyatakan kesediaannya untuk menyebarkan Islam secara terang-terangan. Lebih-lebih lagi banyak ajaran Islam yang dipelajarinya dari Rasulullah SAW. Namun keinginannya itu dihalang oleh yang lain kerana dia masih terlalu muda.

Ini tidak menjadikannya berputus asa. Dia telah bertekad untuk menghadapi apa sahaja rintangan dengan tabah. Suatu hari, kira-kira ketika waktu Dhuha, Ibnu Mas’ud telah pergi berhampiran Makam Ibrahim di Masjidil Haram.

Dia melihat banyak orang Quraisy sedang berkumpul. Tanpa merasa bimbang, dia mula membaca ayat-ayat suci Al Quran dari surah Ar Rahman. Orang ramai mendengarnya dengan penuh minat dan terpukau dengan suaranya. Mereka masih belum menyedari bahawa ianya bukanlah sekadar bacaan biasa tetapi adalah ayat-ayat yang akan membinasakan agama nenek moyang mereka.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka menjerit, “Bukankah itu ajaran Muhammad?”

Dalam masa yang singkat sahaja Ibnu Mas’ud ditangkap dan dipukul beramai-beramai. Tetapi Ibnu Mas’ud tidak gentar malah merasa bangga kerana telah memperdengarkan ayat-ayat suci itu kepada orang-orang Quraisy. Usahanya memberikan hasil kerana terbukti mereka telah terpesona.

Inilah di antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Ibnu Mas’ud. Walaupun masih kecil ternyata dia amat berani menyampaikan sesuatu yang haq walau pun dirinya dalam bahaya.

Ibnu Mas’ud akhirnya telah menjadi ulama dan pembaca Al Quran yang terkemuka. Dia juga banyak meriwayatkan Hadis. Dia wafat pada tahun 32 Hijrah ketika pemerintahan Khalifah Usman bin Affan.

Friday, May 4, 2012

KAIN KAFAN SAIDINA HAMZAH


Saidina Hamzah telah gugur sebagai syahid sewaktu Perang Uhud.  Tubuhnya telah dikerat-kerat dengan kejam oleh salah seorang musuh Islam.  Malah hati, jantung dan limpanya telah dikeluarkan sehingga mayatnya kelihatan sungguh dahsyat dan mengharukan.

Semasa Rasulullah SAW membuat persiapan untuk mengkebumikan mayat-mayat tentera Islam yang telah syahid, Baginda terpandangkan mayat Saidina Hamzah.  Baginda amat terperanjat melihatkan keadaan mayat Saidina Hamzah itu.  Baginda segera menutupi mayat itu dengan sehelai kain.

Ketika itu datanglah Safiyah, adik kepada Saidina Hamzah.  Rasulullah SAW merasa bimbang jika mayat Saidina Hamzah dilihat oleh Safiyah dan akan mengganggu perasaan wanita itu.

Oleh itu Rasulullah SAW mengarahkan anak Safiyah iaitu Zubair r.a untuk menasihati ibunya supaya tidak melihat mayat itu.  Namun Safiyah telah berkata :

“Aku telah mendengar berita mengenai kematian abangku Hamzah yang dibunuh dengan kejam sehingga tubuhnya hancur.  Ini semua adalah pengorbanan yang besar di sisi Allah dan kita patut menerimanya dengan sabar dan berharap semoga Allah SWT dengan kasih sayangNya akan mengurniakan belas kasihan terhadap kita semua.”

Zubair r.a lalu memberitahu Rasulullah SAW bahawa ibunya tetap mahu melihat mayat Saidina Hamzah.  Setelah Rasulullah SAW memberi keizinan, Safiyah pun menatap mayat abangnya.  Dengan suara yang lembut dia mengucapkan : Inna lillah wa inna ilaihi rajiun dan berdoa agar Allah merestui roh abangnya.

Dalam suatu riwayat yang lain, Zubair r.a mengkisahkan :

“Kami telah melihat seorang perempuan datang ke tempat orang-orang yang mati syahid dalam peperangan Uhud dikumpulkan.  Setelah dia hampir kepada kami, barulah aku dapat mengenalinya bahawa dia adalah ibuku sendiri.  Aku pergi mendapatkannya dan cuba menghalangnya.  Namun tidak berhasil kerana ternyata ibuku kuat.  Dia telah menolakku ke tepi sambil berkata, “Tinggalkan aku sendirian.”

Aku memberitahu ibuku bahawa Rasulullah SAW telah melarangnya melihat mayat itu.  Oleh itu dia menghentikan hasratnya untuk melihat mayat itu dan hanya berkata, “Setelah aku diberitahu mengenai kematian abangku Hamzah r.a maka aku membawa beberapa helai kain untuk menutup mayatnya.”

Kami mengambil kain-kain yang dibawanya dan mula menutupi mayat Saidina Hamzah r.a.  Berhampirannya kami melihat mayat seorang lelaki Ansar bernama Suhail r.a.  Mayatnya terbujur kaku dalam keadaan yang sama.  Kami merasa malu dengan perbuatan kami sekiranya kami hanya menutup mayat Hamzah sedangkan mayat lelaki Ansar itu kami biarkan tanpa ditutup walau oleh sehelai kain.

Jadi kami mengambil keputusan untuk menggunakan kain yang ada itu supaya dapat menutup kedua-dua mayat itu.  Malangnya sehelai dari kain itu terlebih besar dan sehelai lagi kecil.  Maka kami pun melakukan undian yang akhirnya jatuh undian kain yang besar itu kepada Suhail.  Manakala yang kecil jatuh undiannya kepada mayat Hamzah r.a.

Oleh kerana kain itu terlalu kecil maka ianya tidak dapat menutupi keseluruhan mayat Hamzah r.a.  Apabila kami menutup kepalanya maka kakinya akan terdedah.  Dan jika kami tutup kakinya maka kepalanya pula yang akan terdedah.  Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW bersabda :

“Tutuplah kepalanya dengan kain itu dan tutuplah kakinya dengan daun-daun pokok.”

Para sahabat tidak sanggup membiarkan mayat Suhail r.a tidak ditutup oleh sebarang kain.  Pada hal Saidina Hamzah adalah bapa saudara Rasulullah SAW dan juga pahlawan Islam yang terkemuka.  Namun layanan para sahabat tetap sama dan tidak membeza-bezakan darjat dan keturunan seseorang.