Thursday, January 12, 2012

SI SOPAK, SI BOTAK DAN SI BUTA

Terdapat tiga orang lelaki miskin daripada kaum Bani Israel. Nama sebenar mereka tidak diketahui tetapi masing-masing ada nama gelaran iaitu Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.

Si Sopak mendapat nama kerana kulitnya yang berpenyakit sopak. Oleh itu dia sering dipandang hina dan dijauhi orang ramai. Dia sentiasa berangan-angan menjadi orang kaya dan kulitnya menjadi halus.

Si Botak pula mendapat nama dari kepalanya yang botak tanpa rambut. Dia menginginkan agar kepalanya ditumbuhi rambut dan tidak lagi diketawakan orang.

Manalaka Si Buta adalah seorang lelaki yang cacat penglihatannya. Dia ingin supaya dapat melihat.

Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk menguji mereka. Malaikat itu datang dalam bentuk manusia.

Malaikat lalu datang kepada Si Sopak dan bertanya, “Apakah yang engkau inginkan?”

Si Sopak segera menjawab, “Kulit yang bersih dan sembuh dari penyakit yang menjijikan pandangan orang ramai.”

Lalu malaikat pun menyapu kulitnya. Dengan serta merta kulitnya berubah menjadi bersih dan dirinya menjadi tampan.

Si Sopak kehairanan melihat perubahan dirinya.

Kemudian malaikat bertanya lagi, “Apakah harta yang engkau ingin miliki?”

“Unta,” jawab Si Sopak.

Lalu malaikat pun memberikannya seekor unta yang sedang bunting dan berdoa, “Semoga Allah memberkati engkau dengannya.”

Setelah itu malaikat mendatangi Si Botak pula, “Apakah yang engkau inginkan wahai Si Botak?” tanya malaikat kepadanya.

“Rambut yang cantik dan sembuh dari penyakit botak ini yang menyebabkan orang ketawa melihat wajahku,” jawab Si Botak.

Malaikat pun menyapu kepalanya. Ketika itu juga tumbuhlah rambut di kepalanya. Si Botak merasa sungguh gembira. Penyakit yang dihadapinya selama ini telah sembuh.

Kemudian malaikat itu pun bertanya, “Apakah harta yang engkau inginkan?”

“Lembu,” jawabnya.

Maka malaikat itu pun menyerahkan seekor lembu bunting kepada Si Botak dan berdoa, “Semoga Allah memberkati engkau dengannya.”

Seterusnya malaikat pergi menemui Si Buta. Malaikat pun bertanya apakah yang diinginkan olehnya.

“Aku ingin agar Allah menyembuhkan mataku yang buta dan dapat melihat,” jawab Si Buta.

Setelah diusap matanya, lantas dia dapat melihat. Malaikat lalu bertanya apakah harta yang dia inginkan. Si Buta menjawab, “Kambing.”

Malaikat pun memberinya seekor kambing bunting dan mendoakannya semoga Allah memberkatinya pada kambing itu.

Beberapa tahun kemudian, ternakan masing-masing telah membiak dan mereka terkenal sebagai orang kaya. Setiap haiwan ternakan mereka telah memenuhi satu lembah. Kemudian datanglah malaikat menjenguk mereka dalam keadaan asal mereka ketika mereka miskin dan berpenyakit.

Malaikat pun pergi menemui Si Sopak dalam bentuk manusia yang berpenyakit sopak. Malaikat berkata, “Saya seorang musafir yang miskin, terkandas di dalam perjalanan. Tidak ada bekalan untuk pulang melainkan mengharapkan pertolongan Allah dan belas kasihan darimu.”

“Demi Allah yang telah mengurniakan tuan rupa yang cantik dan harta yang melimpah, semoga tuan dapat bersedekah kepada saya seekor unta supaya saya dapat meneruskan perjalanan.”

Permintaan musafir itu dijawab dengan sombongnya, “Aku banyak tanggungan dan hutang yang mesti diselesaikan. Aku tidak dapat memberikan apa-apa kepadamu.”

Malaikat kemudian berpura-pura bertanya, “Rasa-rasanya saya pernah mengenali tuan. Bukankah dahulu tuan seorang yang miskin dan berpenyakit sopak? Kemudian Allah menyembuhkan tuan dan mengurniakan tuan dengan kekayaan?”

Walaupun Si Sopak terkejut dengan pertanyaan itu namun dia terus berbohong, “Aku mewarisi kekayaan ini daripada datuk nenekku.”

“Sekiranya tuan berdusta, semoga Allah mengembalikan tuan seperti asal.”

Sebaik sahaja malaikat itu pergi, Si Sopak kembali sopak kulitnya sehingga menjijikkan orang yang melihat. Setiap hari ternakannya mati sehingga habis semua sekali.

Seterusnya malaikat bertemu pula dengan Si Botak. Malaikat menyerupai seorang lelaki yang botak dan melarat. Malaikat itu meminta seekor lembu untuk meneruskan perjalanannya setelah memberi alasan yang sama seperti yang telah diberikan kepada Si Sopak.

Jawapan yang diberikan tidak berbeza dari Si Sopak. Maka malaikat pun mendoakannya supaya ia kembali seperti keadaannya yang asal. Lembu yang bilangannya terlalu banyak itu mati seekor demi seekor sehingga habis kesemuanya. Dirinya juga kembali menjadi botak.

Akhirnya malaikat mendatangi pula Si Buta. Malaikat pergi kepadanya menyerupai seorang buta yang miskin dan memberikan alasan seperti yang sebelumnya.

Si Buta telah berkata, “Sesungguhnya dahulu aku adalah seorang buta, kemudian Allah memulihkan penglihatanku. Ambillah apa yang engkau inginkan dan tinggalkanlah apa-apa yang engkau tidak suka. Demi Allah, aku tidak mahu menyusahkan engkau atas apa yang engkau ambil kerana Allah SWT.”

Namun malaikat itu berkata, “Peliharalah baik-baik hartamu ini. Allah telah menguji engkau dan engkau telah diredhainya sedangkan kedua-dua sahabatmu telah gagal dalam ujian dan telah dimurkaiNya.”

Begitulah ujian Allah terhadap manusia. Manusia sering gagal dalam ujian yang berupa nikmat. Sesungguhnya beruntunglah orang yang sentiasa bersyukur kepadaNya.

Monday, January 2, 2012

KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN

Cuaca di luar sungguh panas terik. Ketika itu Saidina Usman bin Affan sedang berehat di rumahnya. Dari tingkap rumahnya dia melihat seorang lelaki yang sudah berumur sedang terhoyong hayang menutupi mukanya dari kepanasan dan debu.

Saidina Usman kehairanan. Siapakah lelaki yang sanggup berjalan di tengah panas itu sedangkan orang lain semuanya berteduh. Pasti dia sedang dalam kesusahan.

Lelaki itu juga kelihatan sedang memegang seekor sapi pada tali kekangnya. Saidina Usman memanggil lelaki itu supaya berlindung di rumahnya dari panas yang membara.

Setelah lelaki itu tiba di halaman rumahnya, Saidina Usman terperanjat kerana rupa-rupanya lelaki itu adalah Amirul Mukminin Khalifah Umar Al Khattab. Saidina Usman segera keluar dari rumahnya dan bertanya, “Engkau dari mana wahai Amirul Mukminin?”

Saidina Umar menjawab, “Sebagaimana yang engkau lihat aku sedang mengheret sapi ini.”

“Siapakah pemiliknya?” tanya Saidina Usman dengan hairan. Sebab biasanya Saidina Umar tidak begitu merisaukan harta bendanya.

“Ini adalah kepunyaan anak-anak yatim yang telah terlepas dari kandangnya dan berlari di jalan. Aku telah mengejarnya sehinggalah sekarang telah pun tertangkap.”

Saidina Usman bertanya lagi, “Tidak adakah orang lain yang boleh melakukan pekerjaan itu tanpa engkau sendiri sebagai seorang khalifah?”

Saidina Umar menjawab dengan tegas, “Siapakah yang bersedia menebus dosaku di hari perhitungan nanti? Mahukah orang itu memikul tanggungjawabku di hadapan Tuhan? Kuasa adalah amanah. Bukan kehormatan.”

Saidina Usman mencadangkan supaya khalifah berhenti rehat sebentar sementara menunggu cuaca agak redup. Namun Saidina Umar berkata, “Kembalilah ke rumahmu, biarlah aku selesaikan kewajipanku.”

Maka Khalifah Umar Al Khattab pun meneruskan perjalanannya. Saidina Usman hanya melihatnya pergi dengan air mata membasahi pipi. “Engkau merupakan cermin sebagaimana seharusnya menjadi pemimpin negara dan merasa berat dirasakan oleh khalifah selepasmu.”

Pemimpin yang beriman merasa bimbang dengan jawatan yang disandangnya kerana tanggungjawabnya sungguh berat. Berbeza dengan manusia kini yang berlumba-lumba inginkan jawatan supaya dapat menggunakan kuasa dan wang yang ada padanya.