Monday, October 29, 2012

MEMBURU SYAHID



Umat Islam di Madinah belum pun seminggu menyambut Aidilfitri, sudah menyahut panggilan jihad sekali lagi.  Ini disebabkan Perang Uhud terjadi pada 6 Syawal tahun 3 Hijrah.

Nasibah adalah antara para isteri yang turut melepaskan suaminya ke medan jihad dengan hati gembira.  Walaupun kepulangannya belum pasti namun bukankah mati syahid itu adalah idaman setiap Mukmin?  Suaminya, Said turut bersama menyertai Rasulullah SAW untuk menentang kaum musyrikin.

Setelah beberapa lama pertempuran berlaku, datang seorang tentera membawa berita kepada Nasibah.  Dia memberitahu bahawa suaminya telah terkorban.

Nasibah dengan tenang berkata, “Allahu Akbar!  Suamiku telah menang perang!”

Kemudian Nasibah mengucapkan syukur kepada Allah.  Air mata meleleh di pipinya, bukan air mata kesedihan tetapi tangisan gembira.

Setelah tentera itu pergi, Nasibah memanggil anaknya Ammar.  Ammar baru berusia 15 tahun.  Nasibah lalu berkata kepada anaknya, “Anakku, engkau telah mendengar bukan?  Ayahmu telah gugur di medan pertempuran.”

Ammar hanya menganggukkan kepalanya tanda membenarkan kata-kata ibunya.

Nasibah berkata lagi, “Sekarang engkau pergilah ke medan peperangan.  Bawalah tombak itu.”

Kedatangan Ammar disambut oleh Rasulullah SAW lalu Baginda memeluknya.  Ammar bersama Rasulullah SAW dan tentera-tentera Islam berperang menentang pihak musuh yang begitu ramai.  Sebagaimana ayahnya, Ammar turut terkorban di dalam peperangan itu.

Apabila mendengar berita buat kali kedua ini, Nasibah masih tidak menampakkan kesedihannya.  Malah dia memanggil anaknya Saad yang masih kecil untuk turun berperang.

Saad juga gugur sebagai syuhada’.  Nasibah terdiam seketika setelah mendengar berita ini.  Namun dengan semangat yang berkobar-kobar, Nasibah sendiri telah menunggang kudanya menuju medan peperangan.  Dia ingin turut serta dalam pertempuran itu.

Kedatangan Nasibah secara tiba-tiba ini telah dihalang oleh tentera-tentera Islam.  Mereka mencadangkan kepadanya supaya berada di barisan belakang untuk merawat tentera-tentera Islam yang cedera.

Nasibah menerima nasihat itu dan segera membantu tentera-tentera Islam itu.  Tidak berapa lama, sedang dia sibuk melakukan kerjanya, tiba-tiba seorang tentera Islam terjatuh dari kudanya dalam keadaan kesakitan.

Nasibah naik marah dan timbul semangat untuk membalas serangan itu.  Dia mengambil pedang tentera Islam itu dan terus menunggang kudanya menuju tentera musuh.

Setelah beberapa lama bertempur akhirnya Nasibah turut gugur sebagai syahid sebagaimana suami dan anak-anaknya.

Sunday, October 7, 2012

TRAGEDI ABU JAHAL.




Abdul Rahman bin Auf r.a meriwayatkan :

“Di dalam peperangan Badar ketika berada di barisan pertempuran, aku ternampak dua orang pemuda Ansar yang mana salah seorang daripadanya berada di sebelahku.  Aku merasakan keadaan begitu baik kerana berada bersama mereka yang lebih kuat dan dapat membantuku di waktu kecemasan.

Tiba-tiba seorang dari pemuda itu memegang tanganku sambil berkata, “Tuan, adakah tuan tahu di mana Abu Jahal berada?  Saya telah mendapat tahu bahawa dia telah mencaci Rasulullah SAW.  Dengan nama Allah yang memegang nyawaku di tanganNya, jika aku ternampak Abu Jahal, aku tidak akan membiarkannya.  Pasti akan kubunuh walaupun aku sendiri terbunuh!”

Kata-kata yang begitu bersemangat telah menyebabkan aku merasa kagum.  Kemudian pemuda yang seorang lagi datang kepadaku dan turut menyatakan keazaman yang sama.

Kebetulan aku terlihat Abu Jahal sedang menunggang kuda yang juga berada dalam medan peperangan itu.  Lalu aku berkata, “Lihat di sana, orang yang kamu kehendaki itu!”

Mereka segera berkejar ke arah Abu Jahal dan menyerangnya dengan senjata.  Kemudian aku terlihat Abu Jahal terjatuh dari kudanya.”

Kedua pemuda Ansar yang diriwayatkan ini ialah Maaz bin Amar dan Maaz bin Afra.

Maaz bin Amar mengisahkan :

“Aku telah mendengar orang-orang berkata : Tiada sesiapa pun yang dapat membunuh Abu Jahal kerana dia dikawal rapi.  Ketika itu juga aku bertekad akan menghapuskannya.”

Di dalam suatu riwayat yang lain : Sebaik sahaja Abdul Rahman bin Auf mengetahui di mana Abu Jahal berada (yang ketika itu sedang mengatur barisan serangan), pemuda-pemuda itu segera menuju ke arah Abu Jahal yang sedang menunggang kuda.

Salah seorang dari mereka telah menetak kaki kuda Abu Jahal dan seorang lagi telah mencederakan kaki Abu Jahal sendiri.  Ini menyebabkan Abu Jahal dan kudanya sama-sama terjatuh dan Abu Jahal tidak dapat bangun lagi.  Setelah itu, kedua pemuda itu meninggalkannya dalam keadaan kesakitan begitu.

Kemudian abang kepada Maaz bin Afra iaitu Mawaz menyerang Abu Jahal lagi sehingga dia tidak berdaya menuju ke khemahnya.  Akhirnya Ibnu Mas’ud menyerang sekali lagi dan terus memenggal kepala Abu Jahal.

Maaz bin Amar pula menceritakan :

“Ketika aku mencederakan Abu Jahal dengan pedangku, anak lelakinya Ikrimah berada bersamanya.  Dia telah menyerang pada bahu lalu memotong tanganku sehingga ia tergantung-gantung pada kulitku.  Aku meletakkan tanganku ke atas bahu dan terus berjuang dengan menggunakan sebelah tangan sahaja.  Tetapi apabila aku menyedari bahawa tanganku yang cedera itu kaku, aku meletakkannya di bawah kakiku dan menariknya lalu terpisahlah ia dari tubuhku.”