Wednesday, May 4, 2011

UNDANGAN ALLAH LEBIH BAIK

Al Hajjaj bin Yusuf dan rombongannya berehat di satu tempat yang mempunyai mata air yang terletak di antara Mekah dan Madinah. Dia mengarahkan pengawalnya untuk mencari seseorang untuk bertanyakan sesuatu.

Pengawalnya segera mencari orang yang diperlukan itu. Dia ternampak seorang lelaki Badwi sedang tidur berselimutkan kain yang sudah lusuh. Dia lalu mengejutkan lelaki itu, “Bangun, bangun. Kamu dipanggil oleh tuanku.”

Lelaki Badwi itu kehairanan dan tertanya-tanya mengapa dirinya dipanggil. Setelah tiba di hadapan Hajjaj, dia diminta supaya membasuh tangannya.

Al Hajjaj menjemputnya, “Silalah makan bersamaku.”

Lelaki Badwi itu menolaknya dengan berkata, “Aku telah menerima undangan yang lebih baik daripada undanganmu. Oleh itu aku meminta maaf kerana tidak dapat memenuni undanganmu.”

Al Hajjaj bertanya, “Undangan siapa itu?”

“Allah! Dia telah memanggilku untuk berpuasa dan sebagai memenuhi undang itu, maka hari ini aku berpuasa,” jawab lelaki Badwi itu.

Al Hajjaj bertanya lagi dengan kehairanan, “Apakah di musim kemarau yang panas terik ini kau tetap berpuasa?”

“Benar, untuk menghadapi hari yang lebih panas dari hari ini,” jawab lelaki Badwi itu.

“Berbukalah sahaja hari ini. Kamu masih boleh berpuasa esok hari,” pujuk Al Hajjaj yang masih tidak berputus asa.

“Adakah engkau dapat menjamin bahawa esok aku masih hidup sehingga boleh berpuasa? Jika kau dapat memberikan jaminan, aku akan berbuka sekarang juga,” lelaki Badwi itu memutuskan.

“Ini pasti tidak dapat kulakukan kerana di luar kuasaku,” jawab Al Hajjaj.

Lelaki Badwi itu bertanya lagi, “Sekiranya ini di luar kuasamu, maka mengapa kau boleh meminta aku membatalkan sesuatu yang sudah pasti dan digantikan dengan sesuatu yang di luar kuasamu?”

“Makanan ini sungguh lazat, kau akan menyesal jika tidak memakannya,” Hajjaj memujuk lagi.

“Kelazatan itu bukan buatan tukang masak sebaliknya kelazatan datang dari tubuh yang sihat,” kata lelaki Badwi itu.

Al Hajjaj terpukul dengan kata-kata lelaki Badwi itu. Jangan disangka orang yang kelihatan bodoh itu bodoh juga pemikirannya.

No comments:

Post a Comment