Tuesday, September 6, 2011

BERWAJAH BURUK

Seorang pemuda amat merasa sedih kerana wajahnya amat buruk. Kulitnya gelap, hidungnya lebar dan matanya seolah-olah juling. Namun dia amat rajin beribadah.

Dia amat bimbang dengan keburukan wajahnya itu tidak melayakkan dirinya ke syurga. Pada satu hari dengan perasaan sedih, dia bertanya kepada Rasulullah SAW :

“Wahai Rasulullah, adakah dengan keadaan seperti saya ini, saya boleh memasuki syurga?”

“Sudah pasti tiada halangan bagimu, asalkan engkau rajin beribadah dan ikhlas. Kerana di hadapan Tuhan, semua manusia adalah sama. Orang yang mulia adalah orang yang paling bertaqwa kepadaNya,” jawab Rasulullah SAW.

Pemuda itu sungguh gembira. Dia berkata lagi,”Wahai Rasulullah, saya telah terpikat kepada seorang gadis cantik. Dia ialah anak kepada seorang sahabat Ansar. Tolonglah pinangkan gadis itu untuk saya.”

Rasulullah SAW terkejut dengan kata-katanya itu. Namun Baginda memberi cadangan kepadanya supaya dia sendiri pergi menemui orang tua gadis itu dan mengatakan dia mewakili Baginda meminang anaknya untuk dirinya sendiri.

Pemuda itu pergi menemui ayah gadis itu dan menyatakan apa yang diberitahu oleh Rasulullah SAW kepadanya.

Ayah gadis itu menyangka Rasulullah SAW sendiri yang ingin mengahwini anaknya. Maka dia sangat gembira dengan peminangan itu. Katanya, ”Rasulullah SAW menyuruh kamu melamar anakku? Sesungguhnya ini adalah penghormatan buat keluargaku. Katakan kepada Rasulullah SAW, aku menerima pinangannya.”

Pemuda itu menjadi serba salah kerana org tua itu telah tersalah faham. Namun dia mesti menjelaskan kedudukan sebenarnya. Dia pun berkata, “Tetapi maksud Rasulullah SAW, Baginda meminang anak tuan untuk dijadikan isteri saya.”

Orang tua itu terkejut dan marah. Dia menyangkakan pemuda itu telah mempermain-mainkan mereka. Pemuda itu dihalau keluar diiringi kata-kata kesat yang menghina wajahnya.

Pemuda itu segera berlalu dari situ. Dia merasa amat sedih kerana keburukan wajahnya telah menyebabkan pinangannya ditolak dan dirinya dihina.

Gadis yang dipinang itu telah mendengar perbicaraan ayahnya dengan pemuda itu. Dia bertanya kepada ayahnya mengapa ditolak pinangan Rasulullah SAW itu?

Ayahnya menjelaskan, “Sebenarnya kamu dipinang untuk menjadi isteri pemuda itu. Bukannya untuk menjadi isteri Rasulullah SAW.”

“Walaupun begitu, Rasulullah SAW telah meminang saya untuk menjadi orang lain. Saya menyukai pemuda itu dan mahu menjadi isterinya,” kata gadis itu dengan lembut.

Kata-kata itu telah membuatkan orang tua itu tersentak dan menyedari kesilapannya. Dia merasa kesal kerana telah menolak pinangan Rasulullah SAW.

Dengan segera dia pergi menemui Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW ada bersama pemuda itu yang sedang dalam kesedihan. Rasulullah SAW sedang mententeramkan hati pemuda itu yang merasa sedih dengan peristiwa yang baru sahaja berlaku.

Rasulullah SAW menyambut kedatangan ayah gadis itu dan bertanyakan keputusannya. Lelaki Ansar itu menyatakan bahawa dia menerima pinangan itu tetapi dengan syarat mas kahwinnya adalah sebanyak 700 dirham.

Kemudian ayah gadis itu pulang. Walaupun peminangannya telah diterima, namun pemuda itu masih lagi bersedih. Rasulullah SAW bertanya kepadanya mengapa dia masih bersedih sedangkan pinangannya telah diterima.

Pemuda itu menerangkan bahawa dia adalah seorang yang miskin. Oleh itu, dia tidak dapat menyediakan wang sebanyak yang diminta.

Rasulullah SAW tersenyum mendengar penjelasannya. Baginda berkata, “Pergilah berjumpa dengan tiga orang sahabatku iaitu Abu Bakar, Usman dan Abdul Rahman bin Auf. Katakan bahawa kamu memerlukan mas kahwin dan aku yang menyuruh kamu berjumpa mereka.”

Pemuda itu melakukan sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Dari ketiga-tiga sahabat itu, dia memperolehi 900 dirham, telah melebihi dari apa yang diperlukannya.

Dengan wang itu, 700 dirham akan digunakan sebagai mas kahwin dan selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan keperluan perkahwinannya. Ketika sedang ingin membeli barang-barang untuk dihantar ke rumah gadis itu, terdengar seruan di jalan-jalan kota Madinah.

“Al Jihad! Al Jihad!” yang bererti panggilan untuk ke medan perang. Ini adalah pengumuman untuk mempelawa kaum Muslimin menyertai Perang Uhud.

Panggilan itu telah menyebabkan pemuda tersebut melupakan hasratnya untuk berkahwin. Dia bergegas menggunakan wang 700 dirham itu untuk membeli seekor kuda dan senjata. Kemudian dia turut serta bersama para tentera yang lain menuju ke medan pertempuran.

Dalam pertempuran itu, pemuda tersebut telah gugur sebagai syahid. Inilah idamannya yang lebih utama iaitu memasuki Syurga Allah!

No comments:

Post a Comment