Sunday, July 29, 2012

SIKAP ULAMA.



Khalifah Al Mansur pergi menemui seorang ulama bernama Sufyan At Tsauri.  Sufyan tidak pernah menziarahinya di istana.  Oleh itu khalifah bertanya, “Apakah yang menghalang tuan sehingga tidak mahu mengunjungiku?”

Sufyan menjawab tanpa ragu-ragu, “Tidak ada apa.  Cuma terdapat ayat Al Quran yang bermaksud : Jangan engkau bernaung kepada orang-orang yang zalim, nanti engkau dilahap api Neraka.  Sebab seburuk-buruknya balasan adalah bagi orang-orang yang zalim.”

Suatu ketika yang lain, Sufyan At Tsauri menghadap khalifah di istananya setelah dipanggil berkali-kali.  Setelah bertemu, khalifah pun berkata, “Sekiranya tuan ada memerlukan apa-apa, sila beritahuku.  Aku akan memenuhi permintaan tuan.”

Sufyan hanya mendiamkan diri.

Khalifah bertanya lagi, “Katakanlah, apa yang tuan kehendaki?”

Akhirnya Sufyan menyoal kembali, “Apakah tuan bersedia memenuhi apa sahaja permintaanku?”

Khalifah merasa gembira dengan kata-kata Sufyan itu.  Sangkanya Sufyan telah berubah fikiran.  Khalifah berkata lagi, “Apa sahaja yang tuan minta akan aku penuhi.”

Sufyan lalu menyatakan permohonannya, “Permintaan saya cuma satu.  Diharapkan tuan tidak lagi memanggil saya untuk menghadap tuan di istana.”

Setelah itu Sufyan terus keluar dari istana tanpa menoleh lagi.  Khalifah hanya menggeleng-gelengkan kepala.  Katanya sendirian, “Begitulah sepatutnya sikap ulama yang soleh.  Tegas dengan pendiriannya.”

No comments:

Post a Comment