Monday, December 12, 2011

SUSAH SAMA SUSAH

Madinah telah ditimpa kemarau yang berpanjangan. Harga barang naik berganda-ganda. Penduduk yang berharta berlumba-lumba membeli gandum di pasar-pasar. Sedangkan rakyat yang miskin hanya berbelanja ala kadar mengikut kemampuan.

Jaafar Siddiq adalah cucu kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Dia adalah antara penduduk yang mempunyai persediaan yang cukup. Jaafar bertanya kepada Maktab yang merupakan pengurus keluarganya mengenai persediaan bahan makanan mereka.

Maktab menjawab, “Masih banyak. Inilah gandum kelas pertama yang lazat rasanya. Di pasar-pasar tidak dijual lagi gandum seperti ini.”

Maka Jaafar pun berkata, “Kalau begitu, juallah seluruh gandum yang ada dalam simpanan kita di pasar.”

“Madinah sekarang sedang menghadapi kekurangan makanan. Jika gandum ini dijual, belum pasti kita dapat membelinya semula pagi esok,” kata Maktab.

Namun Jaafar tetap bertegas dengan kata-katanya, “Bawa ke pasar dan jual semuanya. Kita hendaklah berbelanja seperti rakyat biasa. Jika mereka berbelanja cukup untuk keperluan seharian, maka kita juga mesti begitu. Kalau mereka tidak memperolehi makanan, adakah patut kita makan sehingga kekenyangan?”

Sambungnya lagi, “Mulai esok kita beli makanan yang murah sahaja. Jika rakyat biasa masih boleh beribadah hanya dengan makanan itu, mengapa kita tidak boleh?”

No comments:

Post a Comment