Thursday, December 15, 2011

HAMBA MENJADI TUAN DAN TERBINANYA BANYAK BANGUNAN YANG MENCAKAR LANGIT

Daripada Umar bin Khattab r.a (dalam sebuah hadis yang panjang), …………kemudian Jibrail bertanya kepada RasululIah SAW "Maka khabarkan kepadaku tentang hari qiamat". Lalu Nabi SAW menjawab, "Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya”. Maka Jibrail lalu berkata, "Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya", maka Nabi SAW menjawab, "Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan".

Hadis Riwayat Muslim

KETERANGAN :

Di antara tanda qiamat ialah bila hamba melahirkan tuannya. Maksudnya akan banyak bilangan hamba yang kemudiannya akan digauli oleh tuannya dan melahirkan anak. Maka anak ini adalah berpangkat ayahnya, iaitu sebagai tuan kepada ibunya sendiri. Ada juga sebahagian yang memberikan pandangan, bahawa contoh ini adalah merupakan simbolik kepada suasana yang sudah terbalik, yang mana hamba menguasai tuan, bukan sebaliknya. Jadi pemikiran manusia sudah terbalik, yang mana yang baik dikatakan jahat dan yang sebenarnya jahat dikatakan baik.

Tanda kedua pula apabila orang yang tidak berkasut, orang miskin yang semestinya dia mendahulukan membeli kasut dari yang lain, tiba-tiba ia telah mendirikan bangunan yang tinggi yang tentunya terpaksa berhutang daripada orang lain. Ada pula yang mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang miskin pada akhir zaman akan menjadi kaya dengan mengejut sehingga yang pada waktu kelmarin masih sahaja tidak berkasut, tiba-tiba pada hari ini dia sudah dapat membuat bangunan yang indah-indah dan sangat mewah.

No comments:

Post a Comment