Thursday, August 9, 2012

HAKIM AL UMMAH


Abu Darda’ r.a adalah di antara para sahabat yang amat luas ilmu pengetahuannya.  Beliau dikenali sebagai Hakimul Ummah kerana kebijaksanaannya di dalam Islam.  Kathir bin Qais menceritakan :

Ketika aku sedang duduk bersama Abu Darda’ di dalam masjid di Damsyik, datang seorang lelaki menghampiri kami dan berkata :

“Wahai Abu Darda’, aku datang dari Madinah untuk mempelajari satu hadis darimu kerana aku telah diberitahu bahawa engkau adalah antara orang yang telah mendengarnya langsung dari Rasulullah SAW.”

Abu Darda’ bertanya, “Adakah kamu mempunyai tujuan yang lain di Damsyik?”

Dia menjawab, “Tidak ada.”

Abu Darda’ bertanya lagi, “Adakah kamu pasti bahawa kamu tidak mempunyai pekerjaan lain selain itu di Damsyik?”

Dia menjawab, “Aku datang ke tempat ini adalah semata-mata untuk mempelajari hadis ini.”

Abu Darda’ pun berkata, “Dengarlah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :

Allah akan memudahkan jalan ke Syurga kepada seseorang yang berjalan di dalam beberapa jarak untuk mencari ilmu pengetahuan.  Para malaikat pula akan menghamparkan sayap-sayap mereka di bawah kakinya dan kesemua makhluk yang ada di langit dan di bumi (sekalipun ikan-ikan di laut) akan mendoakan agar dia memperolehi keampunan.

Kelebihan seseorang yang berilmu dari seorang yang hanya beribadah adalah diibaratkan seperti kelebihan bulan daripada bintang-bintang.  Para ulama merupakan pewaris Rasulullah SAW.  Warisannya bukanlah emas ataupun perak tetapi yang mereka warisi ialah ilmu pengetahuan.  Orang yang mempunyai ilmu pengetahuan akan memperolehi kekayaan yang tidak ternilai harganya.

Abu Darda’ menceritakan :

“Sebelum lahirnya agama Islam, hidupku hanya bergantung kepada perniagaan.  Selepas aku memeluk Islam, aku telah berusaha untuk menggabungkan khidmatku terhadap Allah dengan tugasku tetapi tenyata aku tidak dapat berbuat begitu.  Oleh itu aku memalingkan diriku daripada perniagaan dan memperhambakan diriku ini semata-mata untuk Allah.”

“Seandainya kini aku mempunyai sebuah kedai di perkarangan pintu masjid di mana aku tidak perlu merasa takut akan ketinggalan walaupun satu solat, malah meskipun seandainya kedai itu dapat memberi keuntungan kepadaku dalam sehari sebanyak 40 dinar untuk aku belanjakan kesemuanya di jalan Allah, namun aku masih tidak sanggup kembali untuk berniaga.”

Apabila ada yang bertanyakan mengapa begitu, Abu Darda’ menjawab :

“Ini disebabkan ketakutanku terhadap hisab.”

No comments:

Post a Comment