Thursday, August 16, 2012

HARGANYA CUMA 200 DIRHAM



Yunus bin Ubaid adalah seorang saudagar.  Dia menjual pakaian dan barang-barang perhiasan.  Satu hari dia mahu solat di masjid lalu dia meminta adiknya menjaga kedai buat sementara waktu.

Sepeninggalan saudagar Yunus ke masjid, datang seorang Badwi ke kedai itu.  Dia ingin membeli suatu barang perhiasan.  Adik saudagar itu menjualkan barangan tersebut dengan harga 400 dirham sedangkan harga sebenarnya hanyalah 200 dirham.  Apabila diberitahu harganya 400 dirham, badwi itu membelinya tanpa menawar harga.

Dalam perjalanan pulang, badwi telah bertembung dengan saudagar Yunus yang baru pulang dari masjid.  Saudagar Yunus sangat mengenali barang yang dibawa oleh badwi dari kedainya itu.

Lalu dia pun bertanya kepada badwi itu, “Berapakah harga barang yang engkau beli ini?”

Badwi itu memberitahu bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga 400 dirham.

Saudagar Yunus sangat terkejut dengan harga yang sekali ganda dari harga sebenar.  Lantas dia pun berkata, “Barang ini hanya berharga 200 dirham sahaja.  Marilah kita kembali ke kedaiku untuk mengambil baki wangmu.”

Badwi itu menolak pelawaan saudagar Yunus dengan berkata, “Tidak mengapalah wahai saudagar.  Saya sudah bersetuju membelinya dengan harga 400 dirham kerana di negeri saya sendiri barang seperti ini berharga tidak kurang 500 dirham.”

Namun saudagar Yunus tetap berkeras untuk mengembalikan baki wang badwi itu.  Dia berkata, “Tidak, engkau mesti mengikutku ke kedai.  Memberitahu yang sebenar dalam agama adalah lebih utama dari dunia dan isinya.”

Oleh itu badwi itu terpaksa menurut kehendak saudagar Yunus dan mereka sama-sama menuju ke kedai.

Setelah wang berlebihan itu dipulangkan, saudagar Yunus menegur adiknya, “Tidakkah engkau malu dan takutkan Allah di atas perbuatanmu itu?  Engkau mementingkan untung yang berlebihan sehingga engkau sanggup meninggalkan berkata benar kepada kaum Muslimin?”

Adiknya menjawab, “Tetapi dia sendiri sudah bersetuju untuk membelinya dengan harga 400 dirham.  Dia membelinya dengan hati yang rela.”

Kemudian saudagar Yunus menasihati adiknya, “Setiap umat Islam hendaklah menghormati saudaranya sebagaimana dia menghormati dirinya sendiri.”

No comments:

Post a Comment