Kemudian Rasulullah SAW pun menziarahi sahabat karibnya sejak kecil iaitu Abdullah bin Abu Qahafah. Apabila Nabi Muhammad SAW menerangkan kepadanya mengenai Islam, Abdullah bin Abu Qahafah terus beriman kepada Allah dan RasulNya.
Dia terus melafazkan, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”
Sejak itu dia dikenali dengan nama barunya iaitu Abu Bakar. Dia merupakan antara yang terawal memeluk Islam.
Abu Bakar adalah seorang pedagang yang pemurah dan baik hati. Dia sering memberi pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan bantuannya. Telah ramai hamba-hamba yang ditebusnya dan dimerdekakan terutamanya hamba-hamba yang sering diseksa dengan kejam.
Di antara hamba-hamba itu ialah Bilal bin Rabah dan Amru bin Fuhairah. Oleh itu Abu Bakar sangat disayangi oleh kaum yang tertindas.
Apabila penentangan puak Quraisy semakin berleluasa, Nabi Muhammad SAW pun memerintahkan orang-orang Islam supaya berhijrah ke Habsyah. Abu Bakar termasuk salah seorang dari mereka.
Ketika Abu Bakar melalui kawasan Ibnu Daghinnah, sahabatnya yang belum Islam, dia telah bertanya, “Sahabatku, engkau mahu ke mana? Mengapakah engkau membawa kelengkapan begitu banyak? Apakah engkau mahu berjalan jauh?”
Abu Bakar membenarkan dan mengatakan bahawa dia hendak pergi jauh dari situ.
Ibnu Daghinnah kehairanan. Dia bertanya lagi, “Ke mana?”
“Ke Habsyah,” jawab Abu Bakar.
“Mengapa?” tanya Ibnu Daghinnah lagi.
“Aku telah diganggu dan dizalimi oleh kaumku. Aku ingin pergi ke suatu tempat yang lebih selamat supaya aku dapat menyembah Tuhanku dengan aman dan bebas.” Mendengar jawapan Abu Bakar itu, Ibnu Daghinnah merasa marah. Dia hairan mengapa Abu Bakar diganggu sedangkan dia sentiasa berbuat kebaikan dan membantu orang lain. Dia pun berkata, “Pulanglah ke Mekah. Aku akan melindungi keselamatanmu.”
Ibnu Daghinnah menghantar Abu Bakar kembali ke Mekah. Di hadapan orang ramai, Ibnu Daghinnah berkata, “Wahai penduduk Mekah. Putera Abu Qahafah adalah di bawah perlindunganku. Tidak ada sesiapa yang boleh mengganggunya melainkan orang itu akan berhadapan denganku.”
Beberapa pemimpin Quraisy yang turut berada di situ menjawab, “Wahai Ibnu Daghinnah, kami berjanji tidak akan mengganggu Abu Bakar. Namun kamu hendaklah menghalangnya dari menunjukkan cara ibadahnya yang berbeza itu daripada kami.”
Saidina Abu Bakar pun berjanji akan mematuhi syarat-syarat yang diminta oleh pemimpin-pemimpin Quraisy itu. Sejak itu Saidina Abu Bakar hanya melakukan solat dan membaca Al Quran di biliknya sendiri.
Namun tidak berapa lama kemudian, anak-anak muda Mekah datang beramai-ramai ke rumah Saidina Abu Bakar. Mereka memintanya supaya mengajar mereka mengenai Al Quran dan ajaran-ajaran Nabi Muhammad SAW.
Ini telah membimbangkan pihak kafir Quraisy. Mereka pergi menemui Ibnu Daghinnah tentang janjinya menjamin Abu Bakar supaya tidak beribadah secara terbuka. Tetapi Abu Bakar telah membaca Al Quran sehingga menarik minat pemuda-pemuda.
“Kami meminta jasa tuan untuk mengingatkan Abu Bakar mengenai syarat-syarat perjanjian yang telah dipersetujuinya. Kami tidak mahu lagi Abu Bakar meneruskan perbuatannya itu.”
Ibnu Daghinnah menjadi serba salah namun dia pergi berjumpa Abu Bakar. Dia pun menjelaskan tujuannya bahawa kaum Quraisy telah mengadu kepadanya yang Abu Bakar sudah melanggar perjanjian.
“Jadi pilihlah salah satu. Sama ada terus berada di bawah perlindunganku dan menghentikan semua ibadahmu ataupun engkau memulangkan semula perlindungan yang telah aku berikan. Ini bererti engkau bebas dari perlindunganku.”
Abu bakar menjawab tanpa ragu-ragu, “Wahai Daghinnah, aku tidak dapat menghentikan segala perbuatanku. Aku akan kembalikan jaminan keselamatanku kepada engkau. Sebab jaminan keselamatan dari Allah sudah cukup bagiku.”
Ibnu Daghinnah terkejut mendengar kata-kata Abu Bakar tersebut. Lalu Ibnu Daghinnah pun berkata kepada kaum Quraisy, “Wahai saudara-saudara, putera Abu Qahafah sudah pun mengembalikan jaminan keselamatannya kepadaku. Oleh itu, berbuatlah sekehendak hati kamu kepadanya. Dia tidak lagi di bawah perlindunganku.”
Setelah Saidina Abu Bakar tidak lagi di bawah perlindungan Ibnu Daghinnah, maka kaum kafir Quraisy kembali melakukan berbagai ancaman kepadanya. Meskipun begitu Saidina Abu Bakar tetap beriman dengan sesungguhnya kepada Allah dan RasulNya.
No comments:
Post a Comment