Monday, July 25, 2011

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ

Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan seorang khalifah dari Bani Umaiyah yang terkenal adil dan bijaksana. Dia menaiki takhta pada tahun 99 Hijrah atau 717 Masihi bagi menggantikan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Dia adalah dari keturunan Saidina Umar Al Khattab.
Selepas upacara perlantikan khalifah baru, dia merasa sungguh letih. Oleh itu dia berhasrat untuk tidur sebentar sambil menunggu waktu solat Zuhur.

Sebaik sahaja dia membaringkan tubuhnya, tiba-tiba anaknya Abdul Malik datang menemuinya dan berkata, “Ada orang mahu berjumpa ayah.”

“Aku ingin tidur sebentar, selepas solat Zuhur akan aku terima sesiapa sahaja yang ingin menemuiku,” minta khalifah.

Maka Abdul Malik pun berkata, “Ayah, siapakah yang dapat menjamin bahawa ayah akan dapat hidup sehingga waktu Zuhur?”

“Astaghfirullah..” khalifah tersedar dari kesilapannya. Dia segera bangun dari tempat tidurnya. “Aku beruntung kerana mempunyai anak yang selalu membantuku dalam menegakkan ajaran agama,” katanya sambil memeluk anaknya itu. Kemudian khalifah pergi ke balai penghadapan untuk menjalankan tugasnya.

Pada satu pagi sebelum Subuh, Khalifah Umar masuk ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Ruang dalam masjid masih gelap kerana lampu belum dinyalakan lagi. Ketika dia berjalan itu, tiba-tiba terpijak orang yang sedang tidur di situ. Orang itu menjerit, “Apakah kamu sudah gila?”

Pengawal yang mengiringi khalifah merasa marah dengan perbuatan yang dianggap tidak beradab itu. Dia memegang orang itu namun khalifah segera menahan. Khalifah menarik tangan pengawal itu dan berkata, “Mengapa kita mesti marah? Bukankah dia hanya bertanya, apakah kita sudah gila. Jawapannya ialah tidak. Selesai!”

No comments:

Post a Comment