Thursday, August 4, 2011

DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI NERAKA

Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya syurga. Sesungguhnya bau wangian syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”.

Hadis Riwayat Muslim

KETERANGAN :

Kebenaran sabdaan Rasulullah SAW ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya jika kita mahu mengatakan bahawa mereka berpakaian pun boleh kerana masih ada secarik kain di atas badan. Dan jika kita mahu mengatakan bahawa mereka bertelanjang pun boleh kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja maka samalah dengan telanjang. Atau pun dia berpakaian dengan pakaian yang sangat nipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar seperti goh unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan menghidu wanginya syurga walaupun semerbak wangi syurga itu boleh dihidu dari jarak perjalanan selama 500 tahun jauhnya.


Dua golongan pasti disiksa,

Jadi penghuni api neraka,

Golongan zalim penganiaya,

Tidak kasihan rakyat jelata.


Kaum wanita aurat dibuka,

Berlenggang lenggok di jalan raya,

Sanggul dililit bagai mahkota,

Tak akan mencium semerbak syurga.

No comments:

Post a Comment