Wednesday, August 10, 2011

KUPILIH IMAN

Zunairah adalah hamba kesayangan tuannya iaitu Abu Jahal. Namun sejak akhir-akhir ini Abu Jahal kehairanan melihatkan perubahan diri Zunairah yang seolah-olah ingin menjauhkan diri darinya

Setelah diselidiki, rupa-rupanya Zunairah telah memeluk Islam. Abu Jahal merasa sangat marah dan menyuruh pembantunya membawa Zunairah ke hadapannya.

Setelah Zunairah tiba, dia ditawarkan kebebasan dan harta asalkan mahu meninggalkan agama barunya itu. Zunairah enggan mematuhi. Ini membuatkan Abu Jahal semakin marah lalu dia mengambil rotan. Dipukulnya Zunairah tanpa belas kasihan sehingga tubuh Zunairah berdarah. Setelah pengsan barulah Abu Jahal berhenti memukulnya.

Esoknya Zunairah sekali lagi ditanyakan tentang keyakinannya. Apabila masih tidak berubah, dia diseksa lagi. Abu Jahal memaksa, “Kembalilah kepada agama nenek moyangmu!”

“Allahu Ahad,” jawab Zunairah dalam kesakitan.

Abu Jahal lalu memanggil seorang hambanya untuk memukul Zunairah. Namun Zunairah tetap mengatakan, “Allahu Ahad.”

Setelah beberapa hari kemudian, Abu Jahal menjemput pembesar-pembesar Quraisy supaya berkumpul. Zunairah diletakkan di hadapan mereka. Abu Jahal pun bertanya kepada Zunairah, “Wahai Zunairah, benarkah kamu mengikut seruan Muhammad itu?”

Zunairah yang sudah lemah dan tidak bertenaga masih dapat menjawab, “Benar, aku tetap mengikuti Muhammad. Aku yakin kepada seruan kebenarannya dan aku tunduk kepada kepimpinannya.”

Lalu Abu Jahal menoleh kepada pembesar-pembesar Quraisy dan berkata, “Wahai saudara-saudaraku, pemuka kaum Quraisy. Apakah kamu semua percaya kepada Muhammad dan mematuhi ajaran-ajaran yang dibawanya?”

Mereka menjawab, “Tidak! Kami tidak akan mahu mengikut Muhammad itu!”

Dengan suara mengejek dan menghina, Abu Jahal berkata, “Kami semua lebih bijak daripada engkau wahai Zunairah. Kami lebih mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Sekiranya apa yang dibawa Muhammad itu benar, maka tentu kami akan mengikutinya terlebih dahulu. Sebab dia adalah anak saudaraku. Dia telah menyampaikan ajarannya kepadaku sebelum engkau. Mahukah engkau bertaubat dan kembali menyembah Lata dan Uzza?”

Zainurah hanya mengatakan, “Allahu Ahad.”

“Sedikit pun tidak boleh dikasihi! Pukul dia!” jerit Abu Jahal.

Perhimpunan pun bersurai dan Zunairah terus diseksa. Seksaan yang begitu parah telah menyebabkan urat sarafnya rosak dan kedua matanya buta.

Menyedari Zunairah telah buta, Abu Jahal lalu mengherdik, “Itulah balasan kerana telah dimurkai oleh Lata dan Uzza.”

“Tidak benar! Lata dan Uzza tidak boleh memberi mudarat atau manfaat kepada manusia. Ia adalah berhala batu yang tidak bernyawa,” Zunairah menyatakan bantahannya.

Maka Abu Jahal lantas menampar mulut Zunairah.

Pada hari yang lain, Abu Jahal datang lagi. Kali ini sikapnya berbeza. Dia berkata dengan lembut, “Zunairah, Lata dan Uzza adalah Tuhanmu. Tuhan nenek moyangmu. Matamu buta disebabkan engkau telah lama tidak melihat Lata dan Uzza. Jangan diikutkan hatimu sehingga tersesat bersama ajaran Muhammad.”

Zunairah menjawab dengan tegas, “Mengapa aku mesti meminta-minta kepada Lata dan Uzza? Sedangkan mereka lebih buta dariku? Mengapa kamu menyembah batu yang tidak dapat berbuat apa-apa? Walaupun aku buta akibat kekejamanmu, namun jika Allah mengkehendaki, perkara itu mudah bagi kudrat dan iradatNya. Allah sahaja yang dapat mengembalikan penglihatanku sebagaimana Dia telah menciptakan segalanya.”

Jawapan ini menyebabkan kemarahan Abu Jahal naik semula. Lalu Zunairah dicampaknya dan dipukulnya dengan rotan berkali-kali. Seksaan yang bertambah kejam itu telah menyebabkan Zunairah dapat melihat semula. Zunairah mengucapkan syukur kepada Allah SWT.

Apabila Abu Jahal menyedari hal ini, dia segera memanggil kaum kafir Quraisy berkumpul melihat Zunairah. Memang benar Zunairah telah dapat melihat kembali. Mereka beramai-ramai berkata, “Muhammad telah melakukan sihir. Ini adalah sihir Muhammad!”

Akhirnya berita ini sampai ke pengetahuan Saidina Abu Bakar. Dengan segera dia datang membawa wang yang banyak untuk menebus Zunairah dan dibebaskannya. Barulah Zunairah dapat menikmati kebahagiaan setelah menderita dengan pelbagai seksaan.

No comments:

Post a Comment