Tuesday, August 9, 2011

LUQMAN HAKIM YANG BIJAK

Seorang wanita dermawan yang sudah berumur telah memberi seekor kambing kepada Luqmanul Hakim. Dia meminta Luqman menyembelih kambing itu dan berpesan, “Berilah bahagian yang terburuk darinya untuk saya makan.”

Setelah Luqman menyembelih kambing itu, dia pun menghantar hati dan lidahnya kepada wanita tersebut.

Beberapa hari kemudian wanita itu memberikan lagi seekor kambing untuk disembelih. Kali ini dia berpesan untuk memberinya bahagian yang terbaik dari kambing itu. Setelah disembelih, Luqman menghantar hati dan lidah juga kepada wanita itu.

Wanita itu kehairanan dan bertanya kepada Luqman, “Mengapakah tuan menghantar hati dan lidah kepada saya ketika meminta bahagian yang terburuk. Dan mengapa kedua-duanya juga dihantar kepada saya ketika memesan menghantar bahagian yang terbaik?”

Luqman menjawab, “Hati dan lidah sangat baik ketika baiknya dan apabila buruk maka kedua-duanya akan menjadi sangat buruk.”

Mendengar jawapan yang bijaksana itu, wanita itu lalu memahami maksud Luqman. Ini kerana hati dan lidah adalah pokok segala kebaikan. Begitu juga sebaliknya. Dari hati dan lidah jugalah lahir segala kejahatan dan keburukan.

Oleh itu hati dan lidah adalah punca segala kejahatan dan kebaikan.

No comments:

Post a Comment