Rasulullah SAW pernah berkata kepada Abu Zar Al Ghifari, “Sahabatku, engkau akan ditimpa suatu bencana di hari kemudian.”
Abu Zar menjawab, “Saya akan menerima bencana itu dengan gembira wahai Rasulullah.”
Dalam Perang Tabuk, Rasulullah SAW kelihatan gelisah kerana Abu Zar masih belum tiba. Ke manakah menghilangnya Abu Zar? Sedangkan mereka telah bersama-sama bertolak dari Mekah.
Tiba-tiba kelihatan dari jauh seorang lelaki sedang berjalan dengan keletihan. Rasulullah SAW sangat gembira setelah mengetahui bahawa lelaki itu ialah Abu Zar Al Ghifari. Abu Zar telah berjalan sendirian dengan membawa bekalan dan kelengkapan senjata yang berat di samping mengharungi padang pasir yang sepi dan panas membara. Sebenarnya Abu Zar terpaksa meninggalkan keldainya kerana binatang itu sudah tidak bermaya di dalam perjalanan.
Air mata Rasulullah SAW membasahi pipinya. Baginda berkata, “Akhirnya engkau datang juga sahabatku.”
Rasulullah SAW meneruskan kata-katanya kepada para sahabat yang lain, “Allah telah memberi kurnia kepada Abu Zar yang hari ini dia berjalan kaki sendirian, kemudian dia akan meninggal dunia sendirian dan dibangkitkan Allah di hari pembalasan juga sendirian.”
Suatu hari Abu Zar bersama isteri dan seorang khadamnya pergi ke Rabzah. Dalam perjalanan, Abu Zar telah jatuh sakit. Isterinya menangis melihatkan keadaan suaminya itu. Abu Zar pun bertanya, “Mengapa engkau menangis?”
Isterinya menjawab dengan nada sedih, “Engkau sedang sakit kuat, sedangkan aku tidak mempunyai kain untuk menutupi tubuhmu.”
Dengan tenang Abu Zar menjawab, “Jangan engkau menangis. Ini adalah penghormatan yang aku cintai.”
Kemudian Abu Zar berwasiat, “Sekiranya aku mati, janganlah engkau bersusah hati. Sesudah jenazahku engkau mandikan, bungkuslah dengan kain kafan sekadarnya. Sesudah itu letaklah mayatku di tepi jalan. Orang yang mula-mula kamu jumpa, katakan kepadanya bahawa yang mati itu adalah Abu Zar Al Ghifari, sahabat Rasulullah SAW.”
Setelah Abu Zar meninggal dunia dan dipatuhi wasiatnya, lalulah seorang musafir di jalan itu. Isteri Abu Zar menegurnya, “Maaf tuan, lelaki yang meninggal dunia ini adalah Abu Zar Al Ghifari, sahabat Rasulullah SAW.”
Kebetulan lelaki yang lalu itu adalah Ibnu Mas’ud yang juga merupakan sahabat Rasulullah SAW. Dia terperanjat lantas teringat kembali sabda Rasulullah SAW. Ibnu Mas’ud berkata, “Ya Allah, semua yang dikatakan oleh Rasulullah SAW berlaku benar ke atas dirimu. Engkau berjalan sendiri, meninggal dunia sendiri dan pasti dibangkitkan nanti juga sendiri.”
No comments:
Post a Comment