Rasulullah SAW telah berulang kali melarang anak-anak muda yang masih remaja dari turut serta dalam peperangan. Ini disebabkan Rasulullah SAW lebih suka mereka menuntut ilmu dan menjaga keluarga masing-masing terutamanya kaum wanita dan orang-orang tua yang tidak berdaya.
Telah terdengar berita bahawa pihak musuh semakin hampir. Tidak lama lagi kaum Musyirikin akan tiba di Bukit Uhud.
Rasulullah SAW telah menyusun semula barisan perang setelah tentera-tentera pimpinan Abdullah bin Ubay menarik diri. Baginda telah mengarahkan supaya pasukan pemanah berada di puncak bukit agar kehadiran tentera musuh boleh dikesan.
Khuday dan Jundub yang telah uzur telah membenarkan anak-anak mereka yang masih kecil turut serta dalam peperangan menggantikan mereka. Tetapi apabila kedua-dua anak ini bertemu Rasulullah SAW, mereka disuruh pulang oleh Baginda.
Apabila Rafi’ tiba di rumah, ayahnya kehairanan kerana dia telah pulang sebelum peperangan bermula. Sangkanya anaknya itu takut menghadapi tentera-tentera musuh yang terdiri daripada orang-orang kafir.
Rafi’ menjawab dengan sedih bahawa anak-anak kecil telah disuruh pulang oleh Rasulullah SAW. Oleh itu Khuday segera bertemu Rasulullah SAW.
Khuday berkata kepada Baginda, “Ya Rasulullah, walaupun anakku ini berbadan kecil namun dia amat bersemangat dan kecekapannya menggunakan senjata setanding dengan orang dewasa. Dia menggantikan diriku yang telah tua dan uzur. Kalau engkau tidak percaya, aku oleh membuktikannya.”
Lalu Rasulullah SAW meminta Rafi’ menunjukkan kecekapannya memanah. Rafi’ telah membuktikan dengan memanah tepat kepada sasaran. Oleh itu, Rasulullah SAW telah membenarkannya turut serta dalam pasukan tentera Muslimin.
Apabila Jundub mendengar anak Khuday diterima menyertai pasukan tentera Islam, dia bersama anaknya, Samurah segera datang bertemu Rasulullah SAW.
Jundub berkata dengan bersemangat, “Ya Rasulullah, jika engkau menerima Rafi’ bin Khuday, maka sepatutnya anakku juga engkau terima.”
Baginda menjelaskan bahawa penerimaan Rafi’ adalah oleh kerana dia mampu memanah dengan cekap.
Jundub terus membela anaknya dengan mengatakan bahawa anaknya kuat bertumbuk. Dia rela membawa anaknya pulang sekiranya dapat dikalahkan oleh Rafi’.
Akhirnya Rasulullah SAW bersetuju memenuhi permintaan Jundub itu. Samurah pun diberi peluang dan ternyata setelah beberapa ketika, dia dapat menewaskan Rafi’.
Rasulullah SAW harus menunaikan janjinya. Kedua-dua anak itu diizinkan menyertai peperangan bersama orang-orang dewasa.
Di medan pertempuran, Rafi’ dan Samurah telah bersama-sama menumpaskan musuh. Mereka membela Rasulullah SAW yang sangat mereka kasihi.
No comments:
Post a Comment