Tuesday, March 15, 2011

JIKA LEBIH PANJANG

Seorang sahabat telah meninggal dunia. Rasulullah SAW telah menghantar jenazah sahabat itu bersama-sama orang lain. Kemudian Rasulullah SAW menziarahi rumah keluarganya untuk memberikan kekuatan agar bersabar dan tawakal dengan ujian yang baru menimpa.

Rasulullah SAW bertanyakan kepada isteri almarhum sama ada suaminya ada meninggalkan apa-apa wasiat. Isterinya mengatakan, dia ada mendengar suami berkata sesuatu dengan suara tersekat-sekat menjelang ajalnya.

Rasulullah SAW bertanyakan apa yang didengarnya. Isteri almarhum menerangkan bahawa dia mendengar kata-kata : “Jika lebih panjang lagi….. Jika yang baru….. Jika semuanya…..” Dia tidak pasti sama ada perkataan itu dilahirkan kerana keadaannya yang tidak sedar atau ada pesanan yang ingin disampaikan.

Rasulullah SAW tersenyum. Baginda membenarkan apa yang diucapkan oleh suaminya kerana ia mengandungi peristiwa di sebaliknya. Rasulullah SAW pun menceritakan kisah sebenarnya.

Pada suatu hari suaminya pergi ke masjid. Dalam perjalanan, dia bertemu dengan seorang lelaki buta yang berjalan dalam keadaan sukar yang juga ingin ke masjid. Suaminya memimpin lelaki buta itu sehinggalah sampai ke tempat tujuan.

Ketika suaminya sedang nazak, Allah telah membuka hijab di alam kerohanian dengan menunjukkan amalan-amalannya yang baik. Kata-kata “Jika lebih panjang lagi…..” bererti sekiranya dia berjalan lebih jauh lagi ke arah masjid, tentulah dia mendapat pahala yang lebih besar. Dia merasa amat kesal.

Isteri almarhum bertanya lagi perihal ucapannya yang lain. Rasulullah SAW menerangkannya pula.

Suatu hari almarhum telah pergi ke masjid dengan lebih awal. Ketika itu udaranya sangat sejuk. Di tepi jalan dia bertemu dengan seorang lelaki tua yang sedang menggeletar kesejukan.

Ketika itu almarhum memakai sehelai baju sejuk yang lama manakala di tangannya sedang memegang sehelai baju sejuk yang baru. Dia membuka baju sejuknya yang lama dan memberikannya kepada lelaki tua itu. Manakala baju sejuknya yang baru itu dipakainya.

Semasa di saat nazaknya, dia telah diperlihatkan dengan amal kebaikannya itu. Kata-kata “Jika yang baru…..” bererti jika dia memberikan baju sejuk yang baru tentulah pahalanya akan lebih besar.

Isteri almarhum bertanya lagi tentang ucapan suaminya yang ketiga.

Rasulullah SAW mengingatkan suatu peristiwa di mana suaminya pulang ke rumah dalam keadaan lapar dan meminta disediakan makanan. Apabila hidangan yang mengandungi sepotong roti yang telah bercampur daging dan mentega itu disediakan, tiba-tiba datang seorang musafir mengetuk pintu meminta makanan.

Almarhum membahagi dua roti tersebut dan memberikan separuh kepada lelaki itu. Sebab itulah ketika nazak, dia berkata “Jika semuanya …………….” yang bererti sepatutnya dia memberikan ke semua roti itu.

Isteri almarhum merasa sangat gembira. Dia dapat membayangkan kebahagiaan yang bakal diperolehi suaminya nanti.

No comments:

Post a Comment