Thursday, March 31, 2011

BAHAYA KEMEWAHAN

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a : “Bahawasanya kami sedang duduk dengan Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a dan tiada di atas badannya kecuali sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan, maka akan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Ka’abah?”. Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada kerja-kerja ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki. Lalu Nabi SAW bersabda, “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”.

Hadis Riwayat Tirmidzi

KETERANGAN :

Dalam Hadis ini, Rasulullah SAW menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan di dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan pelbagai perhiasan. Dalam keadaan demikian, kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana kalau semuanya sudah ada maka mudahlah untuk beribadah. Tetapi Nabi Muhammad SAW mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkin kita untuk beribadah.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada beribadah kepada Allah SWT, seperti mana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan namun ianya sudah mencukupi. Tetapi apabila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, maka kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadah kita sangat jauh ketinggalan berbanding mereka. Kekayaan dan kemewahan yang ada selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah banyak lagi. Tidak ubah seperti yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Seandainya seorang anak Adam itu telah memperolehi satu jurang emas, maka dia akan berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (mati)”.

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Mereka sentiasa mencari dan menambah kekayaan sehinggalah mereka menemui kematian. Maka ketika itu barulah mereka sedar dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi akan penyesalan. Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram kerana yang penting adalah mendapat harta. Tidak kira waktu solat, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbunkan kekayaan. Biarlah kita cari harta benda dunia pada batas-batas keperluan. Jika berlebihan, bolehlah digunakan untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan mereka menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat menuai hasilnya.



Cubalah lihat para sahabat,

Banyak bersabar, rajin ibadat,

Walaupun hidup susah melarat,

Di sisi Tuhan selalu taat.


Cubalah lihat pada dirimu,

Semua cukup makan dijamu,

Ibadat kurang, suka mengadu,

Bekal akhirat kurang ditumpu.

No comments:

Post a Comment