Friday, April 1, 2011

YANG TERSIRAT

Miqdad bin Amir juga dikenali sebagai Miqdad Ibnul Aswad. Ini kerana ketika zaman Jahiliyah, dia bersetuju dan membuat perjanjian dengan Al Aswad Abdi Yaghuts sebagai anaknya.

Kemudian setelah turun ayat yang melarang menghubungkan nama seorang anak dengan nama ayah angkatnya tetapi hendaklah dihubungkan dengan nama ayah kandungnya, maka Miqdad telah menggunakan semula nama ayahnya yakni Amir bin Saad.

Dia seorang yang mempunyai pandangan yang tajam. Seorang sahabat telah mengisahkan :

Pada suatu hari, kami duduk-duduk berhampiran Miqdad. Kemudian lalulah seorang lelaki dan berkata kepada Miqdad, “Sungguh berbahagialah kedua-dua mata ini yang telah melihat Rasulullah SAW. Demi Allah, sekiranya kami dapat melihat apa yang kamu lihat dan menyaksikan apa yang kamu saksikan.”

Miqdad lalu berkata kepadanya, “Apa yang menyebabkan kamu ingin menyaksikan peristiwa yang disembunyikan oleh Allah SWT dari penglihatan kamu? Sedangkan kamu tidak tahu apa akibatnya jika berpeluang menyaksikannya.”

“Demi Allah, bukankah di masa Rasulullah SAW ramai yang ditelungkupkan oleh Allah akan wajah mereka ke Neraka Jahanam?”

Sambungnya lagi, “Mengapa kamu tidak memanjatkan puji kepada Allah yang menghindarkan kamu dari bencana sebagaimana yang menimpa mereka itu dan menjadikan kamu sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah dan Nabi kamu?”

Kata-kata Miqdad ini menjelaskan bahawa tidak semua orang yang dapat bertemu Rasulullah SAW itu akan selamat di akhirat. Apa yang lebih utama ialah mematuhi perintah Allah dan RasulNya dalam segala tindakan.

No comments:

Post a Comment