Sunday, January 30, 2011

KEBAIKAN YANG TIDAK DILUPAKAN

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, terdapat seorang hartawan bernama Khazima. Dia seorang yang berbudi mulia dan sentiasa memberikan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.

Suatu ketika Khazima jatuh misikin. Ini menyusahkan hatinya dan dia berasa amat sedih. Jiran-jirannya turut bersimpati dan membantu seberapa yang boleh.

Namun lama kelamaan, Khazima merasakan dirinya telah menyusahkan orang lain. Lebih-lebih lagi dia menyedari jiran-jirannya mula merasa berat untuk memberikan bantuan. Ini menyebabkan dia mengurung diri sahaja di rumah.

Suatu hari, gabenor di wilayah itu yang bernama Akrama mendengar kisah Khazima diperbualkan di istana. Akrama merasa tertarik dan turut mendengar mengenainya. Akrama merasa kasihan setelah mendengar kisah sebenarnya. Dia berazam akan menolong Khazima supaya dapat menjalani hidup yang lebih baik.

Oleh itu pada suatu malam, Akrama telah pergi ke rumah Khazima. Dia membawa wang sebanyak 4,000 dinar. Setelah tiba, dia terus menceritakan keazamannya untuk membantu dan terus menyerahkan wang itu kepada Khazima. Khazima merasa amat gembira dan terharu dengan pertolongan itu.

Khazima ingin mengetahui nama lelaki yang telah membantunya itu tetapi Akrama tidak memberikan jawapan. Dia tersenyum dan berkata bahawa dia hanya mengharapkan keredhaan dan balasan dari Allah SWT.

Setelah bersalaman, Akrama pulang ke rumah. Isterinya bertanya ke manakah dia pergi kerana malam telah begitu larut.

Pada mulanya Akrama tidak mahu menceritakan kisah sebenarnya tetapi setelah didesak berkali-kali, barulah Akrama memberikan jawapan. Itu pun setelah isterinya berjanji akan merahsiakan kisah itu.

Bagi Khazima pula, setelah mendapat wang dari lelaki yang tidak dikenalinya yakni Akrama, dia telah menggunakan wang itu dengan sebaik-baiknya. Akhirnya berkat dari kesungguhan, dia kembali menjadi kaya.

Suatu hari, khalifah memanggil Khazima kerana telah lama tidak bertemu. Khalifah bertanya mengapa telah lama dia menghilangkan diri. Khazima pun menceritakan apa yang berlaku ke atas dirinya dan juga kisah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya yang telah membantunya.

Khalifah ingin mengetahui siapa lelaki yang berbudi itu dan ingin membalas kebaikannya itu.

Tidak lama kemudian, Akrama dilucutkan dari jawatan gabenor atas tuduhan menggunakan wang kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Dia ditangkap dan dipenjarakan. Khazima pula dilantik bagi menggantikannya.

Akrama terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa dirinya dan oleh kerana itu, dia jatuh sakit. Isteri Akrama yang tidak lagi dapat menahan sabar menyuruh pembantunya menemui gabenor untuk memberitahu bahawa Akrama pernah menolongnya suatu ketika dahulu.

Setelah mendengar pengaduan dari pembantu Akrama itu, Khazima pun segera ke penjara untuk bertemu dengan Akrama. Khazima tidak melupakan kebaikan Akrama yang telah membantunya dahulu.

Apabila bertemu, Khazima pun bertanya kepada Akrama sama ada dia mengenal dirinya. Setelah Akrama menjawab tidak, Khazima lalu menerangkan keadaan yang sebenar mengenai dirinya.

Khazima pun menceritakan bagaimana dia telah menggunakan wang yang diberikan itu untuk menjalankan perniagaan. Akhirnya dia dapat mengumpulkan kekayaannya semula. Khazima turut bercerita bahawa dia telah dilantik menjadi gabenor yang baru.

Khazima merasa bersalah atas apa yang berlaku kepada Akrama. Dia meminta pengawal penjara membuka rantai yang mengikat tangan Akrama. Sambil menangis dia mengatakan bahawa dialah yang sepatutnya menerima hukuman itu. Disebabkan ingin membantu dirinya, Akrama telah ditangkap dan dipenjara.

Akrama turut merasa terharu. Dia menjelaskan bahawa dia hanya mengharapkan balasan dari Allah. Khazima yang merasa terhutang budi ingin menggantikan tempat Akrama di penjara itu dan meminta Akrama mengambil semula jawatannya sebagai gabenor.

Akhirnya mereka bersetuju untuk menemui khalifah dan meminta pandangannya. Setelah menceritakan kisah yang sebenar, khalifah turut merasa terkejut kerana orang yang dicari-carinya selama ini adalah Akrama Fiyyaz. Dia merasa kagum dengan kebaikan Akrama. Bagi membalas kebaikan itu, khalifah telah melantiknya sebagai gabenor di suatu wilayah yang lain.

No comments:

Post a Comment